Badal Haji & Badal Umrah (perwakilan dalam perlaksanaan Ibadah Haji dan Umrah)
Jika seseorang itu mampu melaksanakan Haji atau Umrah dengan melakukannya sendiri, maka wajib ia
tunaikannya.
Adapun sekiranya ia tidak mampu melaksanakannya sendiri, maka
ia dalam 2 keadaan:
1.
Ketidakmampuannya ada harapan akan
diatasinya, seperti sakit yang ada harapan sembuh, maka ia tundakannya ketika
sakitnya sehingga ia sembuh atau bertambah baik untuk melaksanakannya sendiri.
Seandainya kematian menjemputnya sebelum ia dapat menunaikannya sendiri, ia
diwakili orang lain dengan pembiayaan ongkosnya diambil daripada harta
peninggalannya atau harta warisnya dan ia tidak berdosa.
2. Ketidakmampuannya itu sifat dan
keadaannya berterusan, seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu
lemah kerana tua, tidak mampu melakukan perjalanan, maka ia wakilkan sahaja
orang lain untuk melaksanakan haji dan ‘umrah bagi pihaknya, dengan membiayai
segala ongkosnya.
Kesimpulan ini diraih daripada penjelasan ‘ulama’ seperti
Imam Ibn Qudamah[1] terhadap riwayat-riwayat
berikut:
Ibn ‘Abbas radiyalLahu 'anhuma meriwayatkan: Seorang
wanita dari suku Khats‘am berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kefarduan haji yang Allah wajibkan atas para hambaNya,
(mula difardhukan) ketika bapa ku telah lanjut usia, sehingga tidak mampu duduk
tetap di atas tunggangan, apakah seharusnya saya tunaikan haji bagi pihaknya?
Jawab Nabi: Ya. Peristiwa itu adalah ketika Hijjatul Wada‘ (Haji terakhir yang
baginda laksanakan). [2]
Dikuatkan lagi dengan riwayat Abi Razien berupa perintah Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam agar anak kepada seorang yang telah tua uzur, melaksanakan
Haji dan ‘Umrah bagi pihak bapanya:
"احجج عن أبيك و اعتمر"
Ertinya: Laksanakan Haji bagi pihak bapa mu
dan buat juga ‘Umrah untuknya.[3]
Demikian bagi yang telah cukup syarat-syarat yang lain tetapi
tidak berkemampuan untuk melaksanakannya sendiri. Haji yang diwakilkannya itu sah baginya, meskipun setelah itu, ia sembuh dari
penyakitnya.
Adapun dilakukan badal untuknya, jika ia
meninggal dunia sebelum sempat melaksanakannya sendiri, maka berdasarkan:
Riwayat Ibn ‘Abbas radiyalLahu 'anhuma yang meriwayatkan bahawa isteri Sinan bin ‘Abdillah al-Juhaniy telah
bertanyakan kepada Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam mengenai ibunya yang telah meninggal dunia dan belum sempat
menunaikan hajinya, apakah akan dikira sah jika beliau mewakili ibunya (yang
telah meninggal itu) menunaikan haji. Jawab Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam: “Ya. Kalau seandainya ibunya ada hutang, lalu ia
lunaskannya bagi pihaknya, bukankah itu dikira terlunas? Maka hendaklah ia (si
anak) tunaikan haji bagi pihaknya (si ibu)”. [4]
Bahawasanya Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam telah mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaika ‘an
Syubrumah (aku sahut seruanMu untuk/bagi pihak Syubrumah)”, maka baginda sollalLahu 'alaihi wa sallam bertanya kepadanya: “Siapa Syubrumah?” Jawab lelaki
itu: “Saudara saya – atau kerabat saya”
Tanya Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam lagi: “Pernahkah anda tunaikan haji buat diri mu sendiri?”
Jawabnya: “Tidak (pernah). Sabda baginda sollalLahu 'alaihi wa sallam: “Buat haji untuk diri mu sendiri dahulu, kemudian (baru
boleh anda buat) untuk Syubrumah (pada musim/tahun haji yang lain)” [5]
[1] al-Mughnie: 5/19 – Permasalahan ke 539
[3] Riwayat Abu Dawud; as-Sunan: Kitab al-Manasik, Bab (26) ar-Rajul yahujju ‘an ghairihi; 5/173 – hadis no: 1807) – Sahih Abi Dawud: 1/341, Sahih at-Tirmidzi: 1/275, Sahih an-Nasa-i: 2/556, Sahih Ibn Majah: 2/152
[4] Riwayat Ibn Khuzaimah 4/343 (no: 3034), Ahmad: 1/297
dan an-Nasa-i. Kata al-Albaniy: Isnadnya Sahih – Sahih an-Nasa-i: 2/559.
[5]Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah. al-Albaniy menghukumkannya Sahih. – Sahih
Abie Dawud: 1/34 dan al-Irwa’: 4/171.
Comments
Post a Comment