15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.
Wanita
yang berada di dalam keadaan haid/nifas wajib menjatuhkan
niat menurut ajaran yang tepat menurut as-Sunnah, berbeza dengan yang
disimpulkan oleh sebahagian orang yang mungkin tidak mengetahui apa yang telah
dijelaskan di dalam as-Sunnah dan ajaran para Imam antaranya Imam asy-Syafi‘ie rahimahullaah.
Berikut
ini penjelasannya:
Pertama: Tiada kaitan di antara keadaan haid/nifas dengan hukum
menjatuhkan niat. Bermakna, wanita haid
dan nifas
tetap menjatuhkan niat sepertimana jemaah lainnya sebaik ia tiba di miqat. Ini
berdasarkan perintah baginda sollalLahu 'alayhi wa sallam yang bermaksud umum:
(maksudnya)
“Miqat-miqat tersebut adalah untuk ahli-ahlinya (para penduduk kota-kota
tersebut) dan bagi setiap yang mendatanginya/melaluinya (miqat-miqat tersebut)
daripada mereka yang bukan daripada ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut),
bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji” [1]
Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam tidak mengecualikan wanita
haid/nifas di dalam hadis ini, bererti ia bersifat umum dan
dengan itu, wanita yang berada di dalam keadaan haid/nifas juga wajib niat,
berihram di miqat yang didatanginya untuk mengerjakan umrah/haji.
Begitu
juga perintah baginda sollalLahu 'alayhi wa sallam kepada Abu Bakar as-Siddiq radiyalLahu 'anhu agar menyampaikan kepada
isteri beliau, Asma’ binti ‘Umais radiyalLahu 'anha, yang (nifas kerana) melahirkan Muhammad bin Abu Bakar
ketika sampai di miqat (al-Bayda’) [2]: “Suruh beliau (isteri
mu – Asma’) mandi dan kemudian hendaklah
beliau niat berihram (dengan mengisytiharkan – seperti keterangan Pengisytiharaan mula Ihram "LabbaikalLaahumma 'Umrah")
(مـرهـا
فـلتـغـتـسـل ثـم لـتـهل).”
Hadis
ini amat jelas berupa perintah Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam agar wanita nifas,
sekali gus sama hukumnya bagi yang sedang mengalami haid, berihram dan “jatuhkan
niat” setibanya di miqat. “al-Baida” di dalam hadis ini
adalah DzulHulaifah (Bir ‘Ali) dan itulah miqat Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam para Sahabat yang datang dari Madinah menuju ke Mekkah.
Rasulullah sollalLahu 'alayhi wa sallam juga telah berpesan kepada ‘A-isyah radiyalLahu 'anha yang mengalami haid
setibanya di
Mekkah dengan perintah berikut: “…Lakukanlah segala apa yang dilakukan oleh
jemaah haji lainnya kecuali usah bertawaf keliling Ka‘bah…” [3]
Hadis ini pula menunjukkan hanya Tawaf yang terlarang terhadap
wanita haid daripada keseluruhan amalan Manasik Haji. Berniat tidak terlarang malah terangkum dalam suruhan Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam: "Lakukanlah segala apa yang dilakukan oleh jemaah lain..." yakni sama seperti jemaah lain, berniat, berihram kecuali Tawaf. Adapun soal mengapa Tawaf
terlarang, maka ada perbahasannya yang tersendiri yang akan dibicarakan kelak,.
Perhatian: Inilah juga sebenarnya
pendapat al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie rahimahulLah. Keterangan berikut membuktikannya; kata
Imam an-Nawawi rahimahulLah (al-Majmu‘: 7/188):
قال الشافعي رضي الله عنه في الأم: "استحب
الغسل عند الإحرام للرجل و الصبي و المرأة الحائض و النفساء و كل من أراد
الإحرام"...قال: إذا أتت الحائض و النفساء الميقات و عليهما من الزمان ما
يمكن فيه طهرهما و أدركهما الحج بلا علة أحببت استئخارهما ليطهرا فيحرما طاهرتين ،
و إن أهلتا غير طاهرتين أجزأ عنهما و لا فدية" و قال: و كل عمل الحج تعمله
الحائض و غير الطاهر من الرجال إلا الطواف بالبيت و ركعتيه" هذا آخر نصه في
الأم
Maksudnya:
Kata al-Imam asy-Syafi‘ie, semoga Allah
meredhai beliau, di dalam al-Umm: Aku memandang adalah disukai/digalakkan agar
mandi ketika akan berihram untuk lelaki (dewasa), anak kecil dan wanita yang
sedang mengalami haid serta wanita yang sedang
nifas dan setiap orang yang ingin berihram…Apabila seorang wanita yang sedang
haid ataupun nifas mendatangi miqat dan
mereka ada keluasan masa yang membolehkan mereka untuk kembali berkeadaan suci
(tamat tempoh haid/nifasnya), sedang haji
telah menjadi wajib ke atas mereka tanpa ada apa-apa keuzuran sakit, aku lebih
suka jika mereka mampu menundakan permulaan ihram mereka berdua (wanita
mengalami haid dan nifas) supaya mereka dapat
berihram dalam keadaan suci. Jika mereka mula berihram dalam keadaan tidak suci
sekalipun, maka ia dikira sah dan mereka telah menunaikan tuntutan dan tiada
apa-apa fidyah (denda) yang layak dikenakan ke atas mereka….dan semua amalan
(manasik haji) dilakukan oleh seorang wanita yang sedang haid dan juga kaum lelaki yang
dalam keadaan tidak suci (berhadas kecil/besar) kecuali Tawaf dan 2 rakaatnya
(2 rakaat solat Tawaf). Demikianlah nas beliau yang terakhir
beliau nyatakan di dalam (kitab) al-Umm.
Kedua: Setelah berihram dengan keadaan haid/nifas, ia boleh bertalbiah
selama tempoh adanya talbiyah[4] bahkan digalakkan oleh
Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam. Begitu juga Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam tidak melarang ‘A-isyah radiyalLahu 'anha daripada berzikir dan berdoa di Arafah, Mina dan
lain-lain amalan haji ketika dalam keadaan haid.
Ketiga: Setibanya di kota Mekkah, bagi yang melaksanakan umrah[5], ia nantikan saat ia
bersih. Apabila haidnya berhenti, ia mandi
hadas dan berwudu’ langsung pergi ke Masjidil Haram dan tidak perlu ke Masjid ‘A-isyah (Tana'eem) atau luar sempadan
Tanah Haram lainnya kerana ia telah sedia berada dalam keadaan ihram. Ia
langsung bertawaf dan sebagainya yang menyempurnakan ‘Umrahnya.[6]
Keempat: Sekiranya ia tetap berterusan di dalam keadaan haid sehingga hari
keberangkatannya pulang ke Tanah air, maka pada hari terakhir di Mekkah
itu, hendaklah ia mandi membersihkan dirinya kemudian ia pergi ke
Masjidil Haram (biarpun masih dalam keadaan haid)[7] dengan memastikan ia
tidak mengotori masjid, langsung melakukan Tawaf 7 pusingan yang
sempurna. Setelah selesai Tawaf, tentunya ia tidak boleh melakukan Solat selepas
Tawaf kerana solat haram dilakukan oleh seorang yang sedang mengalami haid (ijma‘ ulama – tiada perselisihan
pendapat di kalangan ‘ulama’). Segera ia melaksanakan Sa‘ienya dan selesai
Sa‘ie ia bergunting yang dengannya ia bertahallul yakni bebas daripada ihram,
kembali seperti keadan biasa sebelum ihram.
Maka wanita haid yang menuruti panduan yang berpandukan hadis-hadis Nabi sollalLahu 'alayhi wa sallam yang dijelaskan tadi, masih dapat menunaikan umrahnya dan
tidaklah ia pulang tangan kosong. Namun hendaklah ia beringat agar tidak Niat Bersyarat seperti dalam perbahasan ini: (15. (iv) Niat bersyarat ketika niat dan mulakan ihram), sebab Niat Bersyarat itu bererti jika tidak berhenti juga haidnya sehingga saat keberangkatannya, ia keluar daripada keadaan Ihram, bertahallul cukup dengan Niat di hati dan tidak perlu menggunting rambutnya dan tidak pula dikenakan apa-apa kaffarah (denda/dam). Namun dengan itu, ia pulang tangan kosong tanpa Umrah sebab ia hanya keluar daripada Ihram tanpa melakukan Umrah kerana telah Niat Bersyarat. Dengan Niat Bersyarat itu, ia tidak dikira dalam keadaan darurat untuk meneruskan Umrahnya dan melakukan Tawaf dalam keadaan tidak suci.
Adapun Haji, kerana tempohnya yang panjang,
lumrahnya tidak menimbulkan masalah. Namun, yang penting bukanlah soal “tangan
kosong” tetapi menuruti ajaran yang bertepatan dengan as-Sunnah kerana
kecintaan terhadap Rasulullah sollalLahu 'alayhi wa sallam dan takut mencanggahi ajaran baginda, serta berpandukan ajaran
‘ulama.
Berbeza
dengan pendapat yang tidak menepati, jika tidak sampai menyelisihi, as-Sunnah:[8]
i.
Mereka kaitkan di antara “jatuhkan
niat berihram” dengan keadaan bersih (tidak haid/nifas) seseorang wanita. Maka
wanita yang haid/nifas ketika sampai di miqat, tidak
boleh berniat ihram dan segala yang dilaksanakan bersempena dengan niat
berihram seperti mandi, wudu’ dan sebagainya, tidak
dilakukannya.
ii. Bilamana
ia tidak niat, ia juga tidak bertalbiah sepanjang perjalanannya daripada miqat
ke Mekkah.
iii. Setelah
tiba di Mekkah, ia tunggu saat ia bersih, sedangkan jemaah lain telah pun
menyelesaikan ‘Umrah sejak hari ketibaan mereka di Mekkah. Jika seminggu,
seminggulah ia tunggu saat bersihnya tanpa melakukan apa-apa. (sedangkan wanita yang mengikuti Panduan as-Sunnah yang dijelaskan tadi, dapat bertalbiyah, meskipun ia juga tunggu saat bersihnya)
iv. Sebaik
sahaja ia bersih (terhenti haidnya), ia mandi junub,
berwudu’ dan pergi ke Tan‘im (Masjid ‘A-isyah) atau kawasan luar tanah haram
lainnya untuk niat ‘Umrah dan berihram. Lalu masuk ke tanah haram semula untuk
menyempurnakan ‘Umrahnya; bertawaf dan sebagainya.
Maka menurut pendapat ini, jika wanita itu masih
mengalami haid
berterusan sehingga hari keberangkatannya pulang ke Tanah airnya, ia pulang
dengan “tangan kosong” dan hampa, tidak dapat menunaikan ‘Umrah. Seolah-olah
sekadar berkunjung melihat-lihat kota Madinah dan Mekkah sahaja.
[1] Riwayat al-Bukhariy dan Muslim.
[2] Riwayat Malik (al-Muwatta’), Ahmad (al-Musnad), ad-Darimi, Ibn Khuzaimah,
al-Baihaqiy (Sunan al-Kubro), Abu Ya‘la, at-Tabaraniy. al-Albaniy: Sahih.
Perhatian: perlu difahami bahawa ini
bukannya bererti adanya “melafazkan niat” untuk segala amalan. Ini tidak dapat
dijadikan hujjah bahawa disyari‘atkan atau adanya diajarkan melafazkan niat
untuk beramal, kerana di sini Nabi mengisytiharkan
“menyahut seruan Mu ya Allah” sepertimana juga dalam hal sembelihan korban,
diisytiharkan bahawa sembelihan itu adalah untuk Allah dan ia juga adalah rezki
kurniaan Allah dan ia adalah pengorbanan diri peribadi ataupun merangkumi ahli
keluarga sekali. Itulah sebabnya Nabi “mengucapkannya” dengan lantang. Lafaznya
juga bukan: “Nawaitu al-‘Umrata/al-Hajja wa ahramtu biha/bihi” tetapi
sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.
[3] Riwayat al-Bukhariy dan Muslim.
[4] Bagi yang menunaikan umrah tamat tempohnya sebaik ia masuk Masjidil
Haram kali pertama. Adapun manasik haji maka waktu berhenti talbiah adalah
ketika melontar jamrah aqabah pada Hari Raya 10hb Dzulhijjah.
[5] Disebutkan Umrah kerana Manasik Umrah yang utama hanyalah Ihram,
Tawaf, Sa‘ie dan bergunting/cukur rambut yang mesti dilakukan dengan tertib
urutannya. Setelah berihram, selama belum Tawaf, tidak boleh melakukan Sa‘ie
atau lainnya dan ia kekal dalam pantang larang ihram. Berbeza halnya dengan
Manasik Haji kerana adanya Wuquf, Mabiet (bermalam) di Muzdalifah dan lain-lain
sebelum Tawaf Haji.
[6] Perhatian: Penduduk kota Mekkah yang
berada dalam kawasan Tanah Haram dan juga orang-orang yang memasuki Mekkah
tanpa menunaikan Umrah (dan tidak berihram), kemudian ia ingin melaksanakan
Umrah, dikira hukumnya sama seperti penduduk Tanah Haram Mekkah yang perlu
keluar ke Tanah Halal (melepasi sempadan Tanah Haram Mekkah), berihram dan
berniat Umrah, lalu masuk semula untuk menyempurnakan ‘Umrahnya dengan Tawaf,
Sa‘ie dan bercukur.
[7] Dengan anggapan bahawa dirinya di dalam keadaan darurat terpaksa
tawaf/melintas lalu MasjidilHaram dalam keadaan haid. Sebab ia
tidak mampu untuk duduk tetap di Mekkah tanpa mahram dan tanpa visa/permit
kebenaran yang membolehkannya menanti saat bersihnya. Jika tiada darurat maka
ia tidak dibolehkan dan orang yang niat melakukan tawaf/berada di dalam masjid
sayugianya suci daripada hadas kecil dan hadas besar. Maka ia melakukan
segalanya ini kerana darurat.
[8] Seandainya seseorang membuat rujukan masalah
ini dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab Imam Nawawi: 7/188 (Bahasa Arab – cetakan Dar al-Fikr
– Beirut, Lebanon – cetakan pertama 1996M/1417H), pasti ia akan menemukan nas al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie (wafat 204H) itu tadi
yang ditukil oleh al-Imam an-Nawawi.
Comments
Post a Comment