Bekalan dan Sikap Jemaah (mempersiapkan diri menjadi Tetamu Allah)
Pembaca yang budiman, dalam perlaksanaan ibadah Haji, Allah
telah berpesan kepada kita dengan pesanan yang amat penting, ketika kita
menjadi “tetamu”Nya. Firman Allah jalla wa 'alaa:
Ertinya: (Masa mengerjakan) Haji itu ialah beberapa bulan
yang dimaklumi.[15]
Maka sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Haji, maka
tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh
bertengkar, dalam masa mengerjakan Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu
kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal
dengan cukup kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan
bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal. [16]
Oleh itu, bekalan terpenting yang kita perlu sediakan untuk
perlaksanaan Haji kita adalah “Taqwa” dan “Taqwa” adalah “pemeliharaan
diri, menjaga diri dari apa sahaja yang mengakibatkan siksa, baik dengan
melakukan perbuatan atau meninggalkannya”[17].
Bermakna, kita memelihara diri kita daripada azab siksaan Allah dengan mentaatiNya
pada suruhan dan laranganNya. Namun bagaimana dapat kita patuh kepada Allah jika
kita tidak tahu suruhanNya dan laranganNya. Apa yang mendatangkan KeredhaanNya
kepada kita dan apa pula yang boleh mengundang KemurkaanNya? Mampukah kita
membuat andaian kita sendiri; “perkara ini Allah tentu suka, amalan ini
diredhaiNya, manakala perbuatan sekian mengakibatkan kemurkaanNya”.
Pembaca yang dimuliakan, semoga anda dirahmati Allah
sentiasa, sebagaimana disebutkan dalam “Pendahuluan”, Allah telah menurunkan
PanduanNya untuk kita iaitu al-Qur’an. Firman Allah sub-haanahu wa ta'aalaa:
Ertinya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke
jalan yang amat betul (ugama Islam)…[18]
Di dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan al-Qur’an adalah petunjuk
bagi orang-orang yang bertaqwa. [19]
Malah Allah mengutuskan sebaik-baik manusia, Nabi Muhammad sollalLaahu 'alaihi wa sallam, sebagai contoh untuk membimbing umat bagaimana untuk
memahami al-Qu’ran dan menuntun mereka
ke jalan yang diredhai Allah dengan pasti. Firman Allah sub-haanahu wa ta'aalaa:
Ertinya: …dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad)
Al-Quran, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah
diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.[20]
Kemudian Allah menjadikan ikutan contoh Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam sebagai syarat untuk dapat keredhaan dan kecintaanNya,
FirmanNya 'azza wa jalla:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka):
"Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, pasti Allah akan
mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu.[21]
Justeru itu, untuk kita mendapatkan keredhaan Allah dan
kecintaanNya, kita tiada pilihan atau cara mahupun jalan lain, selain yang
dicontohkan oleh Nabi Muhammad sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Antaranya adalah perlaksanaan Haji dan ‘Umrah, untuk kita
usahakan ibadah kita agar diterima dan diredhai Allah, kita mesti ikuti contoh
baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Jemaah Haji dan ‘Umrah, tetamu Allah yang budiman sekalian,
setelah kita mempunyai kesedaran betapa pentingnya mengikuti kedua-dua panduan
terutama itu tadi, kita tentu tidak mahu kerugian dalam pada kita berpenat lelah,
berbelanja besar, mengorbankan berbagai pengorbanan, berpisah dengan ahli
keluarga tersayang dan lainnya, iaitu dengan amalan kita menjadi sia-sia, tidak
diterima Allah. Sungguh Allah telah peringatkan kita, akan nasib orang yang
kerugian pada Hari Pembalasan, FirmanNya 'azza wa jalla:
Ertinya: Dan Kami tunjukkan kepada mereka apa sahaja
amalan yang mereka telah kerjakan (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikannya
sia-sia sebagai debu yang berterbangan.[22]
‘Ulama’ menjelaskan sebab utama amalan menjadi sia-sia iaitu Syirik
(mempersekutukan Allah dengan sesuatu) dan perlakuan bid‘ah.[23]
Kebalikan daripada keduanya bererti amalan kita perlu memenuhi 2 syarat utama:
- Ikhlas dan,
- Mutaba‘ah – mengikuti
contoh Rasulullah
sebagaimana yang mereka jelaskan dalam pentafsiran ayat
terakhir Surah al-Kahfi:
Ertinya: …Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan
pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan
janganlah ia mempersekutukan Tuhannya dengan sesiapapun dalam ibadatnya".[24]
Di bawah
syarat yang kedua (al-Mutaba‘ah),
6 perkara perlu diperhatikan untuk memastikan amalan itu mengikut
petunjuk Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam ataupun
tidak:
1. Sebab;
sebab yang mendorong sesuatu amalan itu dilakukan. Apakah sebabnya itu ada
diajarkan oleh Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam? Contohnya, orang yang ingin solat Tahajjud
semata-mata sebabnya ialah Hari Merdeka, bukan sebab lain. Kalau tidak disebabkan
Hari Kemerdekaan ia tidak akan Tahajjud. Sebab seperti ini tiada contohnya
daripada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam dan amalan itu tertolak serta jadi sia-sia.
2. Jumlah;
atau bilangan; jumlah sesuatu amalan itu mesti sesuai dengan panduan Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, jika tidak, amalan tersebut akan tertolak. Contohnya,
orang yang dengan sengaja solat Zohor 6 rakaat, atau tawaf 8
pusingan, bercanggah dengan ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam biarpun ia
bermaksud baik, cari kelebihan ganjaran.
3. Cara;
cara sesuatu amalan itu dilakukan mestilah menurut ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Orang yang mengambil wudu’ dengan membasuh kaki dahulu
kemudian baru sapu kepala, wudu’nya
tidak akan diterima di sisi Allah. Begitu juga yang melakukan Sa‘ie sebelum
Tawaf, Sa‘ienya bahkan keseluruhan manasiknya menjadi batal kerana tidak
menurut “Tertib” atau urutan cara Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
4. Jenis;
jenis sesuatu amalan juga mesti bertepatan dengan jenis yang diajarkan oleh
Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Contohnya, orang yang mengorbankan arnab sebagai
haiwan korban pada Hari Raya Korban, tidak akan diterima Allah kerana arnab
bukan dari jenis haiwan yang boleh dijadikan korban. Tawaf juga ada
berbagai jenis; yang sunnat seperti Tawaf Qudum, rukun seperti Tawaf Ifadah, wajib
seperti Tawaf Wida‘.
5. Masa;
masa sesuatu amalan itu dilakukan mesti mengikut masa yang ditetapkan oleh Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Seorang yang
solat Zohor sedang waktu Zohor belum menjelang,
tidak akan diterima solatnya. Berwuquf selain pada 9hb Dzulhijjah tidak akan
sah.
6. Tempat; tempat sesuatu amalan itu
dilaksanakan mestilah menurut panduan yang Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam ajarkan. Contohnya,
orang yang i’tikaf di bilik rumahnya atau tawaf di luar Masjidil Haram, berWuquf
di selain bumi Arafah, semuanya itu tidak akan diterima amalannya.
Dengan demikan, 6 perkara tersebut perlu kita
perhatikan untuk memastikan amalan kita mengikut tunjukajar Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam agar ia
diterima, tanpa melupakan syarat keikhlasan kita kepada Allah. Jika kedua-dua syarat tadi telah sempurna, barulah kita
dapat meyakini bahawa kita telah berusaha untuk menjadikan amalan itu diterima
di sisi Allah. Setelah itu, kita serahkan kepada Allah dengan rasa khuatir dan
mengharap kepadaNya.
Asal segala IBADAH adalah HARAM kecuali jika ADA DALIL yang
menjelaskan ia diperintahkan atau dituntut.
الأصل
في العبادة المنع
حتى يرد دليل
على خلاف ذلك
Kita jarang sekali diberitahu bahawa ‘ulama’ telah sepakat
di dalam menetapkan kaedah ini.[25] Bererti
kita sebagai hamba-hamba Allah, tidak
boleh sujud sesuka hati kita
kecuali sujud-sujud yang disyari‘atkan Syara‘, seperti sujud di dalam solat,
sujud syukur, sujud tilawah. Adapun untuk kita mengadakan “sujud taubat”
atau “sujud doa” bukan di dalam solat, maka ini terlarang dan haram kerana
mengadakan ibadat yang tidak pernah disyari‘atkan oleh Allah. Demikian juga
halnya dengan solat, puasa, tawaf dan ibadah lainnya.
Contohnya, jika kita ingin adakan solat setiap kali
sebelum ke pasar, atau puasa setiap hari perayaan bukan Islam
seperti Hari Kemerdekaan atau Hari Natal, sa‘ie sunnat tanpa
tawaf atau manasik lainnya.
Benar, walaupun dapat kita katakan semua perbuatan itu
baik secara zahirnya, kerana mencari keredhaan Allah sehingga orang boleh
katakan “Eh! Orang hendak solat, suatu perkara baik, setiap kali ingin ke
pasar, salah ke? Bukannya dia hendak menzalimi orang lain atau buang ancak?”
Namun, malangnya, ia adalah di antara perkara yang paling
buruk lagi terkutuk di dalam Syara‘ kerana ia boleh membawa erti (sebagaimana
yang dijelaskan oleh segolongan ulama antaranya Imam asy-Syatibi rahimahulLaah [±720-790H ])[26]
bahawa seolah-olah:
i. Nabi tidak
tahu apa yang baik buat kita sebelum ke pasar, sebab itu Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam hanya
mengajarkan doa sebelum masuk ke pasar,
ii. mengambil
hak Allah mensyari’atkan sesuatu yang tidak pernah disyari’atkan oleh
Allah, sedangkan manusia sendiri tidak
suka haknya diambil orang,
iii. menafikan
keseluruhan ketentuan/ketetapan Syara‘, kerana kita mampu untuk menentukan sesuatu
ibadah dari diri kita sendiri, maka bila-bila sahaja kita boleh adakan ibadat
baru tanpa perlu bersandarkan kepada petunjuk wahyu,
iv. tidak
perlu kepada keterangan Al-Quran dan tidak pula as-Sunnah, kerana kita
mampu tentukan sendiri,
v. meletakkan
diri kita setaraf dengan Allah kerana mampu menentukan apa yang
dapat dijadikan sebagai ibadat tanpa panduan dalil dan berbagai lagi keburukan
yang bukan dari persoalan yang remeh.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita kaji amalan-amalan
kita. Usahlah kita hukumkan menurut akal kita atau pembimbing atau guru kita
semata-mata, tanpa kembalikan urusan itu kepada Allah, RasulNya sollalLaahu 'alaihi wa sallam, kemudian ajaran Imam-imam besar seperti Abu Hanifah, Malik,
asy-Syafi‘ie, Ahmad dan lainnya rahimahumulLaah,
yang telah mewarisi fahaman Sahabat radhiyalLaah 'anhum,
di dalam menentukan sesuatu amalan itu baik ataupun tidak, sebelum kita kembali
berhadapan dengan Allah sedang kita kerugian lagi telah merampas hak Allah. Wal ‘iyaa dzu billah.
Bersamalah kita mengamalkan kaedah ini di dalam hidup kita. Seandainya para
Sahabat dan para Imam kita telah menokok tambah, tentu telah ada bermacam-macam
perkara yang tidak disyari‘atkan, dimasukkan ke dalam ajaran Islam. Bukan ajaran
Islam tapi didakwakan sebagai ajaran Islam. Perhatikanlah sikap mereka dalam
riwayat-riwayat berikut:
Pada suatu ketika ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyalLaahu 'anhuma
mendengar seseorang bersin lalu mengucapkan: “Alhamdulillah was
solatu
was salam ‘ala
Rasulillah” segera beliau radhiyalLaahu 'anhuma menegur:
"مَا هكَذا عَلَّمَنا
رَسولُ الله صلى الله عليه و سلم بَلْ قَال: إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُم فَلْيَحْمَدِ اللهَ، وَ لَمْ
يَقُلْ: وَ لْيُصَلِّ عَلَى رَسُولِ اللهِ"
“Bukan begitu yang Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam ajarkan kepada kami, tetapi sabda baginda: {Jika seseorang di antara kalian
bersin, maka hendaklah ia memuji Allah (mengucapkan: Alhamdulillah)} dan baginda tidak mengatakan: dan
berselawatlah atas Rasulullah.” [27]
Pembaca budiman, bukankah berselawat itu amalan yang baik
lagi hebat? Namun, lihatlah betapa sikap Sahabat Nabi ini
yang mengajarkan agar kita tetap mengikut asal ajaran baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam dan bukan
pandai-pandai menokok tambah walaupun dengan niat baik dan ucapan atau
perbuatan yang dianggap baik, tetapi tiada contohnya daripada Rasulullah.
Pernah seorang lelaki mengucapkan salam kepada ‘AbdulLah
ibn ‘Abbas radhiyalLaahu 'anhumadengan: “Assalamu ‘alaikum wa rahmatulLah wa barakatuh..(kemudian ia menambah dengan yang lain)”. Mendengarkan demikian Ibn ‘Abbas radhiyalLaahu 'anhuma mengatakan:
“إن السلام انتهى إلى
البركة” ertinya: “Sesungguhnya ucapan Salam itu terhenti pada
(ucapan) al-Barakah” [28]
Riwayat itu tadi, satu contoh yang nyata, betapa demikian
itulah ajaran para Sahabat, sikap mereka bertegas tidak menambah, malah
mengikuti ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam dengan sebaik-baik ikutan. Seandainya tidak demikian,
tentunya orang telah menambah ucapan salam hingga menjadi misalnya: “Assalamu ‘alaikum wa rahmatulLah wa barakatuh, wa ridwanuhu, wa ‘afiyatuh, wa ‘inayatuh,
wa salamatuh,
wa maghfiratuh…wa..wa..”
bila sampai pada zaman kita ini.
Semua lafaz itu baik maknanya, namun, untung ‘ulama’
dari zaman Sahabat mengajarkan dasar ini, iaitu “tiada tokok tambah dan
olah-mengolah bahkan hanya menuruti ajaran baginda dalam hal seperti ini,
apatah lagi hal ibadah”.
Malangnya, ada yang akan menyanggah mengatakan: “kalau
semua perkara ikut Nabi, awak tunggang unta jangan pandu kereta”. Sanggahan
seperti ini bukan daripada ajaran ‘ulama’ tetapi golongan yang keliru. Kita
membicarakan soal “ajaran agama yang asal” dan “memelihara ajaran yang asal”
bukan hal keduniaan. AlLahul Musta‘an.
Imam Malik rahimahulLaah
(93-179H) pernah mengatakan:
"لَنْ
يُصْلِحَ آخِرَ هذه الأُمَّة إِلا مَا أَصْلَحَ أولَّها، فَما لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ
دِيْناً، لاَ يكونُ الْيومَ دينا"
Ertinya: “Tidak akan dapat diperbaikkan golongan yang
terkemudian daripada umat ini, kecuali dengan apa yang telah dapat
memperbaikkan golongan pertamanya (para Sahabat), maka apa sahaja yang tidak
dianggap ajaran agama Islam pada zaman mereka, tidak dapat dijadikan sebagai
ajaran agama Islam pada masa kini.” [29]
Begitu pula sikap mereka dan anak didik mereka, tidak
mengagungkan seseorang lebih daripada Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam, tidak pula ajaran seseorang diutamakan daripada ajaran
baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Salim[30] meriwayatkan: “Aku
sedang duduk bersama Ibn ‘Umar (bapanya) di dalam Masjid, lalu datang seorang
lelaki dari Syam bertanya kepadanya mengenai keharusan lakukan Haji Tamattu‘.
Jawab Ibn ‘Umar: baik, bagus. Maka lekaki itu berkata: Tapi bapa anda (‘Umar)
dulu melarang perlaksanaannya. Jawab Ibn ‘Umar: Malang sungguh awak! Walau seandainya
bapaku melarangnya, sedangkan Nabi melakukannya dan memerintahkannya, anda
mengambil pendapat bapaku atau ajaran Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam?Jawabnya: Tentunya ajaran Rasulullah. Kata Ibn ‘Umar: Pergilah kamu dari sisiku!” [31]
Lihatlah sekalipun pendapat ‘Umar bin al-Khattab radhiyalLaahu 'anhu, manusia berkedudukan tinggi di sisi Allah dengan
pasti bagi umat Islam, yang disanjungi dan dihormati, apatah lagi oleh anaknya
sendiri, Ibn ‘Umar radhiyalLaahu 'anhuma, tetapi anaknya sendiri mengajarkan, biar bagaimana
kedudukan ‘Umar radhiyalLaahu 'anhu, pendapatnya tetap ditolak meskipun dirinya tetap
disanjungi, kerana ketidaksesuaian pendapatnya atau ajarannya dengan asal
ajaran Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam. ‘Umar radhiyalLaahu 'anhu telah berijtihad dan selaku seorang yang layak
berijtihad, beliau mendapat 2 pahala bila ijtihadnya betul dan 1 pahala
bila tersilap.
Bandingkanlah dengan sesiapa pun yang tidak setinggi derajat
‘Umar radhiyalLaahu 'anhu, apakah layak diutamakan ajarannya atas ajaran
Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam? Apakah ada setelah para Sahabat, manusia yang pendapatnya
boleh diutamakan daripada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, sedangkan pendapat Sahabat sehebat ‘Umar radhiyalLaahu 'anhu masih boleh ditolak pendapatnya? Sikap ini yang
diajarkan oleh para Sahabat, malah oleh anak mereka sendiri.
Dalam pada masa yang sama, penolakan pendapatnya tidak dikira
cemuhan terhadapnya atau merendahkan martabatnya dan tidak pula dikira sebagai
tidak menghormatinya. Demikian bagi para Sahabat dan para imam ahli ijtihad.
Adapun orang yang bukan dari kalangan ahli ijtihad, ia hanya mendapat dosa
dengan percanggahannya dan sungguh besar pula kesalahan golongan yang
mengikutinya, tanpa ilmu dan penilaian. Jelas, para Sahabat mengajarkan kita agar mengutamakan ajaran
Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam atas ajaran sesiapa pun. Bilamana ajaran selain Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, bersesuaian dengan asal ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, ikutan kita sebenarnya adalah ajaran Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallamdan setiap yang menyampaikannya telah berjasa menyampaikan
ajaran baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam kepada umat.
Lebih jelas lagi adalah riwayat berikut:
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy rahimahulLaah menyebutkan bahawa Sa‘ied
bin Mansur telah meriwayatkan daripada Ibn
‘Uyainah bahawa Salim telah ditanya tentang pendapat
‘Umar (bin al-Khattab – datuk beliau – dan anaknya
‘AbdulLah Ibn ‘Umar – bapa Salim – juga sependapat
dengan ‘Umar) yang tidak membenarkan kekalnya kesan wangian pada badan
selepas Ihram, walaupun wangian itu dikenakan sebelum berihram, maka Salim menjawabnya dengan beliau
menyebutkan hadis ‘A-isyah[32] yang mengajarkan bahawa
ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallamadalah sebaliknya (dibenarkan) dan katanya: “Sunnah
Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam lebih berhak/utama untuk diikuti” – “أَحَقُّ
أَنْ تُتَّبَعَ سُنَّةُ رَسُولِ
اللهِ”.
Rasanya dengan itu, memadai bagi kita untuk menyemai dan
menghidupkan sikap berpandukan ajaran para Sahabat radhiyalLaahu 'anhum, agar sentiasa mengikuti ajaran Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam dan mengutamakannya atas ajaran sesiapapun, bilamana
ajaran yang lain itu mencanggahi dan tidak bersesuaian dengan ajaran baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Meskipun pada masa yang sama, kita menyanjungi setiap
yang telah berjasa menyampaikan ajaran baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam kepada umat seperti para Imam ahli Ijtihad yang agung
dan kesilapan mereka tidak menjadikan kita memperkecilkan mereka sedikitpun,
walau seorang pun di antara mereka.
Sama-sama kita sentiasa menjadikan
yang berikut ini sebagai pegangan kita, Firman Allah:
Ertinya: “Dan sesungguhnya inilah
jalanKu yang lurus, maka ikutilah jalan ini dan jangan kamu ikuti jalan-jalan
yang lain, kelak kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu)” [33]
Tafsiran ayat ini, yang menunjukkan
bahawa perpecahan adalah sesuatu yang dikeji dan buruk, kita dapatkan dari
hadis Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam berikut ini.
Ibn Mas‘ud radhiyalLaahu 'anhutelah meriwayatkan: “Sesungguhnya
Nabi telah membuat satu garisan lalu bersabda: <Inilah jalan
Allah>, kemudian baginda membuat garisan yang banyak di sebelah kanannya dan di
sebelah kirinya (garisan yang satu tadi: jalan Allah) lalu bersabda: <Adapun
ini (garisan yang banyak) adalah jalan-jalan lain (selain jalan Allah), pada
setiap jalan ini, ada Syaitan yang mengajak kepadanya> dan Nabi pun membacakan ayat:
<Dan sesungguhnya inilah jalanKu
yang lurus… kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu)> [34].
Sabda Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam yang bererti: “Umatku akan berpecah kepada 73 golongan
semuanya binasa kecuali satu. Para Sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu?
Jawab baginda: Mereka yang berpegang dengan pegangan ku dan pegangan
para Sahabat ku.” [35]
Pentingnya ikutan jalan ajaran
Sahabat, untuk selamat dari jalan Syaitan. Demi kesejahteraan di dunia dan
akhirat. Malah Rasulullah telah menjelaskan bahawa kita tiada pilihan jalan lain,
kecuali jalan ikutan para Sahabat, itulah jalan yang satu, yang diperintahkan
agar kita mengikutinya. Manakala jalan-jalan yang lain, selain menuju ke jalan
yang satu itu, ada syaitan yang mengajak, perintis kesesatan dan penyelewengan
yang menyeru manusia kepadanya. Semoga
Allah memelihara kita dengan RahmatNya yang Maha Luas. WalLahu a‘lam.
[15] bulan Syawwal (bermula sejak 1hari bulannya), bulan Dzulkaedah dan
bulanDzulHijjah (hingga hari ke-10nya).
[17] Kitab at-Ta‘riefat hlm. 65 oleh al-Jarjani (ada sebut “Jur” dan
“Jir”) dan tafisran ayat tersebut dalam kitab Tafsir Al-Qur’ān al-‘Azīm yang lebih masyhur digelar Tafsier Ibn Katsier– oleh Imam Ibnu
Katsir, Abul Fidā’ Ismā‘il bin Katsīr (w.774H).
[23] Tafsier Ibn Katsier pada ayat tersebut.
[25] Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Imam Ibn Rajab (736-795H) di
dalam kitab beliau; Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam: hlm. 96-98, berdasarkan hadis
sahih: “Sesiapa mengamalkan amalan yang tiada kami ajarkan, maka ia tertolak”
dan asy-Syeikh as-Sa‘diy dalam al-Qawa‘id wa al-Usul al-Jami‘ah hlm. 26. al-Imam asy-Syatibi juga telah memperincikannya di dalam karangannya al-I‘tisam terutamanya Bab Kelima: (trj.)
Hukum-hukum Bid‘ah samada yang Haqiqiyah mahupun yang Idafiyah dan perbezaan di
antara keduanya.
[26] Yang mana kitab beliau; al-I‘tisam, keseluruhan kandungannya membicarakan tentang bahaya bid‘ah.
[29] Asy-Syifa’ oleh al-Qadi ‘Iyad: 2/88, Ighatsah al-Lahafan oleh Ibn Qayyim: hlm 373 tahqieq al-Halabi 1420H cetakan Dar Ibnul Jauzi.
[30] bin ‘Abdillah ibn ‘Umar bin al-Khattab (cucu ‘Umar dan antara ‘alim ahli fiqh terunggul
zamannya di Madinah).
[31] Riwayat al-Imam at-Tahawiy (Syarh Ma‘ani al-Atsar: 1/372) dengan isnad yang jayyid dan para perawinya Tsiqat.
[32] ‘A-isyah meriwayatkan bahawa beliau telah sapukan wangian pada
badan Nabi ketika sebelum ihram dan kesannya kekal pada badan baginda
selepas itu, ketika baginda dalam keadaan ihram – menunjukkan perkara itu
dibenarkan, berbeza dengan pendapat ‘Umar dan Ibn ‘Umar – riwayat ini dan jawapan Salim
disebutkan oleh al-Hafiz (Fath al-Bari:
3/501) pada syarah hadis ‘A-isyah
no:1539 Sahih al-Bukhariy.
[34] Diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad
(6/89), ad-Darimiy (1/67), al-Hakim (2/318) dan (2/239) dan beliau menghukumkannya Sahih serta disetujui oleh adz-Dzahabi, Ahmad Syakir dan lainnya.
[35] HR at-Tirmidzi (5/26), al-Hakim (1/129) daripada ‘Abdullah
bin Umar - tapi sanad periwayatannya Da‘ief. Namun ada periwayatan lain, yang Sahih dan banyak, bagi hadis ini sebagaimana ulasan Imam at-Tirmidzi
antaranya yang beliau riwayatkan daripada
Abi Hurairah (5/25), Abu Dawud (2/259) daripada Abi Hurairah dan Mu‘awiyah yang berderajat Hasan. Ibnu Majah
(2/1321) daripada Abi Hurairah dan ‘Auf bin Malik – kesimpulannya
hadis ini dapat dijadikan pegangan.
Comments
Post a Comment