Pendahuluan
إن
الحمد لله نحمده و نستعينه و نستغفره ، و
نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ، و من
يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا
الله وحده لا شريك له، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:
Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.
Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya
Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.
Allah telah berfirman:
Ertinya: Wahai
orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan
yang tepat - benar (dalam segala perkara), agar Dia memberi taufiq
dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah)
sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya
mencapai sebesar-besar kejayaan.[1]
Adapun
selanjutnya,
Pembaca yang
budiman, pertama sekali marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah, sebab
Allah telah kurniakan kepada anda petunjukNya, sehingga anda menjadi seorang
yang beriman kepadaNya dan 5 Rukun Iman lainnya. Bukan itu sahaja, Allah juga
telah menjadikan anda seorang muslim yang mempunyai kesedaran untuk mengambil
tahu bahkan mengambil berat tentang urusan ibadatnya kepada Tuhannya Yang Maha
Pengurnia. Buktinya, anda sedang menelaah buku kecil ini berkenaan Rukun Islam
yang kelima, Ibadah Haji.
Jika
dinilaikan, sungguh betapa ramai manusia yang tidak beriman kepada Allah.
Begitu pula, di kalangan mereka yang mengaku beriman, masih ramai lagi yang
tidak mengambil berat terhadap ibadahnya kepada Tuhannya.
Malah tidak
kurang pula, di kalangan mereka itu, yang ada kesedaran melaksanakan
kewajipannya selaku seorang hamba kepada Yang Maha Esa, Maha Pemurah Maha Pengurnia…namun,
sayangnya sikap mereka, “asal telah laksanakan ibadah sudah cukup bagus”,
padahal selayaknya sikap yang ada pada seorang hamba adalah: “Aku usaha
laksanakan ibadah ku ini, sebaik-baiknya yang aku termampu” sebab Allah telah
berfirman:
Ertinya: Dia
(Allah)lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu:
siapakah di antara kamu yang lebih baik/terbaik amalnya…[2]
Lantaran itu,
selayaknya sama-sama kita bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya ini, berupa
kesedaran untuk mengetahui dan seterusnya mengamalkan dengan sebaik-baiknya,
ibadah Haji dan Umrah agar diterima dan diredhaiNya.
Wahai pembaca
yang dimuliakan, semoga anda dirahmati Allah sentiasa, betapa ramai dalam kalangan
umat Islam yang masih melaksanakan Umrah dan Haji tanpa bekalan ilmu yang
sepatutnya.
Masih ada juga
di antara mereka yang secara pasrah meletakkan amanah “jaminan mendapatkan Haji
Mabrur, haji yang diterima Allah” pada syeikh-syeikh atau pembimbing-pembimbing
jemaah Haji semata-mata…dengan sikapnya: “kami sudah bayar, maka tanggungjawab
mereka pula membimbing kami.”
Ertinya: Dan janganlah engkau
mengikuti/memperkatakan apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya; kerana
sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua itu, akan
dipertanggungjawabkan (pada Hari Kiamat.[3]
Sebenarnya, anda,
wahai pembaca yang budiman, diri anda sendiri, adalah orang yang
bertanggungjawab memastikan ibadah Haji dan Umrah anda diterima Allah. Demikian
sebagai tanda kesyukuran anda yang selayaknya, setelah “layak” diterima menjadi
tetamu Allah.
Bukankah
seseorang itu akan merasa gembira jika orang istimewa atau kenamaan
mengundangnya sebagai suatu penghormatan buat dirinya? Maka selayaknya seorang
yang menjadi “tetamu Allah” berkunjung ke rumah Allah, Baitullah, adalah
“manusia pilihan”, tahu sedar diri ia akan berkunjung ke Rumah Tuhan yang Maha
Mulia.
Ia akan memastikan ia memanfaatkan peluang baik ini, yang belum pasti ada kali keduanya,
dengan sebaik-baiknya, berusaha jaga diri, dengan segala tingkah laku dan adab
yang baik agar disenangi “Tuan Rumah”.
Seandainya itu
adalah kali pertama dan terakhir ia berkunjung, ia akan merasa berpuashati
dengan yakin bahawa ia telah diterima sebagai tetamu yang dimuliakan,
disenangi.
Perumpamaan
tersebut, saya harapkan dapat memberi kita kesedaran untuk melaksanakan Ibadah
Haji atau ‘Umrah dengan sebaik-baiknya, selaku tetamu Allah yang baik yang
diredhaiNya. Bukan sebaliknya “tetamu” yang tidak tahu menghargai undangan,
tidak beradab, tidak tahu berterima kasih, tidak disenangiNya biarpun telah
diberi peluang berkali-kali. ‘Iyaadzan billaah!
Dengan
demikian, apa yang saya kemukakan di dalam tulisan ini adalah panduan untuk kita
sama-sama berusaha ke arah menjayakan ibadah kita, terutamanya Haji dan Umrah.
Bukan maksud
penulisan ini sekadar menambah satu lagi Panduan Haji & Umrah, bukan
pula untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam tulisan mereka atau ajaran mereka,
malah saya tidak tega untuk mengatakan tulisan ini sempurna dalam memberi
panduan kepada pembaca. Haasya lillaah!
Akan tetapi,
ia adalah satu usaha yang saya harapkan, dengannya saya mendapat ganjaran baik
daripada Allah di dunia dan Akhirat, amalan baik yang berterusan biarpun saya
telah tiada lagi di dunia ini, iaitu dengan membantu saudara Islam saya, yang
ingin melaksanakan ibadah Haji dan Umrahnya sesuai dengan perintah Allah dan
RasulNya;
Firman Allah:
Ertinya: Dan
sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah…[4]
Kata Jabir radhiyalLaah 'anhuma: Aku melihat Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam menunggang unta waktu melontar jamrah dan
bersabda:
"يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا”
Wahai umat
manusia, ambillah (tatacara perlaksanaan) Manasik kamu sebab aku tidak tahu,
mungkin aku tidak dapat tunaikan haji lagi selepas tahun ku ini.[5]
Justeru itu,
panduan yang sebaiknya, agar kita tidak kebingungan, supaya kita ketahui,
fahami dan hayati Manasik Haji dan Umrah dengan sebaiknya, apa yang perlu
dilakukan, apa pula yang selayaknya ditinggalkan dengan segala sebabnya dan
hikmahnya, tidak lain adalah panduan Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam tanpa ada keraguan lagi.
Ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam yang difahami melalui panduan dan pedoman
golongan manusia yang paling amanah, yang berjasa menyampaikan segala ajaran
Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam kepada umat yang datang selepas mereka, iaitu
para Sahabat radhiyalLaahu 'anhum. Sabda Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam:
"خير
أمتي القرن الذي بعثت فيه، ثم الذين يلونهم ثم الين يلونهم..."
Ertinya: Sebaik-baik
ummatku adalah mereka yang hidup sezaman dengan ku (para Sahabat), kemudian kurun
yang datang selepas mereka, kemudian kurun yang menyusulinya…[6]
Selain itu,
kita ikuti jejak para Imam rahimahumulLaah yang mewarisi ajaran Nabi dan
para Sahabat dengan sebaik-baiknya. Jasa mereka, berupa warisan ilmu
yang memahamkan kita, agar tidak salah dan sembarangan menyimpulkan sesuatu
hukum.
Mereka telah meletakkan
kaedah-kaedah pemahaman dalil-dalil dengan betul dan tepat. Apatah lagi
dalil-dalil yang zahirnya, seolah-olah membawa petunjuk yang saling
bercanggahan, yang dengan kaedah: al-Jam‘u [7], an-Naskh
[8]
dan juga at-Tarjih [9],
segalanya dapat dihuraikan.
Begitu juga
diketahui daripada ajaran mereka bahawa setiap perkara urusan agama ini perlu
kepada 3:
i.
Dalil [10]
ii.
Dalil itu
sahih – sah untuk dijadikan sandaran.[11]
iii.
Kesimpulan
yang tepat dalam berhujjah dengan dalil yang sah tersebut.[12]
Dengan
ketentuan seperti ini, penyelewengan dan salahtafsiran terhadap pemahaman nas-nas;
ayat al-Qur’an
dan hadis, dapat dielakkan dan umat berpanduan dalam berpegangan dengan
al-Qur’an dan as-Sunnah.
Di antara para
imam agung yang mengajarkan demikian adalah al-Imam asy-Syafi‘ie[13] rahimahulLaah dengan karangan beliau “Ikhtilaf al-Hadeets”
dan “ar-Risaalah”.
Meninggalkan ajaran para imam, dengan “pandai-pandai” meyimpulkan hukum
daripada al-Quran dan as-Sunnah, akan membawa kepada salah tafsiran dan penyelewengan.
Yang tepat
adalah sikap pertengahan, berpandukan ajaran warisan para Sahabat dan para
Imam.
Oleh itu,
ikutan kita kepada para Imam adalah berdasarkan ikutan kepada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, iaitu bilamana mereka tanpa sengaja telah
tersilap mengajarkan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan asal ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, dengan penjelasan dan teguran para imam yang
lain, yang mendatangkan bukti “kesilapan” tersebut, tentunya sikap kita, tidak
akan mengutamakan seorang imam yang kita sanjungi pada batas yang mana kita
mengenepikan atau mencanggahi Nabi Muhammad sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Tidak pula
kita bersikap yang tidak tepat, iaitu kita mengikuti pendapat seseorang imam
tanpa sandaran keterangan apa-apa dalil pun…asal saja ada qaul yakni
pendapat seseorang imam, sehingga kita akhirnya meninggalkan pesanan dan ajaran
asal Nabi, panduan para Sahabat serta ajaran para imam lain.
Apatah lagi seorang “guru agama”, “syeikh haji” atau Ustadz/Ustadzah yang tidak
setanding ilmunya dengan para Imam.
Kita sama-sama
sedari bahawa tidak layak kita ikuti beliau yang kita hormati sehingga
mengutamakan beliau lebih daripada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam. Itulah juga ajaran kesemua para imam iaitu: “Tiada
Ijtihad (baca: pendapat 'ulama') pada perkara yang sudah ada dalil yang jelas apatah lagi jika ijtihad itu
mencanggahi dalil”
Kita tentunya
dapat bersikap adil bilamana kesimpulan beliau terhadap dalil itu mencanggahi
keterangan sekian ramai ulama lainnya yang berpandukan dalil-dalil lain yang
memahamkan kesimpulan yang tepat. Apakah kita akan tetap ikuti pendapat beliau
dengan meninggalkan kesimpulan yang lebih kuat berpandukan dalil-dalil yang
lebih banyak hasil penilaian ‘ulama terbilang yang begitu ramai?
Bukan pula
kita jadikan kaedah-kaedah fiqh dan usul, yang ulama telah tetapkan, sebagai
bahan permainan untuk kita melewati batas keterangan Syara‘. Sehingga kaedah
dijadikan dalil pada perkara yang mencanggahi dalil-dalil lain.
Antara contoh
yang ada dalam permasalahan Haji dan Umrah.
- Ketika Ihram,
seorang lelaki diwajibkan mengenakan ihram, sebab Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam mengenakan pakaian ihram selepas mandi, di Dzil Hulaifah,
miqat penduduk Madinah. Demikian untuk
setiap ‘Umrah dan Haji yang baginda laksanakan kecuali ‘Umrah Ja‘ranah kerana
Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam datang dari arah lain, selepas Fath
Makkah, keluar dari Makkah untuk menakluki kawasan Ta-if.
- “Darurat” –
tidak selesa berihram, hanya mengenakannya setibanya di Mekkah. Katanya:
Masyaqqah tajlibu at-Taysier – Kesempitan kesusahan menjadikan diperbolehkan
yang mudah. Tanpa mengambil kira syarat dan ketentuan penggunaan kaedah
tersebut yang telah digariskan oleh ‘ulama Qawa‘id
Fiqhiyah.
- “Sebahagian
‘ulama berpendapat, cukup berihram daripada jarak diperbolehkan Qasar, tidak
semestinya dari Miqat”, tanpa menilai pendapat tersebut dengan segala
dalilnya dan pendapat yang lebih kuat yang mencanggahinya.
- “Ada jemaah buat, kita pun
boleh buat”, dilakukan tanpa ilmu sekadar ikut-ikutan.
Justeru itu,
sikap kita mempunyai peranan yang amat penting dalam urusan ibadat kita yang
kelak kita akan persembahkan di hadapan Allah. Firman Allah:
Ertinya: …oleh
itu gembirakanlah hamba-hambaKu - Yang berusaha mendengar penyampaian perkataan
lalu mereka memilih dan menurut yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama);
mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berakal sempurna. [14]
Oleh yang
demikian, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi hamba-hamba Allah yang
sentiasa mencari kebenaran, sudi mendengar dan menilai untuk meraih keredhaan
Allah. Semoga dengan sikap yang betul, kita akan mendapatkan amalan yang
diterima Allah dan diredhaiNya. Amien ya Rabbal ‘alamien.
Semoga dengan
penjelasan itu tadi dapat difahami metode atau cara bimbingan Manasik Umrah, Haji dan Ziarah ini, diusahakan dengan diberikan rujukan-rujukannya untuk mengemukakan “Manasik Haji dan Umrah yang
dituntun oleh Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam disertai penjelasan para Sahabat radhiyalLaahu 'anhum dan para Imam, 'ulama berbilang Madzhab, rahimahumulLaah”
Di samping
itu, disertakan juga ulasan yang perlu terhadap perkara-perkara baru yang
tidak disebutkan ‘ulama terdahulu kerana tidak berlaku pada zaman mereka,
dengan huraian ‘ulama masa kini, yang berpandukan panduan-panduan yang telah
dijelaskan tadi.
Hanya apabila
terpaksa, bilamana tidak diketemukan dengan kajian yang sederhana, ulasan
‘ulama terhadap perkara itu, dijelaskan berdasarkan pemahaman peribadi saya,
yang sebaiknya diteliti; dterima seandainya bersesuaian dengan garis panduan
itu tadi dan ditolak jika ternyata ada yang tidak bersesuaian dengannya. WalLahul
Musta‘an, walLahu
a‘lam.
Saya berusaha
menyusunnya menurut “perjalanan Ibadah Haji dan ‘Umrah” daripada tanah air
sehingga selesai Manasik, beserta ilustrasi yang diharapkan mempermudahkan lagi
saudara seIslam saya menunaikannya sesuai perintah Allah dan RasulNya, tanpa
rasa keberatan Insya Allah.
[5] Riwayat an-Nasa-i; (K) Manasik al-Hajj, no: 3012. Dinilai Sahih oleh al-Albaniy; Sahih al-Jami‘ as-Saghier: no: 7882. Riwayat yang seiras ada
di dalam Sahih Muslim; (K) al-Hajj no: 2286.
[6] Riwayat Muslim (Abu
Hurairah) Sahih al-Jami‘: no: 3301. Dengan lafaz yang berbeza
namun maknanya sama, diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhariy, Muslim at-Tirmidzi (Ibn Mas‘ud – no: 3295), at-Tirmidzi, al-Hakim (‘Imran bin Husayn – no: 3294), at-Tabarani (Ibn Mas‘ud – no: 3293), Muslim (‘Ai-syah – no: 3288)
[7] pemadanan petunjuk atau persefahaman antara dalil-dalil,
sehingga kesemua dalil yang membawa petunjuk hukum yang zahirnya berbeza, dapat
diamalkan dengan seimbang, setelah dipadankan.
[8] satu petunjuk hukum daripada dalil-dalil sebenarnya telah
dimansuhkan dan tidak diamalkan lagi yang dengannya tidak timbul percanggahan
[9] membuktikan bahawa salah satu petunjuk hukum berasaskan
dalil yang lebih kuat dan utama diamalkan sehingga ditinggalkan dalil yang
lemah yang mengandungi petunjuk yang
sebaliknya.
[10] Berupa nas al-Quran, as-Sunnah ataupun
al-Ijma‘
(kesepakatan ulama sejak zaman Sahabat). Fatwa Sahabat,
al-Qiyas dan lain-lain, adalah sumber sampingan tidak seperti 3 yang pertama
tadi. Jika daripada asal tiada dalil, ia tidak dapat dijadikan sumber atau asas
hukum.
[11] Tidak seperti al-Qur’an, hadis-hadis ada yang tulen sahih
dan ada yang diragui kebenarannya dengan penerangan ‘ulama hadis. Hadis lemah
tidak dijadikan sandaran hukum dengan kesepakatan ulama – sila rujuk Muqaddimah
kitab Hadis 40 Imam Nawawi (w:676H). Beliau di antara ‘ulama yang menegaskan
demikian.
[12] Setelah adanya dalil dan dalil itu sah dijadikan dasar
hukum, kesimpulan yang dibuat daripada dalil itu mestilah hujjah yang betul. Misalnya
orang berhujjah dengan ayat: “dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu”
(Surah Ta-ha:
20:14) telah memenuhi kedua syarat pertama tadi tetapi hujjahnya: Orang yang
boleh ingat Allah sentiasa, tidak perlu solat kerana telah sampai maksud hakikat
solat…tentunya adalah kesimpulan menyeleweng sebab Nabi dan para Sahabat
tidak pernah tinggalkan solat apatah lagi menganggap solat tidak perlu
dilaksanakan. Maka ia bercanggah dengan dalil yang banyak. Begitu juga,
kesimpulan golongan Mu‘tazilah, Khawarij dan lain-lain
yang mengambil sebahagian dalil, meninggalkan dalil-dalil lainnya kerana
mencari dalil yang sesuai dengan hawa nafsu ikutannya semata-mata dan bukannya
menjadikan hawa nafsunya tunduk pada tuntutan wahyu. Dijelaskan demikian agar
kita tidak menjadi golongan menyeleweng sedemikian dalam urusan ibadat Haji dan
‘Umrah, mengikuti hawa nafsu dan ingin meremehkan sebahagian tuntutan lalu
mencari dalil untuk menjadikannya sebagai alasan dan “rasa tidak bersalah”
walaupun hanya sekadar pendapat seorang ‘alim tanpa ada sandaran dalil yang
kukuh.
[13] Imam Muhammad bin Idries bin al-‘Abbās
bin Syāfi‘ asy-Syāfi‘ie al-Qurasyi, Muttalibi al-Hāsyimi, bercantum nasabnya
dengan Nabi pada moyang bernama ‘Abdu Manāf bin Qusay. Dilahirkan pada
tahun 150H dan wafat tahun 204H.
Comments
Post a Comment