Sunnah untuk Menziarahi Masjidil Aqsa; Sanggahan terhadap Larangan Menziarahi al-Aqsa serta Panduan ketika Menziarahinya.

Adapun bagi yang menziarahi Masjid al-Aqsa, BaitulMaqdis, maka sayugianya ia beringat bahawa tujuannya ke BaitulMaqdis adalah untuk menunaikan solat di MasjidilAqsa sebagaimana yang telah Rasulullah sollallaahu 'alayhi wa sallam pesan, agar menziarahi 3 Masjid Utama di atas muka bumi untuk tujuan beribadah. Rasulullah sollallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda:


لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ و المسجد الأقصى

“Tiada bersusah payah mengadakan perjalanan bermusafir kecuali ke 3 Masjid; Masjidil Haram, Masjid ar-Rasul (Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.” [1]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy rahimahullaah: al-Bazzar dan at-Tabaraniy telah meriwayatkan hadis daripada Abi ad-Darda’ yang beliau nyatakan secara marfu‘: 


الصَلَاة فِي المسجد الحرام بمائة ألف صلاة ، و الصلاة في مَسْجِدِي هَذَا بأَلْفِ صَلَاةٍ و الصلاة في بيت المقدس بخمسمائة صلاة

“Solat di Masjidil Haram (ganjarannya) adalah sebanyak seratus ribu (100,000) solat dan solat di masjid ku ini (Masjid Nabawi) (ganjarannya) adalah sebanyak seribu (1000) solat dan solat di Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) (ganjarannya) sebanyak lima ratus (500) solat.”
Kata al-Bazzar: Isnadnya Hasan. Maka dengan itu, menjadi jelas bahawa pengecualian Masjidil Haram membawa maksud keutamaannya ke atas Masjid Nabawi…[2]


Ingatlah para jemaah yang berkunjung ke Palestin, Masjidil Aqsa, akan hadis pesanan Nabi sollallaahu 'alayhi wa sallam ini yang mereka dapat jadikan pegangan, panduan dan hujjah.

Banyak yang diperkatakan oleh pihak sekian-sekian dan ada di antara mereka bergelar profesor dan 'alim. Mereka melarang BaitulMaqdis dan MasjidilAqsa diziarahi oleh kaum muslimin (yang datang dari luar) kerana ia sekarang ini ditakluki oleh Yahudi dan perbuatan menziarahinya dikira sebagai pengiktirafan dan penerimaan bahawa MasjidilAqsa layak dikuasai golongan penjajah serta menginapnya dan berbelanjanya kita di sana dianggap satu sokongan kepada ekonomi golongan penjajah dan menguntungkan dan memajukan mereka.

Sanggahannya:
1. Tiada seseorang yang lebih utama untuk dipatuhi dan kata-katanya diikuti daripada Rasulullah sollallaahu 'alayhi wa sallam. Di dalam hadis itu tadi, baginda yang telah menggalakkan kita, umatnya, menziarahi 3 Masjid Utama dan salah satunya adalah Masjid al-Aqsa.
2. Sewaktu Nabi sollallaahu 'alayhi wa sallam menyampaikan hadis galakan menziarahi MasjidilAqsa, ketika itu, ia masih dijajahi dan dikuasi oleh Kaum Romawi yang beragama Nasrani. Seandainya yang menjadikannya terlarang disebabkan keadaannya di bawah jajahan bukan Islam.
3. Kawasan al-Quds yang dikelilingi Tembok, merupakan tanah milik kaum Muslimin kerana ia di bawah kuasa Kerajaan Hashimi Jordan, meskipun tanah yang berada di luar tembok dikuasai oleh kaum Yahudi. (Sila lihat gambar yang memaparkan Tembok keliling al-Quds di sini.
4. Apabila kita mendapatkan khidmat agensi kaum muslimin di sana, mereka akan menempatkan kita, kaum muslimin, di penginapan yang dimiliki dan diusahakan oleh kaum muslimin dan begitu juga apabila kita dibawa makan dan berbelanja, hampir kesemua tempat tersebut diusahakan kaum muslimin dan umumnya Arab Palestin. Bermakna, kita membantu dan menyokong saudara seagama kita yang memerlukan sokongan kita. 
5. Jika kaum muslimin yang lain (dari luar) tidak menziarahi BaitulMaqdis dan MasjidilAqsa, dikhuatiri kaum penjajah akan menganggap, kaum muslimin sudah tidak lagi mempedulikannya dan mempertahankannya serta tidak berhasrat menziarahinya atau mengekalkannya sebagai milik kaum Muslimin (sebab Masjidil Aqsa, mahupun Dome of the Rock atau bukitnya yang menjadi tempat suci kaum Yahudi semuanya hanya digunakan kaum Muslimin untuk beribadah)
Wallaahu a'lam.       

Sewaktu di Palestin, kebanyakan pemandu penziarah (tour guide) akan membawa jemaah menziarahi antaranya, Kubur Nabi Ibrahim, Nabi Ya'qub, Nabi Ishaq, Nabi Yusuf (di Hebron - Masjid Ibrahim al-Khaleel), Kubur Nabi Daud (King Daivid's Tomb), Kubur Nabi Musa (di Jericho), Maqam (ada masjid) Nabi Yunus (di Hal-houl - sekitar Hebron juga), Maqam sebahagian Sahabat (antaranya Salman al-Farisi). 

Ada di antara mereka (para pemandu) memahamkan bahawa tiada kepastian tentang kebenaran kubur-kubur ini merupakan kubur-kubur para Nabi dan para Sahabat tersebut, malah dijelaskan bahawa "Maqam" bukan bererti "kubur" hanya seperti "tugu peringatan". Namun hampir setiap tempat ini ada masjid. 
[Hanya satu kubur sahaja di muka bumi ini, yang kita pasti adalah kubur seorang nabi iaitu pusaranya Nabi Muhammad sollallaahu 'alayhi wa sallam yang berada di dalam Hujrah di bawah Kubah Hijau bersebelahan Masjid Nabawi]. Malah Masjid Ibrahim al-Khaleel dikatakan sebagai Masjid ke-4 yang utama di muka bumi dan ini adalah dakwaan tidak berasas kerana jika ada masjid yang ke-4 yang utama setelah 3 masjid utama, tentunya ia adalah Masjid Quba', sebab solat 2 rakaat di dalamnya mendapatkan pahala Umrah, manakala Masjid Ibrahim al-Khaleel tiada satu riwayat atau hadis pun mengenai keutamaannya.  

Oleh itu, hindarilah daripada melakukan perbuatan terlarang yang dilarang oleh Rasulullah sollallahu 'alayhi wa sallam iaitu melakukan solat di masjid yang ada kubur di dalamnya, apatah lagi yang "maqam"nya jelas berdiri megah sehingga dirasakan bahawa masjid itu didirikan disebabkan maqam tersebut.

“Rasulullah sollallahu 'alayhi wa sallam telah melarang perbuatan meninggikan dan memantapkan kubur, duduk di atasnya, membuat binaan di atasnya, [atau ditambahkan padanya], [atau menulis sesuatu padanya].” [3]

“‘Ali bin Abi Talib telah berkata kepada ku: Mahukah kamu aku utuskan dirimu dengan suatu tugas sebagaimana Rasulullah telah mengutusku dengannya: Agar anda tidak membiarkan satu berhala [didalam riwayat lain: gambar] [di dalam rumah] kecuali anda hancurkan dan lenyapkannya dan tidak pula satu kubur yang ditinggikan kecuali anda ratakannya.” [4]

“Jangan kalian solat menghadap kubur dan jangan duduk di atasnya.” [5]

Abu Hurairah radhiyallaah 'anhu meriwayatkan sabda baginda sollallahu 'alayhi wa sallam:
“Ya Allah, janganlah Kau jadikan kubur ku satu sembahan. Allah melaknati kaum yang menjadikan kubur para Nabi sebagai masjid-masjid/tempat-tempat ibadat.” [6]


Masih tiada salahnya untuk kita menziarahi kubur-kubur tersebut, namun dengan 2 tujuan yang Nabi sollallahu 'alayhi wa sallam ajarkan; iaitu mengingati akhirat (peringatan tentang kematian yang akan kita tempuhi) dan mendoakan si mati dan diri kita dengan kesejahteraan sebagaimana tuntunan Nabi sollallahu 'alayhi wa sallam apabila menziarahi perkuburan seperti yang dijelaskan di dalam doanya: hikmah dan tujuan ziarah kubur seperti yang terkandung dalam doa ziarah kubur

Jauhilah kesalahan berdoa meminta kepada selain Allah (syirik) atau melalui perantaraan di kubur-kubur tersebut, apatah lagi bilamana tiada kepastian kubur-kubur itu milik insan-insan mulia tersebut malah ada atau tidak jenazah dikebumikan di situ.

Adapun pergi menziarahi Gereja, yang dikatakan tempat kelahiran Nabi Isa dan sebagainya maka hindarilah daripada memasuki tempat-tempat ibadat Agama lain bilamana ada lambang-lambang syirik di dalamnya.
Kata al-Imam al-Bukhariy:
Bab 54 - Bab Solat di dalam Bie'ah (yakni Saumaah, Kuil Yahudi)
Kata Umar (bin al-Khattaab) radhiyalLaah 'anhu: Sungguh kami sesekali tidak akan memasuki gereja-gereja kamu kerana di dalamnya masih ada lambang-lambang (salib). 

Ingatlah, semoga Allah mengurniakan petunjukNya kepada anda dan memelihara anda daripada segala keburukan, perkara utama yang kita lakukan ketika di BaitulMaqdis ialah solat di MasjidilAqsa.

Wallaahu a'lam.



[1] Hadis riwayat Imam al-Bukhariy (K: al-Jumu‘ah, B: Fadli as-Solat fi Masjid Makkah wa al-Madienah: no: 1115). Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim dan lainnya.    
[2] Fath al-Bari 3/81.
[3] Riwayat Muslim (3/62) dan ahli Hadis lainnya, antaranya As-hab as-Sunan..
[4] Riwayat Muslim (3/61) dan lainnya.
[5] Riwayat Muslim (3/64) dan lainnya. 
[6] Riwayat Imam Ahmad (2/246), Ibn Sa‘ad (at-Tabaqat: 2/362) dan lainnya dengan sanad Sahih.

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.