Syarat-syarat yang menjadikan Haji dan ‘Umrah Wajib ke atas seseorang muslim/muslimah


Syarat-syarat yang menjadikan Haji dan ‘Umrah Wajib ke atas seseorang muslim/muslimah:

1.1       Beragama Islam:
Firman Allah subhanahu wa ta'ala:
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haram.[1]

Terdapat beberapa dalil lain, antaranya ayat-ayat yang menjelaskan bahawa amalan akan gugur sia-sia tidak diterima, dengan adanya syirik[2].

1.2        ‘Aqil – berakal
Justeru itu, orang yang tidak berakal, misalnya, orang yang tidak siuman atau gila, mahupun yang kurang cerdas (pada tahap yang tidak memahami tuntutan), tidak berkewajipan melaksanakan Haji atau ‘Umrah. Sabda Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam:  
"رفع القلم عن ثلاثة ؛ عن المجنون المغلوب على عقله حتى يفيق، و عن النائم حتى يستيقظ ، و عن الصبي حتى يحتلم"
Ertinya: Diangkat catatan (pahala dan dosa) daripada 3 golongan; orang gila yang tidak berakal sehinggalah ia siuman, orang yang tidur sehingga ia sedar bangun berjaga dan anak kecil sehinggalah ia bermimpi basah (baligh). [3]

1.3        Baligh – sampai peringkat usia mampu melaksanakan tanggungjawab
Maka ia tidak wajib ke atas anak kecil, yang belum baligh. Baligh itu berlaku dengan salah satu tanda berikut:
-          Lelaki atau Perempuan bermimpi sehingga keluar air mani, ataupun Perempuan: mula mengalami haid.
-          Ukuran tubuh mereka mencecah 6 jengkal
-          Mencapai usia 19 tahun walaupun tiada tanda-tanda itu tadi.[4]
-          Mencapai usia 14 tahun[5] (di sisi kebanyakan ‘ulama)

Akan tetapi, jika seorang anak yang belum baligh melaksanakan Haji atau ‘Umrah, ia dikira sah, namun ia tetap perlu melaksanakan Hajinya setelah ia baligh.
Yang demikian berpandukan hadis Ibn ‘Abbas radiyalLahu 'anhuma: “Seorang wanita telah mengangkat anak kecilnya agar Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam dapat melihat anaknya itu lalu bertanya: Apakah Haji boleh dilakukan anak ini? Jawab Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam: Ya dan bagi mu ganjarannya.”[6]
Digandingkan dengan sabda baginda sollalLahu 'alaihi wa sallam:
"أيما صبي حج ثم بلغ فعليه حجة أخرى وأيما عبد حج ثم عتق فعليه حجة أخرى"
Ertinya: Sesiapa sahaja daripada kalangan anak kecil yang menunaikan haji, kemudian ia baligh, maka wajib atas dirinya perlaksanaan Haji yang lain (sekali lagi) dan mana-mana hamba sahaya yang menunaikan haji, kemudian ia merdeka, maka wajib atas dirinya perlaksanaan Haji sekali lagi. [7]

1.4        Merdeka bebas sepenuhnya daripada perhambaan.
Sebagaimana yang Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam telah jelaskan dalam hadis tadi.

1.5        Kemampuan
Haji hanyalah diwajibkan ke atas seseorang dengan kemampuan. Yang demikian berdasarkan nas-nas al-Qur’an, as-Sunnah sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dan juga al-Ijma‘ (kesepakatan ‘ulama’). [8] Namun jika orang yang tidak berkemampuan menunaikan Haji, maka ia dikira sah. [9]

1.6        Ditemani Mahram syarat khas bagi wanita
Berdasarkan sabda Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam: “...و لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Ertinya: “..dan tidak pula seorang wanita itu bermusafir kecuali dengan ditemani mahramnya” maka seorang lelaki bangun lalu berkata: Wahai Rasulullah, isteri saya telah bersiap untuk keluar pergi haji, sedang saya telah disenaraikan dalam peperangan sekian. Ujar Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam: “Pergilah tunaikan haji bersama isterimu –انطلق فحج مع امرأتك  [10]
Di dalam sebuah hadis lainnya, Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
, لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ -
Ertinya: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk bermusafir sejauh perjalanan sehari kecuali ada bersamanya mahramnya.[11]
Maka diharamkan seorang wanita bermusafir bersama seseorang yang bukan mahramnya, meskipun untuk tujuan ibadah atau menunaikan haji.
-    ‘Ulama bersepakat: Tidak wajib ke atasnya menunaikan ibadah haji, namun apakah ditemani mahram itu “syarat yang menjadikan haji wajib” atau “syarat sah perlaksanaannya”:
‘Ulama’ ada 2 pendapat di dalam hal ini. Pendapat yang lebih utama dan benar: ia adalah syarat untuk menjadikan ibadah haji itu wajib (maknanya jika tiada mahram, tidak/belum wajib haji ke atasnya). Akan tetapi, mereka berpendapat bahawa jika ia tetap melaksanakan haji (tanpa mahram), ia dikira haji yang sah dan wanita itu tetap berdosa kerana bermusafir tanpa mahram, di sisi para Imam 4 Madzhab yang utama, sebab syarat-syarat layak menunaikan haji telah cukup dan maksiatnya tidak terikat dengannya.
-    Mahram bagi seseorang wanita adalah suaminya dan sesiapa yang haram untuk dinikahinya buat selama-lamanya[12] samada kerana faktor nasab (talian persaudaraan/kekeluargaan) seperti adik beradik lelakinya ataupun faktor yang mubah/harus hukumnya seperti adik-beradik lelaki susuannya ataupun persemendaan seperti suami kepada ibunya (yang telah menggauli ibunya)
-    Syarat sahnya mahram adalah Islam, maka seorang kafir tidak sah menjadi mahram (biarpun haram dinikahi – misalnya; adik beradiknya kafir) dan begitu juga semestinya mahram itu adalah seorang yang akil baligh (berakal dan sampai umur baligh) sebab seseorang yang masih kecil dan juga orang gila tidak akan tercapai penjagaan dan pemeliharaan serta kelayakan padanya.
-    Tidak selayaknya seseorang suami itu melarang isterinya daripada melaksanakan Haji yang wajib (bukan Sunnat – yakni pertama kali) dengan ia ditemani mahramnya dan menjadi kewajipan ke atas si isteri untuk menunaikan Haji (dalam keadaan ini) meskipun suaminya tidak mengizinkan. Adapun jika si isteri telah berihram tanpa izin suami, si suami tidak memiliki (hak) pelepasannya daripada ihram dan adalah mustahab baginya untuk tetap meminta izin si suaminya.
-    Tujuan daripada keperluan adanya mahram adalah sedia diketahui. ‘Ulama ada beberapa sudut penilaian terhadap keperluan ini. Sebahagian di antara mereka berpegang dengan nas-nas secara zahir, maka mereka tidak memberi apa jua bentuk keringanan tidak kira samada wanita berumur ataupun yang muda, samada ditemani wanita lain yang dipercayai sifat amanahnya ataupun tidak dan tidak kira ia berkeyakinan tinggi pada dirinya sendiri (confident) ataupun sebaliknya. 
        
-    Ada di antara mereka pula yang menilai daripada sudut maksudnya dan tujuan Syara‘ (demi menjamin keselamatan dan maruah wanita), maka selama adanya keinginan terhadap wanita (dan terdedah kepada ancaman yang menjejas keselamatan dan maruahnya), maka beramal menurut nas-nas tersebut adalah wajib. Adapun jika tiada lagi kekhuatiran dalam hal tersebut, iaitu wanita tersebut mempunyai keyakinan diri sendiri ataupun kerana ditemani sekumpulan wanita yang amanah ataupun kerana sudah berumur ataupun kerana ia bermusafir dalam satu rombongan besar seperti ketika menaiki pesawat dan ia telah dihantarkan sehingga saat perpisahan oleh mahramnya dan disambut ketibaannya oleh mahramnya juga, maka golongan ini tidak berpegang dengan nas-nas secara zahir dan menurut penilaian mereka tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan jika keadaan perjalanannya demikian.
-    Adapun Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahulLah, maka di dalam al-Ikhtiyarat ditukil nasnya daripada beliau: Seorang wanita yang berkewajipan melaksanakan Haji boleh pergi bermusafir tanpa mahram selama ia merasa yakin pada diri sendiri dan keadaannya selamat kerana telah lenyapnya ‘illah (punca/alasan). Kata beliau lagi: Yang demikian itu juga untuk setiap perjalanan bermusafir berbentuk ketaatan.
Kata Syeikh al-Bassam: Permasalahan ini adalah permasalahan (yang terbuka kepada) ijtihad di kalangan ‘ulama. Maka golongan yang mengambil nas-nas secara umumnya (keseluruhannya) mereka menetapkan hukum menurut zahirnya dan mengharamkannya secara mutlak (tanpa pengecualian atau keterikatan dengan keadaan selamat, keyakinan diri, usia tua dan sebagainya). Mereka yang menilai dari sudut maksud atau tujuannya daripada pengharaman bermusafir, maka mereka mengharuskan dalam beberapa bentuk/gambaran/keadaan yang mana bila tiada keraguan pada keselamatannya dan ketiadaan apa yang mencurigakan di sekitarannya. Yang rajih (lebih tepat) adalah pendapat asy-Syeikh rahimahulLa(Syeikhul Islam) yang mengharuskan dengan adanya keadaan yang selamat dan aman dan ia telah pun disebutkan sebelum ini.[13] 

Kata al-Imam an-Nawawi rahimahulLapula: Cabang permasalahan: Apakah diharuskan bagi seseorang wanita untuk bermusafir demi menunaikan Haji sunnat (bukan Fardu/wajib) ataupun untuk ziarah dan perniagaan dan yang sepertinya bersama-sama dengan sekumpulan wanita yang dipercayai (kebaikan dan keagamaan mereka) ataupun sekadar seorang sahaja wanita yang demikian sifatnya? Ada 2 wajah[14]. Kedua-duanya disebutkan oleh asy-Syaikh Abu Hamid dan al-Mawardi, al-Muhamiliy dan lainnya dari golongan al-As-hab dalam Bab al-Ihsar. Ia juga ditukil oleh al-Qadi Husayn, al-Baghawi, ar-Rafi‘ie dan lainnya; salah satunya (1 wajah/riwayat): Ia diharuskan seperti Haji (yakni seperti Haji wajib/Fardu). 1 lagi (wajah): yang ini adalah yang sahih dengan kesepakatan mereka dan yang dinaskan di dalam al-Umm dan demikian yang mereka semua riwayatkan daripada nas tersebut: Tidak diharuskan (terlarang) sebab ia adalah perjalanan bermusafir yang bukan wajib, sebagaimana yang dijelaskan sebabnya oleh al-Baghawi… [15] kemudian beliau mengemukakan dalil-dalil daripada hadis-hadis sahih, sebahagiannya adalah hadis-hadis yang sama yang telah disebutkan dalam perbahasan ini.

Semoga dengan penerangan panjang lebar itu tadi, para pembaca yang dimuliakan telah dapat memahami bahawa seseorang wanita yang melaksanakan hajinya tanpa mahram, hajinya tetap sah, namun ia berdosa melanggar larangan Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam, dengan bermusafir tanpa mahram.

Untuk hajinya yang pertama atau yang fardu/wajib, bukan sunnat, ada kelonggaran di sisi sebahagian ‘ulama untuk ia pergi tanpa mahram selama mana keadaannya selamat, samada dengan perjalanan yang diyakini aman, atau dengan adanya rombongan yang amanah bersamanya, atau tiada lagi keinginan pada dirinya kerana usia tuanya, yang menjaminnya terpelihara daripada bahaya dan ancaman terhadap keselamatan dan maruah dirinya. Dengan itu, di sisi golongan ‘ulama’ ini, wanita itu tidak berdosa dan diperbolehkan untuk menunaikan hajinya tanpa mahram.

Sebab itulah, pihak Kementerian Haji Negara Arab Saudi, yang bermadzhab Hambali, mensyaratkan wanita yang perlu menunaikan haji atau ‘umrah wajib ditemani mahramnya. Jika tiada mahram yang menemaninya, perlu ia mendapatkan izin bertulis daripada suaminya. Begitu pula soal usia 45 tahun ke atas kerana mengambil kira, umumnya umur wanita yang mengalami menopause atau putus haid. Segalanya demi mengikuti ajaran agama, bukan peraturan bikinan manusia semata-mata. Dalam hal ini, tidak diikuti pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, yang mungkin di sisi ‘ulama besar mereka, tidak sekuat dan bermaslahah berbanding pendapat asal Madzhab Hambali. [16] WalLahu a‘lam.

Sedihnya, sikap sebahagian kaum muslimin, bahkan pembimbing jemaah, yang kerana tidak dapat memenuhi permintaan jemaah, demi menjaga hati jemaah atau “langganan” pada khidmat mereka, seringkali mempersalahkan, mengeluarkan hukum yang tidak selayaknya pada pihak yang bersusah-payah, selaku tuan rumah, menguruskan segalanya untuk memenuhi keperluan jemaah. Apatah lagi dalam memelihara hukum-hukum Allah dan RasulNya. Mempersalahkan yang lain untuk membebaskan dirinya daripada apa-apa tanggungan tanggungjawab dan amanah. Lebih buruk lagi bila mempersalahkan golongan ‘ulama’nya, yang sebahagian mereka, dikenali dengan keluasan ilmu dan sifat wara’ oleh masyarakat mereka dan sebahagian umat sedunia.

Bukan maksudnya pihak “tuan rumah” tiada kekurangan atau kesilapan, namun yang kita khuatiri ialah sikap mempersalahkan dan menuduh melulu tanpa usul periksa dan pemahaman yang tepat terhadap keadaan dan sebab-sebab sebenar. 
Pada masa yang sama, pembimbing seperti ini tidak mengambil peduli terhadap larangan-larangan Nabi sollalLahu 'alaihi wa sallam seperti ini, menjadikan begitu ramai pegawai wanitanya, pergi tanpa mahram, ‘umrah/haji sunnat/badal bukan haji wajib, semata-mata kerana keperluan pengurusannya dan keuntungan duniawi semata-mata. WalLahul Musta‘an.  

Oleh itu, sesiapa yang pada dirinya telah dapat memenuhi segala syarat yang disebutkan tadi, menjadi wajib atas dirinya untuk segera melaksanakan ibadah Haji, Rukun Islamnya yang kelima dan tidak diperbolehkan baginya untuk menundakannya. Yang demikian itu berpandukan hadis Ibn ‘AbbaradiyalLahu 'anhuma:  Rasulullah sollalLahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
"تعجلوا إلى الحج – يعني الفريضة – فإن أحدكم لا يدري ما يعرض له"
Bersegeralah tunaikan haji – yakni yang fardu – sebab seseorang di antara kalian tidak tahu apa yang akan merintanginya[17]

Lantaran itulah ‘Umar bin al-KhattaradiyalLahu 'anhu pernah menegaskan: “Sungguh aku berhasrat menugaskan beberapa petugas ke seluruh pelusuk negeri, bilamana mereka mendapati orang yang telah berkemampuan menunaikan Haji tapi tidak pergi melaksanakannya, mereka mengambil jizyah (cukai yang dibayar orang bukan Islam kepada Penguasa Islam) kerana sebenarnya tidak sempurna Islam mereka, tidak sempurna Islam mereka [18]
Dalam riwayat yang lain daripada beliau radiyalLahu 'anhu: “Biar mati selaku seorang Yahudi atau Nasrani – beliau ulanginya 3 kali – orang yang mati  sedang ia belum laksanakan haji padahal ia telah berkemampuan dan tiada halangan untuk mengadakan perjalanannya [19]

Hujjah 'ulama yang menyatakan diperbolehkan bagi wanita bermusafir tanpa mahram

Sebagaimana yang disebutkan tadi, sebahagian 'ulama memahami bahawa hukum syarat bermahram telah dimansukhkan selama mana perjalanan wanita itu terjamin keselamatan pada dirinya dan maruah serta kehormatannya. 
Di antara 'ulama tersebut adalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahulLah, sebagaimana di dalam al-Ikhtiyarat ditukil nasnya daripada beliau (terjemahan): Seorang wanita yang berkewajipan melaksanakan Haji boleh pergi bermusafir tanpa mahram selama ia merasa yakin pada diri sendiri dan keadaannya selamat kerana telah lenyapnya ‘illah (punca/alasan). Kata beliau lagi: Yang demikian itu juga untuk setiap perjalanan bermusafir berbentuk ketaatan.

'Ulama seperti beliau, bukan berhukum menurut hawa nafsu atau tuntutan zaman atau keredhaan golongan manusia tertentu, malah berdasarkan kepada riwayat berikut ini:  
Hadis – menyokong Wanita bermusafir tanpa mahram
"عَنْ عَدِيّ بِن حاتِم قال: قال رسولُ الله : يَا عَدِيّ هَلْ رَأَيْتَ الْـحِيْرَةَ؟ قلتُ: لم أرها ، و قد أُنْبئتُ عنها. قال: فإن طالت بك حياة لترين الظعينة ترتحل من الحيرة حتى تطوف بالكعبة ، لا تخاف إلا الله"
Daripada ‘Adiy bin Hatim katanya: Rasulullah telah bersabda: Wahai ‘Adiy pernahkah anda melihat (yakni sampai) ke al-Hierah[20]? Jawab ku: Saya belum pernah melihatnya namun telah diceritakan kepada saya mengenainya. Sabda baginda : Seandainya hidup mu panjang pasti kamu akan melihat sekedup[21] bermusafir daripada al-Hierah sehingga ia bertawaf di keliling Ka‘bah, tidak takuti sesuatu selain Allah. [22]

Walaubagaimanapun, perlu diambil pendapat mereka dengan syarat-syarat yang telah mereka tetapkan iaitu; 
merasa yakin pada diri sendiri dan keadaannya selamat kerana telah lenyapnya ‘illah (punca/alasan) yang mendorong Rasulullah melarang wanita bermusafir tanpa mahram.
Justeru, perlu diteliti atas dasar taqwa dan kesimpulannya, mengelakkan perselisihan 'ulama di dalam hal ini, iaitu dengan seseorang wanita itu memastikan ia ada mahram ketika ia bermusafir untuk hajinya yang pertama (yang fardhu/wajib) adalah yang terbaik terpelihara pada agamanya dan maruahnya. Manakala untuk selain perjalanan Haji, apatah lagi melancong, semestinya seseorang wanita yang mematuhi Rasulnya, demikian juga para mahramnya, terutama bapanya, adik-beradik lelakinya, datuknya, pakcik-pakciknya yang punya rasa tanggungjawab selaku mahram dan memelihara hukum Allah dan RasulNya, mengambil perhatian terhadap apa yang telah dijelaskan Rasulullah dalam hadis-hadis sebelumnya dan ketegasan kebanyakan 'Ulama yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram. 
Maka bilamana ia tidak yakin atau kurang yakin pada dirinya, atau keadaannya tidak selamat dan 'illah atau punca larangan Nabi masih kekal ada, difahami semua 'ulama termasuk mereka yang sependapat dengan Syeikhul Islam, melarang wanita bermusafir tanpa mahram.

Hikmahnya, daripada sudut yang lain, adanya perselisihan pendapat ini, wanita yang "darurat" misalnya, seorang wanita muallaf (saudari baru) dengan perkahwinan dengan suaminya, kemudian kematian suami dan dengan itu menjadi seorang yang tidak punya seorang mahram pun, sedangkan ia telah mendapat peluang dan syarat-syarat lainnya untuk menunaikan Haji telah dipenuhi, bilamana ia yakin pada dirinya sendiri dan perjalanannya selamat, ia tidak merasakan dirinya "melanggar aturan Rasulullah mengenai hukum mahram ini" dan berasa tenang hajinya sah dan tidak berdosa.

Wallahu Ta'ala a'lam. 





[1] Al-Qur’an: at-Taubah: 9:28
[2] Al-Qur’an: az-Zumar: 39:65
[3] Riwayat As-hab as-Sunan al-Arba‘ah (Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa-i dan Ibn Majah) serta Ahmad dan lainnya. Sahih - al-Irwa’: 2/4-7
[4] Maratib al-Ijma‘: hlm.21-22 oleh Imam Ibn Hazm (384-457H)
[5] al-Mughnie: 2/352
[6] Riwayat Muslim (2/974)
[7] Riwayat asy Sya-fi‘ie, al-Baihaqiy, al- Hakim dan lainnya. Kata al-Hafiz: Isnadnya Sahih (Fath al-Bari: 4/71)  – sila lihat al-Irwa’: 4/156
[8] Syarh al-‘Umdah fie Bayan Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah – Syeikhul Islam:  1/124
[9] Perlu difahami maksud “kemampuan” kerana ada penjelasan panjang lebar oleh ‘ulama’. Apakah dengan adanya kenderaan atau kemampuan harta atau kesihatan tubuh badan untuk menaiki tunggangan,  sila rujuk: al-Mughnie: 5/7-14, Syarh al-‘Umdah fie Bayan Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah – Syeikhul Islam:  1/124-130 dan lainnya
[10] Riwayat al-Bukhariy (Fath al-Bari: 6/143)  dan Muslim: 3/978
[11] Riwayat al-Bukhariy (al-Jumu‘ah: 1026) Muslim (al-Hajj: 2387) lafaz periwayatan ini di sisi Imam Muslim.
[12] Iaitu 7 daripada nasab: 1.Bapa, 2.anak-anak lelaki 3.adik-beradik lelaki (seibu sebapa/seibu/sebapa) 4.pakcik-pakcik (adik beradik bapa) dan 5.bapa saudara (adik-beradik ibu) 6.anak saudara (anak-anak adik beradik lelaki) dan 7.keponakan (anak-anak adik-beradik perempuan).  6 susuan (haram nikah & halal bergaul sahaja – tiada hak perwarisan & nafkah): 1. Suami kepada ibu susuannya – kewujudan susu dengan pergaulannya  (beza dengan bekas suami), 2.adik beradik susuannya (anak2 ibu susuan & anak2 suami ibu susuan yakni sebapa beza dengan anak-anak suami lain) 3.bapa kepada ibu susuannya 4.Bapa mertua ibu susuan (beza dengan mertua yang merupakan suami kepada si ibu susuan) 5.adik-beradik lelaki seibu dan 6.adik beradik lelaki sebapa kepada ibu susuan. Semendaan: 1.Bapa mertua (ke atas), 2.anak menantu (ke bawah) selama-lamanya haram. Berbeza dengan haram dinikahi buat sementara kerana halangan Syar‘i tertentu seperti ipar. Fathul Qadier: 1/668, Adwa’ al-Bayan: 1/238, Tawdieh al-Ahkam: 4/394-395.
[13] Tawdieh al-Ahkam: 3/266-269
[14] Wajah: istilah yang digunakan oleh ‘ulama Madzhab asy-Syafi‘iyah yang dimaksudkan dengannya adalah ijtihad-ijtihad As-hab (anak murid yang berdampingan langsung dengan) Imam asy-Syafi‘ie (seperti al-Muzaniy, al-Buwayti dan ar-Rabie‘ bin Sulayman) dan juga pendapat/ijtihad ‘ulama Madzhab asy-Syafi‘iyah. Berbeza dengan “Aqwal” atau “qaul” yang bererti pendapat/ijtihad Imam asy-Syafi‘ie sendiri. Lain pula dengan “Turuq” yang mencerminkan perbezaan “tukilan riwayat” – yang berbeza daripada Imam asy-Syafi‘ie yang diriwayatkan/ditukil oleh As-hab.
[15] al-Majmu‘: 7/56
[16] al-Mughnie: 11/300-303
[17] Riwayat Ahmad: 1/14,  Abu Dawud dan Ibn Majah. Al-Hakim dan adz-Dzahabi (1/448) menyatakannya Sahih. Manakala al-Albaniy menghukumkannya HasanSahih Abie Dawud: 1/325 dan Sahih Ibn Majah: 2/147
[18] Riwayat Sa‘ied bin Mansur dalam Sunannya dan dinyatakan Sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam at-Talkhies al-Habier: 2/223
[19] Riwayat al-Baihaqiy dalam as-Sunan al-Kubro: 4/334 dan dihukumkan Sahih oleh al-Hafiz dalam at-Talkhies al-Habier: 2/223.
[20] Al-Hierah ialah sebuah kota yang di dikuasai para penguasa golongan Arab, yang berada di bawah pemerintahan keluarga Parsi (Persian Empire) dan ketua mereka ketika itu adalah Iyas bin Qabiesah at-Ta-ie yang mendapatkan kuasanya sebagai bawah tangan Kisra selepas pembunuhan an-Nu‘man bin al-Mundzir. Ia terletak di antara Hijaz dan ‘Iraq dan ‘Adiy bin Hatim adalah daripada suku kaum ini dan beliau kehairanan bagaimana orang yang bermusafir akan selamat tidak diganggu pada masa depan jika melintasi kota tersebut kerana sedia dimaklumi bangsa Arab, kabilah at-Ta-ie sentiasa mengganggu dan mengancam setiap kafilah/rombongan yang lalu di kotanya -  Fath al-Bari: 6/708 cet. Dar ar-Raiyan lit-Turats – 1988/1409H dan Tuhfat al-Ahwadzie bi Syarh Jami‘ at-Tirmidzi: 8/244; (K) Tafsier al-Qur’an (B) 2 – wa min Surat al-Fatihah – hadis no: 2953 cet. Dar al-Fikri Beirut Lebanon: 1995M/1415H
[21] Sekedup adalah tempat duduk seperti khemah kecil di atas belakang seekor unta – Kamus Dewan: 1211. Di dalam Tuhfat al-Ahwadzie disebutkan tidak kira samada seorang wanita ada di dalamnya ataupun tidak.
[22] sedutan daripada hadis yang  panjang – Sahih al-Bukhariy: no: 3595  – Fath al-Bari: 6/706, (K) 61: al-Manaqib, (B) 25: ‘Alamat an-Nubuwwah fi al-Islam. Sunan at-Tirmidzi: hadis no: 2953 dengan sedikit perbezaan lafaz; “daripada Yatsrib (Madinah) ke al-Hierah atau  lebih jauh”

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.

01. Doa sewaktu keluar rumah untuk berangkat