24. Cukur atau Gunting Rambutnya - dengannya Bertahallul selesai Umrah

Setelah selesai bersa’ie, bercukur atau bergunting dan bercukur adalah salah satu Rukun Umrah (tidak sah Umrah jika tidak bercukur atau bergunting) dan bercukur lebih utama bagi kaum lelaki kerana Nabi mendoakan 3 kali buat mereka yang bercukur dan hanya 1 kali buat mereka yang bergunting.

Adapun kaum wanita, mereka hanya perlu menggunting hujung- hujung rambut mereka dengan kadar 1 hingga 2 inci sahaja. Jauhilah perbuatan yang merosak Ibadah Umrah bagi kaum Muslimaat. Usahlah mereka mendedahkan aurat mereka iaitu rambut mereka meskipun hujung-hujungnya sahaja (bukankah solat seorang muslimah batal bila dengan sengaja mendedahkan rambutnya, walaupun sekadar hujung-hujung rambut?), lalu menggunting hujung-hujung rambut mereka sebaik selesai Sa'ienya di sekitar Marwah. Pada perbuatan ini ada beberapa kesalahan;
1. Mendedah aurat (Haram)
2. Mengotori tempat ibadah umat Islam (Sekitar Bukit Marwah)
3. Menggalakkan kekeliruan seolah-olah ada keutamaan melakukan demikian di tempat tersebut ataupun kononnya satu syarat sah Sa'ie atau Umrah bagi kaum wanita. Sebagaimana akhir-akhir ini ada sahaja golongan yang solat di situ, walhal ia hanya bermula sekitar tahun 2017 - solat yang mengganggu jemaah yang sedang Sa'ie.
4. Tidak melakukan "gunting rambut" dengan sempurna dengan keadaan kelam kabut di tempat yang sesak berbeza jika melakukannya di bilik hotel, dengan dikumpulkan keseluruhan rambutnya lalu digunting hujung-hujung rambut tersebut sekali gus.
5. Kemungkinan kaum lelaki bukan mahram "bantu" guntingkan.

Dengan perlaksanaan semuanya itu tadi dengan tertib, seseorang itu boleh bertahallul.

 

Perhatian: Tahallul itu ertinya menjadi halal. Maksudnya, orang yang berihram, sebaik sahaja ia berihram, menjadi haram atas dirinya beberapa perkara yang terlarang ketika dalam keadaan ihram, seperti halnya Takbiratul Ihram di dalam solat, yang dengan bertakbir itu menjadi haram segala perbuatan luar solat. Maka dengan bergunting, menyempurnakan rukun Umrah yang terakhir, seseorang itu telah berubah daripada keadaan haram melakukan "pantang larang" ihram kepada halal bebas daripada perkara-perkara terlarang tersebut, sepertimana memberi salam menghalalkan perbuatan luar solat.


     Dijelaskan makna “tahallul” ini kerana timbulnya salah faham bahawa tahallul itu bercukur/bergunting sebab orang yang bergunting sebelum sa’ie tidak bertahallul bahkan berdosa dan dikenakan dam/denda. Begitu pula dalam manasik haji, orang boleh bergunting/bercukur walaupun belum melaksanakan lontar jamrah aqabah atau tawaf rukun (tawaf haji) ataupun menyembelih dam tammattu‘/qirannya, yang mana bergunting atau bercukur itu dilakukannya sebagai salah satu manasik yang dituntut atas dirinya selaku jemaah haji pada 10hb Dzulhijjah. Maka seseorang jemaah haji telah tahallul atau halal untuk mengenakan pakaian biasa dengan ia telah melontar Jamrah 'Aqabah dan bercukur meskipun belum melaksanakan Tawaf dan Sa'ie.


Sebagaimana kita perlu (yakni diwajibkan sebagai satu Rukun) melakukan Niat, Tawaf, kemudian Sa'ie, maka begitu juga menjadi kewajipan kita bergunting atau bercukur. Maka sebagaimana Niat (Ihram), Tawaf dan Sa'ie, kita melaksanakannya sendiri atau dengan bantuan orang lain ketika tidak mampu (misalnya didorong dengan kerusi roda), maka begitu juga bergunting atau bercukur ini, yang kita wajib lakukannya sama ada buat sendiri atau dibantu orang lain, sama sahaja dan bukannya melanggar apa-apa perkara yang terlarang ketika ihram. 


Melanggar "pantang larang" Ihram itu bilamana "bergunting atau bercukur" sebelum melakukan Tawaf atau Sa'ie bagi jemaah 'Umrah ataupun sejurus selepas Niat dan berihram.   


WalLahu a’lam.


      Selesai dengan izin Allah

 Semoga Allah menerima ibadah umrah kita sebagai ibadah yang baik di sisiNya, yang menyelamatkan kita di dunia ini dan pada Hari Kiamat kelak. Amiiin. 'Umrah Maqboolah.

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.