25. Tawaf Wada‘ amalan terakhir sebelum berangkat keluar dari Kota Mekkah

Tawaf Wada‘ (sebutan yang terbaik di antara 3 sebutannya sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi  dalam al-Majmuu')

Apabila telah berada beberapa hari di Mekkah, memelihara ibadah Solat 5 waktu di Masjidil Haram, ketika tiba saat untuk pulang ke Tanah air ataupun akan Menziarahi Kota Madinah, kesimpulannya, seseorang akan meninggalkan Mekkah, adalah wajib bagi jemaah Haji mahupun ‘Umrah (ada perselisihan pendapat 'Ulama - ada yang berpendapat, Tawaf Wada‘ hanya wajib dalam Ibadah Haji) untuk melaksanakan Tawaf Wada‘ atau Wada‘ (Tawaf Perpisahan), berdasarkan perintah baginda yang bersifat umum:

"لا يَنْفِرَنَّ أَحدٌ حَتَّى يَكونَ آخِرَ عَهْدِه بالبيت" 

ertinya: “Jangan seseorang pun meninggalkan (Mekkah) sehingga yang terakhir sekali, ia mengelilingi (tawaf) al-bait (Ka'abah)” 


sekaligus kisah Safiyyah yang mengalami haid selepas Tawaf Ifadah[1] dan Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa wanita haid dan nifas sahaja yang diberikan keringanan[2] - menjadi dalil bahawa wanita yang berkeuzuran dan jemaah lelaki atau wanita yang sakit sehingga tidak berupaya melakukannya, digugurkan daripada tuntutannya. Dalil-dalil itu tadi yang menjadi hujjah di sisi 'Ulama' Madzhab Syafi'iyyah dan al-Hanabilah (Hambali) sebagaimana penjelasan al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmuu' Syarah al-Muhadzdzab. 

Difahami juga daripada kisah Safiyyah (isteri Rasulullah) ini, sebagaimana penjelasan 'Ulama', bahawa wanita yang masih mengalami haidnya dan telah berihram sejak hari Miqat serta terpaksa berangkat bersama rombongan jemaahnya, melakukan Tawaf 'Umrah - satu-satu Tawaf yang dilakukannya - sudah mencukupi baginya dan tiada  Tawaf Wada‘ yang wajib dilakukannya. Kemudian ia melaksanakan Sa'ie lalu menggunting hujung rambutnya dan dengannya sempurna 'Umrahnya. Seperti yang telah dijelaskan di bawah tajuk ini: 15. (iii) Niat bagi wanita haid/nifas 

Maka dengan niat Tawaf Wada‘, seseorang jemaah Haji atau 'Umrah melakukan 7 pusingan, (siap berpakaian untuk perjalanan pulangnya, tiada Ihram - sama seperti Tawaf Sunnat cuma Niat berbeza), kemudian solat 2 raka‘at selepas Tawaf, lalu keluar dari masjid untuk keluar dari Kota Suci Makkah, (pulang ke tanah air atau Ziarah Madinah ataupun selainnya), dengan penuh insaf, tanpa melakukan bid‘ah lambaian atau berjalan mundur ke belakang sambil tetap menghadap Ka'abah kerana tidak mahu membelakangkan Ka‘bah (menyerupai perbuatan Yahudi di Tembok Ratapan - Wailing Wall). 

Itulah perkara terakhir (Tawaf al-Wada‘ sebagaimana 'ulama' ada yang menyatakan: "masuknya ke Mekkah dengan Ihram dan Tawaf, maka keluarnya juga dengan Tawaf demi pengagungan al-Bayt yakni Ka'abah"), tiada kegiatan lain lagi kecuali yang darurat (seperti perlu ke tandas dan mengangkut naik barang-barang, menunggu pengangkutan - tiada beli belah lagi - hanya diizinkan untuk membeli ubat yang darurat diperlukan. Apatah lagi duduk bersarapan atau makan tengahari. Semuanya itu diaturkan sebelum Tawaf al-Wada).

Adapun golongan 'Ulama' yang memahami dan menghukumkan hanya jemaah Haji sahaja yang berkewajipan melakukan Tawaf al-Wada manakala jemaah Umrah tidak wajib malah tiada tuntutan untuk melakukannya, maka mereka memahami hadis perintah Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam itu tadi hanyalah khusus untuk Haji, bukan 'Umrah. Mereka juga berhujjah bahawa Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam telah melakukan 3 kali 'Umrah; 
1.'Umrah Hudaibiyah (tidak dapat disempurnakan - pada Tahun 6 Hijrah), 
2. 'Umrah Qodha' (Tahun 7 Hijrah - 3 hari di Mekkah) dan 
3. 'Umrah dari Ja'ranah sekembali daripada Peperangan Hunain selepas Fathu Makkah. (yang keempat Umrah bersamaan Haji)
namun tiada disebutkan dalam riwayat bahawa Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam melakukan Tawaf al-Wada‘.
Di antara 'ulama' zaman kebelakangan yang menghukumkan Jemaah 'Umrah tidak wajib melakukan Tawaf al-Wada ialah ash-Shaikh Naasir 'Alim Hadis zaman ini, rahimahullah. 
Manakala ash-Shaikh al-'Utsaymeen berpendapat ia wajib (sama seperti pendapat kebanyakan 'ulama Madzhab Syafi'iyyah dan Hanabilah)  

Maka kesimpulannya (Tawaf al-Wada‘ dalam Ibadah 'Umrah):
1. Mengelakkan perselisihan pendapat adalah jalan keluar yang selamat dan utama - iaitu dengan melaksanakan Tawaf al-Wada‘, sebab 'ulama'  yang menghukumkannya tidak wajib atau tidak perlu, tidak akan menghukumkan "salah" berdosa sesiapa yang melakukannya. Maka melakukannya tidak berdosa di sisi semua. Sebaliknya, jika tidak melakukannya, segolongan 'ulama yang ramai menghukumkannya "berdosa" keluar dari Mekkah tanpa Tawaf al-Wada. Apatah lagi diketahui bahawa 'ulama' Madzhab Maalikiyah (rujukan Mawaahib al-Jaleel) yang menghukumkan bahawa Tawaf al-Wada Sunnat semata-mata dalam Manasik Haji dan 'Umrah, tetap menyatakan wajib bagi setiap yang akan keluar meninggalkan Mekkah secara mutlaq (sama ada selepas Haji, Umrah, berniaga, ziarah kerabat dan sebagainya, sama ada jarak perjalanannya keluar meninggalkan Mekkah jauh atau dekat) melakukan Tawaf al-Wada.

2. Meskipun benar, riwayat-riwayat yang menceritakan 'Umrahnya Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam ketiga-tiga kali tersebut, tiada disebutkan baginda sollalLaahu 'alayhi wa sallam melakukan Tawaf al-Wada‘, namun perintah baginda yang terkandung dalam hadis itu tadi bersifat umum dan disampaikan ketika Haji al-Wada‘, contoh Manasik Terakhir yang Rasulullah contohkan.

3. Jemaah 'Umrah yang mengikuti "pakej" lumrahnya berada di Mekkah beberapa hari, lebih mirip "Jemaah Haji" dan berkesempatan berulang kali ke MasjidilHaram untuk beribadah melakukan Tawaf Sunnat, Solat Fardhu dan Sunnat, I'tikaf dan sebagainya, maka lebih sesuai dan beradab bagi mereka ketika akan meninggalkan Mekkah dan MasjidilHaram untuk melakukan Tawaf al-Wada. Mirip jemaah Haji (dan jemaah Haji Wajib melakukan Tawaf al-Wada‘ kecuali di sisi 'ulama' Maalikiyah yang telah disebutkan tadi). 
Adapun jika ia melakukan 'Umrah seperti halnya jemaah Bangsa Arab yang datang perjalanan "balik hari" dari 'Unaizah, Madinah, Dammam, Dubai (UAE), Kuwait, Qatar, Palestin, Jordan dan selainnya tiada penginapan dan tidak menginap di Mekkah, semata-mata ke Mekkah siap berihram di Miqat, untuk langsung tuju MasjidilHaram, lalu melakukan Tawaf, Sa'ie kemudian bercukur dan kembali pulang, tentunya ada kekuatan dan kesesuaian hujjah 'ulama' yang menghukumkan Tiada Tawaf al-Wada‘ bagi golongan jemaah seperti ini dan terkandung padanya kemaslahatan besar dengan mereka tidak perlu Tawaf lagi setelah Tawaf Umrah mereka. Wallahu a'lam. Berbeza dengan yang berada lama di Mekkah dan berulang alik ke MasjidilHaram berkali-kali.    



[1] HR Muslim: 2/963 (Hadis dan Kisah Safiyyah)
[2] HR al-Bukhariy (al-Fath: 3/585), dan Muslim: 2/963

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.