Adab-adab Musafir (1) - Solat Istikhaarah

Seorang hamba yang ingin mendapatkan Rahmat Allah dan didampingi Kasih Sayang dan KeredhaanNya, sentiasa akan memohon kepada Allah yang Maha Kuasa, Maha Pengasih dan Penentu segala sesuatu. Apatah lagi ketikamana ia ingin mendapatkan Rahmat Allah dan AmpunanNya dengan mengerjakan Ibadat yang disukai Allah, ‘Umrah dan Haji.

Lagipun, ia akan bermusafir untuk tujuan itu dan perlu membuat beberapa pilihan seperti tarikh dan perjalanannya bermusafir, teman seperjalanan, pihak pengurusan (agensi Haji/'Umrah) dan lainnya. Lumrahnya seseorang itu akan memilih yang termurah, paling selesa, khidmat yang cekap dan seumpamanya. Selayaknya ia memilih yang menghalakannya kepada ketaqwaan, membimbingnya dengan panduan Allah dan RasulNya, menuntunnya ke arah perlaksanaan Haji dan ‘Umrah yang sesempurnanya demi meraih Rahmat dan Ampunan Allah. 


Adapun dakwaan pihak sekian dan sekian "khidmatnya serba-serbi 5 bintang", adakalanya hanya tinggal "bintang yang bertaburan" ketika para jemaah menjalani Ibadah tersebut. Lebih buruk lagi, jika khidmatnya mantap dan baik sekalipun, serba selesa, namun sayangnya, keselesaan yang dengannya menggadaikan perlaksanaan Ibadah dengan sempurna. Amalan-amalan yang Rasulullah sollalLahu 'alayhi wa sallam contohkan, dengan sewenangnya diabaikan dengan alasan, berat ke atas para jemaah, kita bimbing dengan bimbingan yang menyenangkan jemaah atau ungkapan "jemaah friendly" tetapi amalan-amalan manasik yang dituntut sengaja diabaikan. AlLahul Musta'an.


Oleh itu, sebelum ia membuat apa-apa tindakan, ia melakukan Istikharah terlebih dahulu[1]. Sayugianya ia beristikharah kepada Allah berkenaan waktunya (tarikh dan masa), kenderaannya, teman perjalanannya, syarikat yang akan menguruskan perjalanannya, serta hala tujunya (itinerary)[2] sekiranya ada berbagai laluan. Sebaiknya ia mendapatkan nasihat daripada orang yang berpengalaman dalam menentukan segalanya itu. Bukannya maksud Istikharah di sini untuk “laksanakan atau tidak laksanakan Haji atau ‘Umrah” sebab Istikharah itu dilakukan pada perkara yang “mubah” bukan yang wajib atau sunnat dan tidak pula yang haram atau makruh.  

Perlu difahami sebenarnya ada 2 tafsiran terhadap maksud Istikharah; [dan Istikharah adalah melakukan solat 2 raka‘at, yang bukan solat fardu[3] kemudian berdoa kepada Allah dengan doa yang warid (yang diajar oleh Rasulullah sollalLahu 'alayhi wa sallam)]:

i. meminta keputusan daripada Allah dengan melakukan solat 2 raka‘at tersebut beserta doanya lalu menanti dan mengharapkan “jawapan/keputusan”nya daripada Allah. Dikatakan bahawa keputusan/jawapan Allah itu, dapat diketahui melalui mimpi atau tanda-tanda serta kecenderungan hati.
ataupun
ii.     bertekad dan berazam ingin melakukan sesuatu, lalu membuat keputusan sendiri untuk meneruskannya setelah melakukan usaha-usaha yang menjamin perlaksanaan dan kejayaannya, tetapi masih berserah kepada Allah dengan melakukan Solat Istikharah, agar Allah sentiasa membimbingnya sehingga jika ia kebaikan dan bermanfaat untuk urusan keduniaan dan akhiratnya, Allah memudahkannya dan menjadikannya berhasil, tetapi seandainya sebaliknya, Allah segera palingkannya daripada perkara tersebut dengan usaha-usaha yang gagal dan perjanjian serta perancangan yang terbatal atau aral yang melintanginya.

Perhatian: Istikharah adalah Sunnat muakkadah hukumnya[4] dan ia disyari‘atkan pada perkara yang mubah/harus dan yang baik dan tidak pula pada perkara yang terlarang. Misalnya bermusafir untuk tujuan berjudi, maka ia tidak boleh melakukan Istikharah sebab perkara itu telah jelas haram dan ia mendatangkan keburukan dunia dan akhirat. Begitu juga perkara yang telah jelas hukum makruhnya, tidak perlu kepada Istikharah. Selain itu, perkara yang telah jelas wajib dan sunnat tuntutannya tidak perlu kepada Istikharah untuk melakukannya.

Sebagaimana penjelasan ramai ‘ulama muhaqqiq, maka tafsiran yang kedua, iaitu melakukan Istikharah setelah membuat pilihan sendiri dan meminta agar Allah permudahkan jika baik serta palingkan daripadanya atau gagalkan jika tidak baik, adalah lebih tepat berdasarkan lafaz-lafaz yang terkandung di dalam hadis tersebut. Antara para Imam yang berpendapat demikian dan menjelaskan kurang tepatnya pendapat yang menyatakan sebaliknya adalah al-‘Iraqi[5] rahimahulLaah, al-‘Izz bin ‘Abdis Salam[6] rahimahulLaah dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani[7] rahimahulLaah dan dalam kalangan ‘ulama semasa, asy-Syeikh Muhammad bin ‘Umar Bazmoul dengan kata beliau (terjemahan): Istikharah itu tidak boleh dilakukan pada saat ragu-ragu, kerana Rasulullah  sollalLahu 'alayhi wa sallam telah bersabda: إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر ...
“Sekiranya seseorang di antara kamu telah bertekad melakukan suatu perkara/urusan”
Justeru, jika seseorang muslim masih berasa ragu-ragu dalam satu perkara, maka hendaklah ia memilih satu keputusan dan memohon petunjuk pada perkara pilihannya itu. Setelah beristikharah, ia serahkan segalanya berjalan sesuai dengan pilihan/keputusan tersebut. Jika baik, mudah-mudahan Allah memberikan kemudahan dan keberkahan padanya. Jika sebaliknya, mudah-mudahan Allah memalingkan dirinya daripada perkara tersebut serta memudahkan kepadanya apa yang lebih baik dengan izin Allah

Hadis yang menjelaskan mengenai Solat Istikharah:
Daripada Jabir bin ‘Abdillah radiyalLahu 'anhuma yang meriwayatkan: Rasulullah sollalLahu 'alayhi wa sallam telah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan sepertimana (caranya) beliau mengajar kami satu surah daripada al-Quran, sabda baginda  sollalLahu 'alayhi wa sallam:
, إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر فليركع ركعتين من غير الفريضة، ثم ليقل:
" اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَـخِيْرُكَ بِـعِلْمِكَ ، وَ أَسْتـَقْدِرُكَ بِـقُدْرَتِكَ ، وَ أَسْـأَلُـكَ مِنْ فَضْـلِكَ الْعَظِيْمِ ، فَإِنّـَكَ تَـقْدِرُ وَ لاَ أَقْـدِرُ وَ تَـعْـلَمُ وَ لاَ أَعْـلَمُ ، وَأَنْتَ عَـلَّامُ الْغُـيُوْبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْـلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَـيْرٌ لِي فِي دِيْـنِي وَمَـعَـاشِيْ، وَعَـاقِـبَةِ أَمْرِيْ (أو قال: [فِي عَاجِلِ أَمْرِيْ وَآجِــلِهِ] فَاقْـدُِرْهُ[8] لِي ، وَ يَسِّـرْهُ لِي ، ثُمَّ بَـارِكْ لِي فِـيْهِ  وَ إِنْ كُـنْتَ تَـعْـلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَـرٌّ لِي فِي دِيْـنِـي وَ مَعِيشَتِي ْ[مَـعَـاشِيْ]، وَ عَاقِبَةِ أَمْرِيْ فَاصْرِفْـهُ عَـنِّي وَ اصْرِفْـنِيْ عَنْـهُ وَاقْـدُِرْ لِيْ الْخَـيْرَ حَـيْثُ كَانَ ثُـمَّ رَضِّـنِي بِـهِ   و يسمِّي حاجته  ... -
“Sekiranya seseorang di antara kamu telah bertekad melakukan suatu perkara/urusan, maka hendaklah ia ruku‘ (solat) dua raka‘at selain solat fardu, lalu mengucapkan (berdoa): [Doanya di dalam Bahasa Arab] ertinya:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk Mu dengan Ilmu Mu, (dan) aku memohon ketetapan Mu dengan Kekuasaan Mu (Menentukan segala sesuatu), (dan) aku menagih dari Kelebihan Mu yang Agung kerana Engkau yang Maha Menentukan (Berkuasa) sedangkan aku tidak mampu menentukan (tidak berkuasa) dan Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkau yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Ya Allah, sekiranya Engkau Maha Mengetahui bahawa perkara ini baik buat ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahan urusan ku (atau ia ucapkan: pada masa depanku yang dekat mahupun yang jauh), maka tentukanlah ia untuk ku dan mudahkanlah ia bagi ku, kemudian berkatilah daku dengannya. Seandainya Engkau Yang Maha Mengetahui bahawa perkara ini buruk buat diri ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahannya, maka Engkau palingkanlah ia dari ku dan palingkanlah daku darinya serta tentukanlah yang baik bagi ku dengan apa jua (yang baik) dan jadikanlah aku redha dengannya - lalu disebutkan hajatnya itu.” 
(Doanya [yang bergarisbawah] berakhir pada perkataan "رَضِّـنِي بِـهِ" dan disebutkan hajatnya yakni misalnya "safar ku ini" setelah lafaz itu) [9]
____________________________
[1] Sebahagian ‘ulama berpendapat Salat Istikharah adalah wajib hukumnya ketika berhadapan dengan keadaan membuat pemilihan pada perkara yang mubah hukumnya dengan maksud mengharapkan petunjuk Allah. Namun ramai yang berpendapat ia Sunnat – Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/189.
[2] Perancangan perjalanan dan jadualnya ataupun senarai tempat-tempat yang akan dilalui/dikunjungi dalam perjalanan ke destinasi.
[3] Menurut keterangan berdasarkan dalil dan hujjah yang lebih kuat, Istikharah itu boleh dilakukan dengan apa jua solat sunnat 2 raka‘at misalnya Solat Sunnat Rawatib atau Tahiyatul Masjid. Namun, sebaiknya ia berdoa selepas solat (berbeza dengan pendapat Syeikhul Islam dan sebahagian lainnya) dan tiada salahnya jika hanya setelah solat itu ia teringat dan berniat Istikharah lalu memanjatkan doa Istikharah, sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi, al-‘Iraqi dan ramai lagi - Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/189 dan Bughyat al-Mutatawwi‘ fi Solat at-Tatawwu‘ (terjemahan): 125-131.
[4] Ada perselisihan pendapat ‘ulama mengenainya dan sunnah muakkadah adalah pilihan kebanyakan para imam meskipun hujjah-hujjah kedua belah pihak (sunnat atau wajib) setaraf darjat kekuatannya.
[5] Al-Imam ‘Abdur Rahiem bin al-Husayn bin ‘Abdir Rahman, Abul Fadl al-Hafiz al-Qari’, yang masyhur dengan gelaran al-Hafiz al-‘Iraqi. Antara karangan beliau Dzayl Mizan al-I‘tidal dan Takhriej Ihya’ ‘Ulum ad-Dien. Lahir pada tahun 725H dan beliau wafat pada tahun 806H – Syadzarat adz-Dzahab: 7/55. Penjelasan beliau tersebut ada di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345.
[6] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301 – penerangan beliau di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345. 
[7] al-Hafiz ahli Hadis terkemuka al-Imam Ahmad bin ‘Aliy bin Muhammad al-‘Asqalani, Abul Fadl , Syihab ad-Dien. Dilahirkan pada tahun 773H dan beliau wafat pada tahun 852H. Penjelasan beliau diterangkan di dalam Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/187-191.
[8] Boleh dibaca huruf “د” samada dibaca dengan “ـِ” (kasrah) atau “ـُ” (dommah) - al-Fath: 11/187

[9] Hadis riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari: ad-Da‘awat: 80 no: 6382 – al-Fath: 11/187)

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.