Bolehkah "Tumpang Mahram"
Di antara perkara atau isu yang sering ditanyakan oleh para jemaah Umrah adalah istilah dan hukum "tumpang mahram" atau "pinjam mahram" ketika perlaksanaan Umrah.
Dimaksudkan dengan "tumpang mahram" adalah keadaan seorang wanita, yang telah dan dapat memenuhi syarat-syarat bermusafir tanpa mahram, namun wanita ini perlu didampingkan dalam kumpulan wanita-wanita yang ada mahram bersama mereka, untuk ia bermusafir melaksanakan Umrah.
Misalnya, Fatimah, seorang yang asalnya bukan Islam, berusia 60 tahun dan baru 6 bulan kematian suami dan kini tinggal hidup sebatang kara. Sebelum kematian suaminya, mereka berdua merancang untuk menunaikan Umrah dan telah pun membuat pendaftaran dan telah pula melangsaikan segala pembayaran pakej Umrah.
Beliau bertekad untuk meneruskan rancangan ke Umrah walaupun suaminya telah tiada.
Dengan segala bukti surat menyurat dan keadaan beliau yang memenuhi syarat, pihak Saudi meluluskan permohonan visa beliau (Visa Umrah, bukan Visa Pelancong Tourist Visa), namun mereka menetapkan syarat, beliau perlu ditemani oleh kaum wanita lain dan didampingkan bersama kaum wanita tersebut yang akan menunaikan Umrah bersama seorang lelaki atau lebih yang merupakan mahram mereka.
Contohnya, Khadijah dan Aisyah ke Umrah ditemani Abang mereka, Ahmad dan Kakak ipar mereka, Aminah (isterinya Ahmad). Maka Fatimah didampingkan bersama Khadijah, Aisyah dan Aminah yang ditemani Ahmad. Maka Ahmad menjadi orang lelaki "yang menjamin" pemeliharaan kehormatan kesemua wanita itu tadi, termasuk Fatimah, yang tiada pertalian persaudaraan dengannya, semata-mata agar Fatimah, meskipun telah memenuhi syarat bermusafir tanpa Mahram, tidak seperti bermusafir sendirian, tetapi dengan serombongan wanita lain dengan ada mahram mereka yang menjamin pemeliharaan diri mereka.
Begitulah setiap wanita yang keadaannya mirip keadaan Fatimah, yang telah memenuhi syarat bermusafir tanpa Mahram lalu didampingkan dengan wanita lain di bawah penjagaan seorang lelaki.
Begitulah setiap wanita yang keadaannya mirip keadaan Fatimah, yang telah memenuhi syarat bermusafir tanpa Mahram lalu didampingkan dengan wanita lain di bawah penjagaan seorang lelaki.
Tidak pula didampingkan wanita seperti Fatimah ini dengan seorang lelaki yang bermusafir sendirian kerana ia suatu "perdampingan" yang buruk seolah-olah "menjodohkannya" dengan lelaki tersebut.
Demikianlah sebenarnya gambaran "Tumpang Mahram" atau "Pinjam Mahram". Wallaahu a'lam.
Justeru, tiada salahnya seseorang lelaki yang pergi Umrah atau Haji bersama ahli keluarganya menjadi "penjamin" (yang disalah istilahkan sebagai Mahram Tumpangan) bagi wanita yang bukan Mahramnya tetapi telah memenuhi syarat-syarat lainnya untuk menunaikan Haji atau Umrah.
Dengan pemahaman ini, semoga lenyap salah pengertian yang timbul akibat "istilah" yang salah seperti ini. Tiada di dalam ajaran Islam, diperbolehkan yang bukan Mahram dijadikan "Mahram tumpangan atau pinjaman".
Istilah yang mengelirukan ini mendatangkan pemahaman yang silap di sisi sebahagian jemaah, antaranya:
- Wanita yang didampingkan (seperti Fatimah dalam contoh tadi), bertanggapan bahawa Ahmad menjadi seperti Mahramnya. Malah ada wanita seperti Fatimah yang menegaskan kepada orang lelaki seperti Ahmad: "Awak jadi Mahram saya selama perlaksanaan Umrah ini, saya mesti bersama awak tidak kira ke mana awak pergi. Awak tawaf saya ikut. Awak pergi berbelanja pun saya mesti ikut. Awak pergi makan dengan keluarga awak, saya pun mesti semeja dengan awak....". Tentunya isteri Ahmad, seperti Aminah boleh jadi cemburu..."hai sejak bila pula aku ini dimadukan dengan si nenek ni!". Padahal dengan pemahaman yang betul, ia bukan mahram, malah "perdampingan" semata-mata.
- Seseorang lelaki seperti keadaan Ahmad, tidak mahu dan tidak rela dijadikan orang lelaki yang membantu menjamin pemeliharaan diri Makcik seperti Fatimah kerana seperti bersubahat melakukan perkara yang terlarang dalam agama, iaitu menjadi mahram secara sementara, malah ada yang terasa dirinya menjadi seperti "Cina Buta", diperalat untuk memperbolehkan sesuatu yang haram. Walhal sebenarnya, orang seperti Ahmad, hanya membantu menjamin pemeliharaan Makcik Fatimah.
Setelah penerangan ini, perlu saya tegaskan agar tidak timbul salah pengambilan hukum dalam hal ini. Maksudnya, selayaknya seseorang wanita yang ada mahramnya, tidak seperti keadaan Makcik Fatimah dalam misal tadi, bermusafir menunaikan Umrah dengan ditemani Mahramnya dan tidak mengambil ringan hukum bermusafir tanpa Mahram, meskipun ia suatu perkara perselisihan pendapat 'Ulama'.
Mengenai pendapat 'ulama' pula, maka pembentangan berikut ini diharapkan dapat menjadikan kita memahami permasalahan "Wanita bermusafir (bukan sahaja untuk Umrah/Haji) ditemani Mahramnya".
Berdasarkan sabda Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam:
“...و لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم”
Di dalam sebuah hadis lainnya, Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda:
, لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ -
Ertinya: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk bermusafir sejauh perjalanan sehari kecuali ada bersamanya mahramnya.[2]
Maka diharamkan seorang wanita bermusafir bersama seseorang yang bukan mahramnya, meskipun untuk tujuan ibadah atau menunaikan haji.
- ‘Ulama bersepakat: Tidak wajib ke atasnya menunaikan ibadah haji, namun apakah ditemani mahram itu “syarat yang menjadikan haji wajib” atau “syarat sah perlaksanaannya”:
‘Ulama’ ada 2 pendapat di dalam hal ini. Pendapat yang lebih utama dan benar: ia adalah syarat untuk menjadikan ibadah haji itu wajib (maknanya jika tiada mahram, tidak/belum wajib haji ke atasnya). Akan tetapi, mereka berpendapat bahawa jika ia tetap melaksanakan haji (tanpa mahram), ia dikira haji yang sah dan wanita itu tetap berdosa kerana bermusafir tanpa mahram, di sisi para Imam 4 Madzhab yang utama, sebab syarat-syarat layak menunaikan haji telah cukup dan maksiatnya tidak terikat dengannya.
- Mahram bagi seseorang wanita adalah suaminya dan sesiapa yang haram untuk dinikahinya buat selama-lamanya[3] samada kerana faktor nasab (talian persaudaraan/kekeluargaan) seperti adik beradik lelakinya ataupun faktor yang mubah/harus hukumnya seperti adik-beradik lelaki susuannya ataupun persemendaan seperti suami kepada ibunya (yang telah menggauli ibunya)
- Syarat sahnya mahram adalah Islam, maka seorang kafir tidak sah menjadi mahram (biarpun haram dinikahi – misalnya; adik beradiknya kafir) dan begitu juga semestinya mahram itu adalah seorang yang akil baligh (berakal dan sampai umur baligh) sebab seseorang yang masih kecil dan juga orang gila tidak akan tercapai penjagaan dan pemeliharaan serta kelayakan padanya.
- Tidak selayaknya seseorang suami itu melarang isterinya daripada melaksanakan Haji yang wajib (bukan Sunnat – yakni pertama kali) dengan ia ditemani mahramnya dan menjadi kewajipan ke atas si isteri untuk menunaikan Haji (dalam keadaan ini) meskipun suaminya tidak mengizinkan. Adapun jika si isteri telah berihram tanpa izin suami, si suami tidak memiliki (hak) pelepasannya daripada ihram dan adalah mustahab baginya untuk tetap meminta izin si suaminya.
- Tujuan daripada keperluan adanya mahram adalah sedia diketahui. ‘Ulama ada beberapa sudut penilaian terhadap keperluan ini. Sebahagian di antara mereka berpegang dengan nas-nas secara zahir, maka mereka tidak memberi apa jua bentuk keringanan tidak kira samada wanita berumur ataupun yang muda, samada ditemani wanita lain yang dipercayai sifat amanahnya ataupun tidak dan tidak kira ia berkeyakinan tinggi pada dirinya sendiri (confident) ataupun sebaliknya.
- Ada di antara mereka pula yang menilai daripada sudut maksudnya dan tujuan Syara‘ (demi menjamin keselamatan dan maruah wanita), maka selama adanya keinginan terhadap wanita (dan terdedah kepada ancaman yang menjejas keselamatan dan maruahnya), maka beramal menurut nas-nas tersebut adalah wajib. Adapun jika tiada lagi kekhuatiran dalam hal tersebut, iaitu wanita tersebut mempunyai keyakinan diri sendiri ataupun kerana ditemani sekumpulan wanita yang amanah ataupun kerana sudah berumur ataupun kerana ia bermusafir dalam satu rombongan besar seperti ketika menaiki pesawat dan ia telah dihantarkan sehingga saat perpisahan oleh mahramnya dan disambut ketibaannya oleh mahramnya juga, maka golongan ini tidak berpegang dengan nas-nas secara zahir dan menurut penilaian mereka tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan jika keadaan perjalanannya demikian.
- Adapun Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullaah, maka di dalam al-Ikhtiyarat ditukil nasnya daripada beliau: Seorang wanita yang berkewajipan melaksanakan Haji boleh pergi bermusafir tanpa mahram selama ia merasa yakin pada diri sendiri dan keadaannya selamat kerana telah lenyapnya ‘illah (punca/alasan). Kata beliau lagi: Yang demikian itu juga untuk setiap perjalanan bermusafir berbentuk ketaatan. Hujjah Syeikhul Islam adalah berdasarkan hadis ini:
"عَنْ عَدِيّ بِن حاتِم قال: قال رسولُ الله : يَا عَدِيّ هَلْ رَأَيْتَ الْـحِيْرَةَ؟ قلتُ: لم أرها ، و قد أُنْبئتُ عنها. قال: فإن طالت بك حياة لترين الظعينة ترتحل من الحيرة حتى تطوف بالكعبة ، لا تخاف إلا الله"
Daripada ‘Adiy bin Hatim katanya: Rasulullah telah bersabda: Wahai ‘Adiy pernahkah anda melihat (yakni sampai) ke al-Hierah[4]? Jawab ku: Saya belum pernah melihatnya namun telah diceritakan kepada saya mengenainya. Sabda baginda: Seandainya hidup mu panjang pasti kamu akan melihat sekedup[5] bermusafir daripada al-Hierah sehingga ia bertawaf di keliling Ka‘bah, tidak takuti sesuatu selain Allah. [6]
Kata Syeikh al-Bassam: Permasalahan ini adalah permasalahan (yang terbuka kepada) ijtihad di kalangan ‘ulama. Maka golongan yang mengambil nas-nas secara umumnya (keseluruhannya) mereka menetapkan hukum menurut zahirnya dan mengharamkannya secara mutlak (tanpa pengecualian atau keterikatan dengan keadaan selamat, keyakinan diri, usia tua dan sebagainya). Mereka yang menilai dari sudut maksud atau tujuannya daripada pengharaman bermusafir, maka mereka mengharuskan dalam beberapa bentuk/gambaran/keadaan yang mana bila tiada keraguan pada keselamatannya dan ketiadaan apa yang mencurigakan di sekitarannya. Yang rajih (lebih tepat) adalah pendapat asy-Syeikh (Syeikhul Islam) yang mengharuskan dengan adanya keadaan yang selamat dan aman dan ia telah pun disebutkan sebelum ini.[7]
Kata al-Imam an-Nawawi pula: Cabang permasalahan: Apakah diharuskan bagi seseorang wanita untuk bermusafir demi menunaikan Haji sunnat (bukan Fardu/wajib) ataupun untuk ziarah dan perniagaan dan yang sepertinya bersama-sama dengan sekumpulan wanita yang dipercayai (kebaikan dan keagamaan mereka) ataupun sekadar seorang sahaja wanita yang demikian sifatnya? Ada 2 wajah[8]. Kedua-duanya disebutkan oleh asy-Syaikh Abu Hamid dan al-Mawardi, al-Muhamiliy dan lainnya dari golongan al-As-hab dalam Bab al-Ihsar. Ia juga ditukil oleh al-Qadi Husayn, al-Baghawi, ar-Rafi‘ie dan lainnya; salah satunya (1 wajah/riwayat): Ia diharuskan seperti Haji (yakni seperti Haji wajib/Fardu). 1 lagi (wajah): yang ini adalah yang sahih dengan kesepakatan mereka dan yang dinaskan di dalam al-Umm dan demikian yang mereka semua riwayatkan daripada nas tersebut: Tidak diharuskan (terlarang) sebab ia adalah perjalanan bermusafir yang bukan wajib, sebagaimana yang dijelaskan sebabnya oleh al-Baghawi… [9] kemudian beliau mengemukakan dalil-dalil daripada hadis-hadis sahih, sebahagiannya adalah hadis-hadis yang sama yang telah disebutkan dalam perbahasan ini.
Semoga dengan penerangan panjang lebar itu tadi, para pembaca yang dimuliakan telah dapat memahami bahawa seseorang wanita yang melaksanakan hajinya tanpa mahram, hajinya tetap sah, namun ia berdosa melanggar larangan Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam, dengan bermusafir tanpa mahram.
Untuk hajinya yang pertama atau yang fardu/wajib, bukan sunnat, ada kelonggaran di sisi sebahagian ‘ulama untuk ia pergi tanpa mahram selama mana keadaannya selamat, samada dengan perjalanan yang diyakini aman, atau dengan adanya rombongan yang amanah bersamanya, atau tiada lagi keinginan pada dirinya kerana usia tuanya, yang menjaminnya terpelihara daripada bahaya dan ancaman terhadap keselamatan dan maruah dirinya. Dengan itu, di sisi golongan ‘ulama’ ini, wanita itu tidak berdosa dan diperbolehkan untuk menunaikan hajinya tanpa mahram.
Sebab itulah, pihak Kementerian Haji Negara Arab Saudi, yang bermadzhab Hambali, mensyaratkan wanita yang perlu menunaikan haji atau ‘umrah wajib ditemani mahramnya. Jika tiada mahram yang menemaninya, perlu ia mendapatkan izin bertulis daripada suaminya. Begitu pula soal usia 45 tahun ke atas kerana mengambil kira, umumnya umur wanita yang mengalami menopause atau putus haid. Segalanya demi mengikuti ajaran agama, bukan peraturan bikinan manusia semata-mata. Dalam hal ini, tidak diikuti pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, yang mungkin di sisi ‘ulama besar mereka, tidak sekuat dan bermaslahah berbanding pendapat asal Madzhab Hambali. [10] WalLahu a‘lam.
Sedihnya, sikap sebahagian kaum muslimin, bahkan pembimbing jemaah, yang kerana tidak dapat memenuhi permintaan jemaah, demi menjaga hati jemaah atau “langganan” pada khidmat mereka, seringkali mempersalah, mengeluarkan hukum yang tidak selayaknya pada pihak yang bersusah-payah, selaku tuan rumah, menguruskan segalanya untuk memenuhi keperluan jemaah. Apatah lagi dalam memelihara hukum-hukum Allah dan RasulNya. Mempersalah yang lain untuk membebaskan dirinya daripada apa-apa tanggungan tanggungjawab dan amanah. Lebih buruk lagi bila mempersalahkan golongan ‘ulama’nya, yang sebahagian mereka, dikenali dengan keluasan ilmu dan sifat wara’ oleh masyarakat mereka dan sebahagian umat sedunia.
Bukan maksudnya pihak “tuan rumah” tiada kekurangan atau kesilapan, namun yang kita khuatiri ialah sikap mempersalah dan menuduh melulu tanpa usul periksa dan pemahaman yang tepat terhadap keadaan dan sebab-sebab sebenar.
Pada masa yang sama, pembimbing seperti ini tidak mengambil peduli terhadap larangan-larangan Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam seperti ini, menjadikan begitu ramai pegawai wanitanya, pergi tanpa mahram, ‘umrah/haji sunnat/badal bukan haji wajib, semata-mata kerana keperluan pengurusannya. WalLahul Musta‘an.
[1] Riwayat al-Bukhariy (Fath al-Bari: 6/143) dan Muslim: 3/978
[2] Riwayat al-Bukhariy (al-Jumu‘ah: 1026) Muslim (al-Hajj: 2387) lafaz periwayatan ini di sisi Imam Muslim.
[3] Iaitu 7 daripada nasab: 1.Bapa, 2.anak-anak lelaki 3.adik-beradik lelaki (seibu sebapa/seibu/sebapa) 4.pakcik-pakcik (adik beradik bapa) dan 5.bapa saudara (adik-beradik ibu) 6.anak saudara (anak-anak adik beradik lelaki) dan 7.keponakan (anak-anak adik-beradik perempuan). 6 susuan (haram nikah & halal bergaul sahaja – tiada hak perwarisan & nafkah): 1. Suami kepada ibu susuannya – kewujudan susu dengan pergaulannya (beza dengan bekas suami), 2.adik beradik susuannya (anak2 ibu susuan & anak2 suami ibu susuan yakni sebapa beza dengan anak-anak suami lain) 3.bapa kepada ibu susuannya 4.Bapa mertua ibu susuan (beza dengan mertua yang merupakan suami kepada si ibu susuan) 5.adik-beradik lelaki seibu dan 6.adik beradik lelaki sebapa kepada ibu susuan. Semendaan: 1.Bapa mertua (ke atas), 2.anak menantu (ke bawah) selama-lamanya haram. Berbeza dengan haram dinikahi buat sementara kerana halangan Syar‘i tertentu seperti ipar. Fathul Qadier: 1/668, Adwa ’ al-Bayan: 1/238, Tawdieh al-Ahkam: 4/394-395.
[4] Al-Hierah ialah sebuah kota yang di dikuasai para penguasa golongan Arab, yang berada di bawah pemerintahan keluarga Parsi (Persian Empire) dan ketua mereka ketika itu adalah Iyas bin Qabiesah at-Ta-ie yang mendapatkan kuasanya sebagai bawah tangan Kisra selepas pembunuhan an-Nu‘man bin al-Mundzir. Ia terletak di antara Hijaz dan ‘Iraq dan ‘Adiy bin Hatim adalah daripada suku kaum ini dan beliau kehairanan bagaimana orang yang bermusafir akan selamat tidak diganggu pada masa depan jika melintasi kota tersebut kerana sedia dimaklumi bangsa Arab, kabilah at-Ta-ie sentiasa mengganggu dan mengancam setiap kafilah/rombongan yang lalu di kotanya - Fath al-Bari: 6/708 cet. Dar ar-Raiyan lit-Turats – 1988/1409H dan Tuhfat al-Ahwadzie bi Syarh Jami‘ at-Tirmidzi: 8/244; (K) Tafsier al-Qur’an (B) 2 – wa min Surat al-Fatihah – hadis no: 2953 cet. Dar al-Fikri Beirut Lebanon: 1995M/1415H
[5] Sekedup adalah tempat duduk seperti khemah kecil di atas belakang seekor unta – Kamus Dewan: 1211. Di dalam Tuhfat al-Ahwadzie disebutkan tidak kira samada seorang wanita ada di dalamnya ataupun tidak.
[6] sedutan daripada hadis yang panjang – Sahih al-Bukhariy: no: 3595 – Fath al-Bari: 6/706, (K) 61: al-Manaqib, (B) 25: ‘Alamat an-Nubuwwah fi al-Islam. Sunan at-Tirmidzi: hadis no: 2953 dengan sedikit perbezaan lafaz; “daripada Yatsrib (Madinah) ke al-Hierah atau lebih jauh”
[7]Tawdieh al-Ahkam: 3/266-269
[8] Wajah: istilah yang digunakan oleh ‘ulama Madzhab asy-Syafi‘iyah yang dimaksudkan dengannya adalah ijtihad-ijtihad As-hab (anak murid yang berdampingan langsung dengan) Imam asy-Syafi‘ie (seperti al-Muzaniy, al-Buwayti dan ar-Rabie‘ bin Sulayman) dan juga pendapat/ijtihad ‘ulama Madzhab asy-Syafi‘iyah. Berbeza dengan “Aqwal” atau “qaul” yang bererti pendapat/ijtihad Imam asy-Syafi‘ie sendiri. Lain pula dengan “Turuq” yang mencerminkan perbezaan “tukilan riwayat” – yang berbeza daripada Imam asy-Syafi‘ie yang diriwayatkan/ditukil oleh As-hab.
[9] al-Majmu‘: 7/56
[10] al-Mughnie: 11/300-303
Comments
Post a Comment