Solat dalam Pesawat
Bagaimana Solat di dalam pesawat
Kata Imam al-Bukhariy: Al-Laits pula meriwayatkan (dengan sanadnya) bahawa ‘Abdullah ibn ‘Umar juga melakukan solat di atas haiwan tunggangan beliau pada waktu malam ketika bermusafir dan beliau tidak ambil peduli mana hala yang dihadap haiwan tunggangan itu dan kata beliau: “Biasanya Rasulullah melakukan solat sunnat di atas tungggangan menghadap ke mana sahaja arah yang dihadap tunggangan baginda dan baginda melakukan Solat Witir di atasnya tetapi baginda tidak melakukan solat Fardu di atas kenderaan.” [1]
Daripada Anas bin Malik radhiyalLaahu 'anhu katanya meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam apabila bermusafir, biasanya ketika hendak melaksanakan solat sunnat, baginda menghadap ke arah kiblat dengan mengarahkan unta baginda ke arahnya, lalu bertakbir kemudian baginda lakukan solat secara berterusan tidak kira ke mana tunggangan itu menghadap.” [2]
Daripada Abu Hurairah radhiyalLaahu 'anhu yang meriwayatkan: Rasulullah sollalLaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda: “Di antara Timur dan Barat adalah qiblat.” [3]
Dapat difahami daripada hadis-hadis tersebut:
i. Kewajipan orang yang tidak dapat melihat Ka‘bah adalah menghadap ke arah yang menghala ke Ka‘bah bukannya zat bangunan Ka‘bah itu sendiri. Hadis yang terakhir ini juga menunjukkan di antara dua arah (Timur dan Barat atau Utara dan Selatan) adalah kiblat serta adalah memadai menghadap ke arah yang menghala ke kiblat sahaja. Berbeza dengan orang yang mampu melihat Ka‘bah, wajib ia menghadap dengan keseluruhan tubuhnya ke arah Ka‘bah.
ii. Syarat menghadap kiblat gugur (walaupun untuk solat Fardu) dengan perkara-perkara berikut:
a. Ketidakmampuan: Jika sakit ataupun terikat dan terbelenggu, maka gugur tuntutannya dan hendaknya seseorang itu solat tidak kira arah mana yang dihadapinya kerana Firman Allah:
“Maka bertaqwalah kepada Allah sedaya mampu kamu” [4]
Sebagaimana keadaan orang sakit, maka begitulah juga keadaan orang yang terpaksa mengikat dirinya dengan tali pinggang keselamatan di dalam pesawat dan tiada pula tempat/ruang yang sesuai untuk solat, sedang kemampuannya adalah semata-mata untuk solat di tempat duduknya sendiri (seatnya) yang tidak menghadap ke arah kiblat, maka ia solat dalam keadaannya demikian.
b. Ketika Ketakutan/Kekhuatiran: Seandainya seseorang di dalam keadaan ketakutan/kekhuatiran samada kerana diburu musuh ataupun disebabkan banjir dan seumpamanya, maka tiada salahnya solat ke arah selain kiblat ketika ia tidak mampu untuk menghala ke arahnya kerana keadaan tersebut berdasarkan Firman Allah:
“Maka jika kamu dalam keadaan ketakutan maka (solatlah dalam keadaan) sedang berjalan kaki ataupun berkenderaan” [5]
Maka orang yang ketakutan samada ia berjalan kaki ataupun berkenderaan, ia menghadap ke arah mana sahaja yang selamat baginya.
iii. Keharusan menunaikan solat di atas kenderaan ketika bermusafir, walaupun tiada apa-apa keuzuran. Kenderaan di sini bererti unta dan lainnya. Di dalam Sahih Muslim, Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam menunaikan solat di atas keldai. Kata Imam al-Baghawi: Diharuskan perlaksanaan solat sunnat di atas kenderaan ketika bermusafir di dalam perjalanan (bermusafir) yang lama/jauh mahupun yang singkat/deka di sisi kebanyakan ‘ulama.
iv. Tidak pula menjadi suatu kemestian untuk ia ruku‘ dan sujud sebagaimana keadaan biasa, bahkan memadai dengan ia menundukkan kepalanya sebagai isyarat kepada ruku‘ dan juga sujud, namun yang penting, ia menjadikan kedua-dua sujudnya lebih rendah daripada posisi ruku‘nya, dengan menundukkan tubuhnya lebih rendah daripada ketika melakukan ruku‘, sebagaimana lafaz tambahan yang ada di dalam periwayatan Ibn Khuzaimah: Akan tetapi ia menjadikan kedua sujudnya lebih rendah daripada ruku‘nya.
v. Asal hukum daripada hadis-hadis tersebut adalah ketidakharusan untuk melakukan solat Fardu ketika berada di atas kenderaan, bahkan perlu turun dan menunaikannya di atas bumi, kerana Syari‘at menitikberatkan kesempurnaannya, berbeza dengan Solat Sunnat yang diberikan keringanan dan kemudahan untuknya.
vi. Solat Fardu tidak boleh dilakukan di atas kenderaan kecuali jika ada keuzuran kerana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan at-Tirmidzi daripada Ya‘la bin Umaiyah bahawasanya Nabi sampai di suatu kawasan yang sempit bersama para Sahabat, sedang ketika itu baginda berada di atas kenderaan, hujan pula turun ketika itu dan bumi pula penuh becak/lecak[6]. Ketika itu telah masuk waktu solat maka baginda pun menitahkan agar dilaungkan azan dan iqamah kemudian baginda maju di hadapan para Sahabat dalam keadaan masih berada di atas kenderaan dan baginda pun solat selaku imam mereka dengan menundukkan kepala sahaja sebagai isyarat dengan menjadikan sujudnya baginda lebih rendah daripada ruku‘.
Solat juga sah dilakukan di dalam kapal (laut) walaupun jika berkemampuan untuk keluar daripadanya, jika telah dilaksanakan sesuai dengan tuntutannya iaitu secara berdiri, menghadap kiblat dan sebagainya (tanpa keluar daripada kapal), berpandukan riwayat daripada ad-Daraqutniy dan al-Hakim daripada Ibn ‘Umar katanya: Nabi telah ditanya: Bagaimanakah caranya saya solat di atas kapal? Jawab baginda: Solatlah di dalamnya secara berdiri kecuali jika anda khuatir akan (keadaan yang menjadi penyebab) lemas/tenggelam.[7]
vii.Sepertimana kapal laut, kata asy-Syeikh Hasan Siddieq: Adapun kenderaan beroda, seperti keretapi, kereta (motorkar), tram dan seumpamanya, maka hukumnya di sisi Madzhab asy-Syafi‘iyah adalah sama dengan hukum kapal laut dan di sisi Madzhab Ahnaf hukumnya sama dengan hukum haiwan tunggangan. Adapun pesawat, maka solat sah jika telah dilaksanakan menurut apa yang dikira sah di sisi Syara‘, jika tidak, maka ia tidak sah kecuali jika (darurat iaitu) dikhuatiri akan keluar dan terlepas waktunya sedang ia masih lagi berada di dalam pesawat, maka ia tunaikan solat menurut keadaannya yang termampu. [8]
Dengan penjelasan ‘ulama ini juga dapat disimpulkan bahawa pendapat yang mengatakan “hormat waktu” iaitu:
i. Berniat solat sahaja tetapi tidak solat ketika masuk waktu
ii. Solat dalam pesawat dengan maksud solat yang tidak cukup syarat sekadar hormat waktu dan akan dilakukan Qada’ setibanya di destinasi
kedua-duanya adalah pendapat yang lemah tanpa panduan keterangan ‘ulama yang membuat kajian dan perbandingan berpandukan hadis-hadis dan keadaan atas dasar taqwa. Hujjah mereka mengatakan kerana “tiada kiblat” ketika di udara kerana berada di tempat yang jauh lebih tinggi daripada Ka‘bah, begitu juga tidak mampu berwudu’ dan tiada kemampuan bertayammum serta tidak tahu waktu kerana “tiada waktu” adalah hujjah-hujjah yang tidak bernas.
Jawapan terhadap persoalan-persoalan tersebut adalah seperti berikut
- Mengenai masalah kiblat, jika kita berada di puncak Everest apakah kita tiada kiblat? Sebahagian kita tinggal di rumah pangsa pencakar langit, apakah kita tiada kiblat kerana berada tinggi daripada Ka‘bah? Bagaimana pula kedudukan mereka yang solat di tingkat tiga bangunan Masjidil Haram yang lebih tinggi daripada Ka‘bah? Bahkan Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam biasa bermusafir bersama para Sahabat mendaki dataran tinggi, tetapi tiada satu ketika pun Nabi katakan dan berpesan kepada para Sahabat bahawa mereka tidak boleh solat ketika berada di puncak gunung/bukit kerana sudah berada lebih tinggi daripada Ka‘bah. Jelas tiada hujjah bagi kedua-dua golongan tersebut dalam persoalan ini.
- Mengenai ketidakmampuan untuk berwudu’ atau bertayammum pula, maka sebenarnya kita masih mampu berwudu atau sekurang-kurangnya bertayammum. Tentunya orang yang mengambil berat akan urusan solatnya akan sentiasa berusaha agar berada di dalam keadaan suci daripada hadas, maka ketika belum menaiki kenderaan/pesawat, dengan kesedarannya bahawa ia akan menghadapi waktu solat di dalam kenderaan, malah kemungkinan sepanjang waktu solat sehingga berakhirnya waktunya ia masih berada di dalam kenderaan tersebut, ia telah mensucikan dirinya daripada hadas dan dalam keadaan siap sedia untuk solat.
Walaubagaimanapun, adakalanya seseorang itu terlupa atau tidak menemui kemudahan untuk itu ataupun setelah ia bersuci ia kembali berhadas di dalam pesawat/kenderaan tersebut maka ia perlu untuk samada berwudu ataupun bertayammum. Maka biasanya yang diperkatakan beberapa pihak adalah 3 huraian:
a. Bawa bekalan sekampit tanah/pasir yang akan digunakan sebagai bahan tayammum yang dibawa masuk secara “hand carry” ke dalam pesawat ataupun bas dan sebagainya. Bila tiba waktu solat, sebahagian tanah itu dikeluarkan untuk ditaburkan di atas alas berupa kertas ataupun “magazine complimentary copy” dan sebagainya. Kemudian ia pun menepuk pada tanah tersebut dan bertayammum dengannya.
b. Ada pula yang mengajarkan bahagian belakang “seat kapalterbang” malah apa sahaja yang ada di permukaan bumi boleh dan sah dijadikan bahan bertayammum. Pendapat ini sebenarnya menuruti pendapat Imam Abu Haniefah dan ulama lainnya, yang berpendapat bahawa “صعيدا” di dalam ayat Tayammum[9] ditafsirkan dengan “صعيدا” di dalam ayat yang menjelaskannya sebagai segala apa yang ada di permukaan bumi[10]. Lagipun di dalam beberapa riwayat, Rasulullah pernah menepuk tembok untuk bertayammum, antaranya, ketika ingin menjawab salam seorang Sahabat sedang baginda ketika itu berhadas. Maka dengan menuruti dalil-dalil tersebut dan berpandukan ajaran Nabi di dalam Sahih al-Bukhariy dan lainnya, maka ketika ia hendak solat, ia menepuk belakang “seat” atau apa sahaja yang ada padanya (walaupun tidak berdebu), ia kemudian mengusap mukanya satu kali dan tangannya sampai ke pergelangan tangannya sahaja 1 kali dan ia telah sedia untuk solat. Wallahu a‘lam
c. Berwudu’; ketika hampir masuk waktu, ia bersedia dengan “botol spray”nya langsung pergi ke tandas. Dengan melaksanakan adab-adab memasuki tandas ia masuk dan kemudian ia berniat dan membaca basmalah di dalam hati, mencuci tangan dengan air paip, berkumur-kumur dan bersihkan hidung menggunakan air yang ditadah dalam cawan yang ada disediakan di dalam tandas.[11]
Kemudian ia menggunakan “spray” menyemburkan air secukupnya pada mukanya lalu digosoknya untuk meratakan air pada wajah. Demikian juga yang dilakukannya untuk tangannya sampai ke bahagian siku.
Setelah itu ia sapukan baki air pada tangannya ke kepalanya dan sekaligus ke telinganya. Akhir sekali, ia menadahkan air di dalam cawan ataupun boleh digunakan “spray” untuk mengenakan air yang secukupnya pada kaki kanannya dengan menjadikan “toilet bowl” sebagai tadahan, lalu digosok kakinya untuk meratakan air pada keseluruhan bahagian kaki yang perlu disucikan ketika berwudu‘. Demikian juga yang dibuat untuk kaki kirinya. [12] Setelah keluar tandas dengan adab-adabnya, ia membaca doa seusai berwudu’. Dengan itu ia pun tunaikan solatnya.
Menurut pendapat peribadi penulis, di dalam hal ibadah, hendaknya dilakukan apa yang termampu dan tidak beralih kepada yang “darurat” ketikamana masih berkemampuan untuk tidak melakukan yang darurat. Maksudnya, yang lebih tepat, kita hanya layak berpindah kepada hukum tayammum bilamana ketiadaan air atau tidak dapat menggunakan air kerana sakit atau ketidakmampuan. Namun dengan penjelasan (c) itu tadi, dengan menjimatkan penggunaan air, sesuai dengan petunjuk Nabi, seseorang musafir yang sihat, berkemampuan untuk berwudu’. Maka itulah yang lebih utama untuk diamalkan. Wallahu a‘lam. Dengan penjelasan itu tadi juga ia tidak menjadi seorang yang mengganggu jiran bersebelahan dengannya, yang mana jika bukan seorang muslim yang tidak faham, akan menganggap perbuatannya menurut penjelasan (a) mengganggu dan mengotor serta perbuatan “orang tidak berakal”. Wallahu a‘lam.
Akhir sekali ialah mengenai alasan mereka “tidak tahu waktu” atau “tiada waktu penentu” waktu-waktu solat. Sebenarnya permasalahan waktu ada huraiannya, cuma seseorang itu perlu membuat kajiannya dan memahaminya. Namun perbahasan tersebut tidak dibicarakan kerana ia berbeza-beza dengan jadual perjalanan yang berbeza.
Contoh masuknya waktu Solat Subuh ketika di dalam pesawat (hendaknya dilihat ke Ufuk Timur sama ada dengan melihat melalui jendela atau menerusi skrin TV yang memaparkan gambar yang dipapar kamera bahagian atas pesawat)
Atau berpandukan "gridlines", biasanya 1 petak grid sebelum batas "daylight", masuknya waktu Solat Subuh.
PERHATIAN: Adakalanya, Jendela Pesawat (jenis baru - bukan manual malah cara membuka dan menutupnya dengan menekan butang) adalah simulasi bukan hakikat apa yang ada di luar. Maka dalam keadaan demikian, hendaklah berpandukan "cara pengamatan Gridline" dan "Kamera Ekor Pesawat" semata-mata. Contoh masuknya waktu Solat Subuh ketika di dalam pesawat (hendaknya dilihat ke Ufuk Timur sama ada dengan melihat melalui jendela atau menerusi skrin TV yang memaparkan gambar yang dipapar kamera bahagian atas pesawat)
Atau berpandukan "gridlines", biasanya 1 petak grid sebelum batas "daylight", masuknya waktu Solat Subuh.
[1] Riwayat al-Bukhariy (Kitab al-Jumu‘ah: hadis no: 1034).
[2] Riwayat Abu Dawud (Kitab as-Solah: hadis no: 1036). Hadis berderajat Hasan menurut hukum Ibn Hajar dan an-Nawawi di dalam al-Majmu‘ dan dihukumkan Sahih oleh Ibn as-Sakan dan Ibn al-Mullaqqin.
[3] Riwayat at-Tirmidzi (Kitab as-Solah: hadis no: 313). Kata beliau: Hadis ini Hasan Sahih. Al-Bukhariy juga telah menghukumkan bahawa hadis ini dapat dipercayai kebenarannya dan Rijalnya (para perawinya) kesemuanya terdiri daripada golongan ats-Tsiqat (para perawi yang terjamin kebenaran periwayatan mereka).
[4] Surah at-Taghabun: 64:16
[5] Surah al-Baqarah: 2:239
[6] Tanah basah berlumpur – Kamus Dewan - sayangnya riwayat ini lemah.
[7] Diriwayatkan oleh al-Hakim dan beliau menghukumkannya Sahih dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Asy-Syeikh al-Albaniy pun menghukumkannya sahih sebagaimana yang ada di dalam kitab Sifat Solat an-Nabiy.
[9] Surah al-Ma-idah: 5:6
[10] Surah al-Kahfi: 18:8
[11] Ada baiknya ia membawa cawan “pakai buang/disposable”nya sendiri kerana adakalanya tiada bekalan (out of stock/supply) dalam tandas pesawat.
[12] Namun ada baiknya jika diamalkan rukhsah lainnya iaitu memakai khuff/sepatu dalam keadaan bersuci sebelum kedua-dua kakinya dipakaikan kasut itu, kemudian ia tidak menanggalkannya sehinggalah ia berwudu sekali lagi setelah berhadas. Maka seluruh bahagian anggota wudu’ lainnya telah diperlakukan sebagaimana biasa, kecuali bila tiba bahagian kaki, maka ia hanya mengusap bahagian atas kasutnya, 1kali kanan dan 1kali kiri, tanpa perlu menanggalkannya. Dengan itu ia telah berwudu’ dan sah untuk mendirikan solat.
Comments
Post a Comment