Solat Musafir - perbahasan solat ketika bermusafir selaku Jemaah Haji & Umrah serta Penziarah al-Aqsa

Solat Qasar:

Qasar ertinya ringkas.

Adapun solat qasar: Ialah meringkaskan solat-solat fardu yang bilangan asalnya 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja.

Solat-solat yang boleh dilakukan Qasar: Zohor, Asar dan ‘Isya.


Caranya: Solat sepertimana biasa cuma apabila telah selesaikan 2 rakaat, tahiyat awal menjadi tahiyat akhir (bukan tentang cara duduknya; tawarruk atau iftirasy, malah ada riwayat "cara duduk Tahiyat Awal" menuruti Sunnah) lalu diakhiri dengan salam. Tentunya sewaktu permulaannya dimulakan dengan niat di hati akan melakukan solat tersebut secara Qasar. Melafazkan niat adalah tidak wajib dengan kesepakatan Imam 4 Madzhab, maka selama seseorang muslim itu tahu apa yang ingin dilakukannya daripada amalan dan tekad atau azamnya di hati telah ada, ia pun melaksanakannya. (sila rujuk: Niat Tempatnya di Hati bukan Lidah)

‘Illah (sebab/faktor) solat dilakukan secara Qasar: Safar
        bererti seorang musafir sahaja yang boleh solat Qasar.
     Apabila ia bertukar keadaan menjadi seorang muqim (tetap di negeri destinasinya) atau menjejakkan kakinya ke tanah airnya (mustautin), ia tidak boleh qasar lagi. Sebaliknya ia mesti melaksanakan solatnya secara itmam atau tamam (4 rakaat).

Bilakah seseorang itu dinamakan ‘musafir’?
1.   Ia dinamakan musafir sebaik sahaja ia meninggalkan negeri (tidak semestinya negara), menurut ‘Uruf dan niat (menurut pendapat yang terkuat)
2.  Perjalanannya dari tempat ia berangkat atau tanah airnya hingga ke destinasinya menjangkau jarak 2 marhalah (1 marhalah = 44.352 km, maka 2 marhalah=88.704km dan untuk senang kira dan lebih waspada dalam mengambil rukhsah = 90km) menurut pendapat Jumhur antaranya Imam 4 Madzhab utama kecuali Imam Abu Haneefah yang menetapkan 3 marhalah.

Misalnya:
      Seorang jemaah dari Malaysia, Melaka atau Singapura, selama ia belum meninggalkan negerinya (atau daerahnya, jika negerinya besar, maka dikenakan hukum ini pada daerah dan bukan negeri), ia belum dikira seorang musafir. Selama seseorang tidak meninggalkan negerinya ia tidak dikira musafir. Oleh itu, ‘pemandu kereta sewa - teksi’ walau telah beribu batu ia pusing seluruh negeri, misalnya dalam negeri Melaka atau Singapura meski lebih daripada 90km, ia tidak boleh lakukan Qasar sebab ia bukan musafir. (ada perselisihan pendapat untuk negeri yang besar, yang mana dari satu hujung ke satu hujung jaraknya beratus kilometer. Tambahan pula, adakalanya "negeri-negeri" ini tidak digelarkan "negeri")

Perlu diambil kira bahawa Malaysia adalah sebuah negeri yang besar yang merangkumi beberapa buah negeri. Oleh itu, jika seorang yang tinggal di Johor bermusafir ke Kelantan atau K.L., ia boleh Qasar kerana telah meninggalkan negeri Johornya ke negeri lain walaupun kedua-duanya di dalam Malaysia dan jaraknya melebihi 90km.

Selain itu, jika seseorang yang tinggal di Singapura ingin ke Melaka, tetapi ia singgah di Angsana Plaza (Johor), ia boleh solat Qasar di Johor kerana ia telah memulakan perjalanannya ke destinasinya (Melaka) yang melepasi jarak 2 marhalah dan ia telah keluar dari negerinya Singapura. Wallahu a’lam. Sama halnya dengan orang daerah Pagoh (Johor) ketika singgah di Melaka dalam perjalanannya ke K.L. singgah di Jasin/Merlimau (Melaka), ia boleh lakukan Qasar. Beza dengan niatnya setakat ke Jasin dan pulang. Sama halnya dengan orang Singapura yang jika sekadar berbelanja di Angsana Mall (Johor) dan pulang. Maka Niat membezakan hukumnya. 
'Urf pula misalnya, sebutan perkataan "Bayar"; orang Johor sebut "Bayo" manakala orang Melaka sebut "Bayau", sehinggakan dengan dialek atau loghat, diketahui asal seseorang itu dari negeri atau daerahnya, sehingga dapat dikatakan: Orang-orang di Melaka dapat tahu, orang Johor bukan orang Melaka dan bukan pula orang Selangor dengan loghatnya. Maka menurut 'Urf, ia "orang asing". 

[Perhatian: di sana ada beberapa pendapat di dalam hal-hal ini. Kita mengambil jalan yang pertengahan atas dasar taqwa dan teliti menuruti Sunnah beserta kesimpulan 'ulama' yang berhati-hati. Namun, itu tidak akan menjadikan kita berkeras dengan pendapat sendiri dan menyalahkan pendapat yang lain. Selama mana semuanya berpandukan dalil dan ijtihad 'ulama' besar]

PERSOALAN:
Dengan itu, apakah layak bagi seorang warga Johor (Skudai) untuk melakukan Qasar ketika berada di Airport Senai? Atau warga Melaka di Airport Melaka? Begitu juga persoalannya bagi warga Singapura di Airport Changi? 

Ada 'ulama' membezakan hukum, kembali kepada kedudukan "Airport". Jika airport itu tempat yang ada ramai pengunjung seperti tempat berbelanja, masih tidak terlalu jauh dari kediaman manusia, maka tidak boleh Qasar. Sebab 'Urf, menjadikan orang yang akan berangkat itu, pada waktu lain (bukan ke Airport untuk berangkat malah sekadar berbelanja, bersiar-siar atau jalan-jalan cari makan), mampu berkunjung ke airport itu pada bila-bila masa dan tentunya tidak melakukan Solat Qasar apabila ke Airport tersebut bukan untuk keberangkat bermusafir. Ringkasnya, jika biasanya anda ke Airport itu bukan untuk berangkat bermusafir,  anda tidak layak Solat Qasar, maka sama hukumnya ketika anda berada di Airport tersebut untuk berangkat bermusafir, anda tidak layak Qasar. (piawaian atau standard yang sama atau keseragaman hukum) 
Adapun jika ia jauh, apatah lagi dengan kemudahan terbatas, maka boleh Solat Qasar sebab Airport seperti itu hanya didatangi untuk tujuan keberangkatan (melainkan para petugas dan pekerja Airport yang tentunya tidak Solat Qasar setiap hari). Demikian pendapat ash-Shaikh Sulayman ar-Ruhayli dalam kelas beliau di Masjid Nabawi.
                  
Bilakah musafir dinamakan muqim di negeri destinasinya.
1.   Maksud ‘negeri destinasinya’ ialah tempat tujuannya yang utama. Misalnya: Seseorang ingin ke Bangkok (destinasinya) dari Melaka  atau  Singapura (tanah airnya), tetapi ia singgah di K.L. Maka ia masih dikira seorang musafir selama di K.L. sebab ia belum sampai ke destinasinya dan ia sentiasa punya niat meneruskan perjalanan. Rasulullah berada di Mekkah melebihi 15 hari, namun tetap terus-terusan melakukan Qasar.
2.     Apabila ia telah berada selama 3 hari [72 jam] (menurut Jumhur, di antaranya Mazhab asy-Syafi‘ie dengan kiraan "hari masuk"  menjadi 4 hari) di negeri destinasinya, maka ia telah berubah menjadi muqim dengan niatnya berada tetap di destinasinya, sehinggalah ia memulakan perjalanannya pulang ke tanah airnya maka ia dikira musafir lagi sehingga sampai ke tanah airnya. [Sebahagian 'ulama' pula menghukumkan tiada batas bilangan harihari tertentu kerana perbuatan Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallam tidak membataskannya, begitu juga para Sahabat 

Cabang permasalahan :
1. Sekiranya seorang musafir itu solat dengan seorang Imam muqim atau Imam yang tidak melakukan Qasar, maka hendaklah ia melaksanakan solat mengikut Imam tersebut. Yakni ia solat secara tamam (4 rakaat) dan tidak boleh Qasar. Demikianlah sunnah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abbas.
“Suatu ketika kami bersama Ibn ‘Abbas di Mekkah, maka saya pun tanyakan kepada beliau: Sesungguhnya bilamana kami bersama anda, kami solat 4 raka‘at tetapi apabila kami pulang ke khemah-khemah kami, kami solat 2 raka‘at sahaja. Ibn ‘Abbas menjawab: Demikian itulah (ajaran) Sunnah Abil Qasim sollalLaahu 'alayhi wa sallam.” [1]
2. Lebih utama (afdal) bagi seorang musafir melaksanakan solatnya bersama jemaah musafir yang melakukan solat Qasar. Sebab, Qasar adalah rukhsah (keringanan) hadiah daripada Allah, maka Allah suka hadiahNya diterima oleh hambaNya sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi sollalLaahu 'alayhi wa sallamSesungguhnya Allah suka agar didatangi (diambil) rukhsah sebagaimana Dia benci kemaksiatan kepadaNya didatangi (dilakukan)[2].

Oleh itu, selama mampu, usahlah seorang musafir solat berimamkan seorang yang muqim (untuk Solat-solat yang dilakukan secara Qasar, bermakna Subuh dan Maghrib terkecuali)
        Namun, ada 3 tempat yang dikecualikan; Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa kerana keutamaan 3 masjid ini. Oleh itu, apabila berada di Makkah, Madinah atau Baitul Maqdis, lakukanlah solat bersama Imam masjid-masjid tersebut.

Ringkasannya :
1.     Seseorang tidak akan melakukan Qasar kecuali jika ia bermusafir. Maka tiada Qasar selama ia masih berada di dalam negeri tanah airnya.
2.     Solat yang boleh diQasarkan ialah yang 4 rakaat sahaja.

Wallahu Ta’ala a’lam.

Oleh kerana 'ulama' (Darul Ifta') (Lajnah Fatwa Daa-imah) (Shaikh al-Utsaimeen rahimahullah dan ramai lagi) mengajarkan bahawa seseorang yang bermusafir menaiki pesawat dalam beberapa keadaan:
1. Lebih utama ia solat sebelum berangkat atau selepas mendarat agar dapat mendirikan solat dengan keadaan tenang dan cara yang paling sempurna, berbanding di dalam pesawat.
2. Jika ia perlu untuk melakukan Jama' maka ia lebih utama daripada ia solat dalam pesawat, misalnya ia dapat Jama'kan Zohor dan Asar sebelum menaiki pesawat (Jama' Taqdeem) atau ia tundakan Solat Maghribnya ke waktu Isya' (Jama' Takkheer) kerana masih awal Isya' bila ia sampai mendarat.
3. Bila tiada pilihan, iaitu akan terlepas waktu Solat jika ia tundakan dan belum masuk waktu ketika pesawatnya berlepas, khususnya seperti Waktu Solat Subuh, maka ia solat di dalam pesawat dan dikira solat yang sah, walaupun dilakukan dalam keadaan duduk kerana darurat.

Maka dilanjutkan dengan perbahasan Solat Jama'.

Solat Jama‘:

Jama’ ertinya menyatukan.

Adapun solat Jama‘: Ialah menyatukan waktu solat-solat fardhu. Melaksanakan 2 waktu solat yang berbeza pada 1 waktu. Misalnya: Zohor dengan Asar pada waktu Zohor.

Solat-solat yang boleh diJama‘kan: 
Zohor, Asar, Maghrib dan ‘Isya’ sahaja.
                  
Untuk mudah ingat: Solat waktu siang dengan solat waktu siang (Zohor dan Asar), manakala solat waktu malam dengan solat waktu malam (Maghrib dan Isyak).

Bermakna Asar tidak boleh diJama‘kan dengan Maghrib (siang dengan malam).
Solat tengah-tengah di antara waktu siang dan malam (Subuh) tidak boleh diJama‘kan dengan solat waktu lain.

Caranya:
   Iaitu dengan mengerjakan solat-solat Zohor dan Asar pada waktu Zohor (maka tidak perlu solat Asar bila masuk waktu Asar kerana telah di“advance”kan)
           
Atau: kedua-duanya pada waktu Asar (sedang Zohor tidak dikerjakan pada waktunya sehingga berlalu waktu Zohor – ditundakan - bukan  melengah-lengahkannya malah dengan niat di hati akan melakukan Jama')
Kesimpulannya ada 2 cara:
1.         Taqdeem (dikedepankan/advanced)
2.         Ta’kheer (ditundakan/deferred)

1.         Jama‘ Taqdeem:
            Solat Zohor pada waktu Zohor, selesai salam, bangun untuk solat Asar pula. Apabila masuk waktu Asar nanti, Asarnya kira telah dilaksanakan maka tidak perlu solat Asar lagi.
            Solat Maghrib sepertimana biasa (pada waktu Maghrib), selesai salam, bangun untuk solat Isyak pula. Apabila masuk waktu Isyak nanti, Isyaknya kira telah dilaksanakan maka tidak perlu solat Isyak lagi.

2.         Jama‘ Ta’kheer:
           Sewaktu masuk waktu Zohor, solat Zohor tidak dilakukan dengan niat di hati akan melaksanakannya pada waktu Asar nanti. Sehinggalah waktu Zohor berlalu. Setelah masuk waktu Asar, bila-bila sahaja keadaan mengizinkan, lakukan solat Zohor kemudian Solat Asar.
            Ketika masuk waktu Maghrib, solat Maghrib tidak dilakukan dengan niat akan melaksanakannya pada waktu Isyak nanti. Sehinggalah waktu Maghrib berlalu. Setelah masuk waktu Isyak, bila-bila sahaja keadaan mengizinkan, lakukan solat Maghrib kemudian Solat Isyak. (Sebagaimana riwayat Sahih al-Bukhari dan kesimpulan ash-Shaikh al-'Utsaymeen: Rasulullah tidak pernah mencanggahi urutan waktu Solat, yang dahulu didahulukan)

‘Illah (sebab) sholat dijama’kan :
        Darurat ataupun Hajat yakni keadaan kesempitan waktu atau kegentingan yang tidak dapat dielakkan, ataupun adanya hajat demi memudahkan urusan sehingga solat tidak mampu dilakukan pada waktunya, atau lebih baik dikedepankan atau ditundakan agar dapat Solat dengan lebih sempurna.
       Keadaan genting tidak semestinya di luar negeri. Seseorang di dalam negeri pun boleh saja menghadapi kesempitan waktu. Namun, untuk menentukan sesuatu itu darurat, kita perlu ingat Allah Maha Mengetahui dan kita akan dipersoalkan akan setiap amalan yang kita kerjakan. Maka darurat ditentukan atas dasar taqwa bukan untuk meremehkan solat. Demikian pula Kaedah-kaedah Fiqh telah menetapkan beberapa kaedah di dalam persoalan darurat; antaranya: “Darurat itu dianggarkan menurut kadarnya” bererti bukan sesukanya sesuatu itu boleh dikatakan darurat. Demikan pula, apabila darurat itu telah lenyap maka segala perkara kembali kepada asalnya sebagaimana sebelum kedatangan darurat itu tadi. 
                  
Perhatian :
        Ramai orang mencampuradukkan perbahasan di antara Solat Qasar dan Solat Jama‘. Untuk kita tidak keliru, kita tumpukan pada ‘illahnya (sebab) mengapa solat diQasarkan dan mengapa solat diJama‘kan. Maka adakalanya seseorang itu melakukan Qasar tanpa Jama‘ (sebagaimana halnya orang yang bermusafir ke Bangkok singgah di K.L. dalam keadaan tenang (makan, rehat, tidur sepanjangnya berada di bilik) tidak darurat, maka ia Qasar Zohor jadi 2 rakaat, Asar 2 rakaat, masing-masing pada waktunya – tanpa Jama‘).
           
Demikian pula adakalanya ia lakukan Jama‘ tanpa Qasar sebagaimana halnya orang yang akan berangkat bermusafir, di Airport ia sibuk, darurat, mungkin tidak dapat solat Asar pada waktunya sedang ia akan berlepas pada waktu hampir Maghrib dan perlu meninggalkan rumah pada waktu sebelum Asar. Maka ia lakukan Zohor dan Asar secara Jama‘ di rumahnya tanpa melakukan solat secara Qasar kerana ia belum bermusafir (hanya musafir boleh lakukan Qasar).[3]

[Perlu diketahui yang dimaksudkan dengan Solat Sunnat untuk musafir adalah solat sunnat yang bukan Rawatib  kerana yang Rawatib (yang mengiringi Solat Fardu – Qabliyah dan Ba‘diyah) tidak dilakukan oleh Nabi ketika bermusafir melainkan 2 raka‘at sebelum Subuh. Terdapat perbezaan pendapat ‘ulama' di dalam “sunnat Rawatib” ketika bermusafir dan Imam an-Nawawi serta segolongan Imam lainnya memandang bahawa ia tetap “sunnat” hukumnya untuk dilakukan. Adapun Imam Ibn al-Qayyim dan segolongan lainnya (antaranya Ibn ‘Umar - Sahabat) berpendapat ia tidak sunnat bahkan bercanggah dengan Petunjuk Nabi kerana Nabi sendiri tidak melaksanakannya. Selain itu, dengan penilaian bilamana Solat Fardu menjadi Qasar (keringanan) adalah sesuai Solat Sunnat yang mengiringinya digugurkan tuntutannya. Pendapat Imam Ibn al-Qayyim ternyata lebih kuat. Wallahu a‘lam. – Kitab Zad al-Ma‘ad]

Wallahu Ta‘ala a‘lam.

Gambaran Contoh:

  1. Jadual Berlepas dan masa melaporkan diri untuk mendapatkan "Boarding Pass" (Check-in) menjadikan anda kesempitan untuk Solat Asar pada waktunya. Maka sebelum ke Airport, anda Solat Zohor 4 Rakaat, sejurus selepas beri salam, bangkit lakukan Asar 4 Rakaat. (bermakna anda melakukan Jama' Taqdeem tanpa Qasar)
  2. Anda Solat Zohor 4 rakaat sebelum ke Airport (Airport yang Sifatnya menjadikan anda tidak layak Qasar). Selesai urusan dan semasa di Dewan Pelepasan, anda punya cukup masa untuk Solat Asar. Anda lakukan Solat Asar 4 rakaat di Terminal sebelum berangkat. (Anda tidak Jama' dan tidak Qasar)
  3. Anda Solat Zohor di rumah, tetapi Solat Asar hanya dapat anda lakukan ketika telah berlepas di dalam pesawat. (Anda tidak Jama' dan hanya Qasarkan Asar) 
  4. Anda berlepas sejurus masuk waktu Zohor (tidak sempat Solat) dan anda tahu, menurut jadual anda akan hanya mendarat setelah masuknya waktu Isya' di destinasi anda. Anda Solat di dalam pesawat Zohor 2 rakaat dan Asar juga 2 rakaat. (Bererti anda lakukan Jama' Taqdeem dan Qasar Zohor dan Asar)
  5. Di dalam pesawat tiba waktu Maghrib, mulai gelap dan akhirnya gelap waktu malam menyelubungi. Anda tahu apabila mendarat nanti masih awal Isya' di negeri destinasi anda, maka anda tundakan Maghrib untuk Solat selepas mendarat. (Anda Jama' Takkheer, Maghrib 3 rakaat dan Isya 2 rakaat secara Qasar)



[1] Hadis riwayat Imam Ahmad (no: 1765). Kata asy-Syeikh al-Albaniy: Hadis Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/216), as-Siraj (al-Musnad(manuskrip): 1/120, at-Tabaraniy (al-Mu‘jam al-Awsat: 1/278/1 – salinan daripada Universiti Islam Madinah), Abu ‘Awanah (al-Musnad: 2/340)
[2] Riwayat Imam Ahmad (2/108) dan Imam Ibn Hibban (2742) daripada Ibn ‘Umar dengan sanad yang Sahih.
[3] antara dalil dan hujjah kuat yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim ialah tatacara Nabi menunaikan solat ketika perlaksanaan Ibadah Haji. Ibadah Haji itu sendiri, sebahagian manasiknya menimbulkan keadaan yang “sukar” dan ada sebahagiannya pula yang “ringan atau mudah”. Yang nyata, dalam riwayat-riwayat yang sahih mengenai tatacara Nabi solat ketika perlaksanaan Haji (sebagaimana yang boleh didapatkan daripada kitab “Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah fi al-Kitab wa as-Sunnah wa Atsar as-Salaf” – ringkasan daripada kitab: Hijjat an-Nabiy kama rawaha ‘anhu Jabir” – kedua-duanya oleh asy-syeikh al-Albaniy) dan kitab-kitab hadis yang banyak, Rasulullah melaksanakan Solat Qasar tanpa Jama‘ (Zohor-Subuh) pada Hari Tarwiyah (8hb DzulHijjah) di Mina kerana tidak banyak kegiatan ketika itu. Pada Hari ‘Arafah (9hb) baginda tunaikan Solat Zohor dan Asar secara Qasar dan Jama‘ pada waktu Zohor di ‘Arafah. Begitu juga pada malamnya setelah sampai di Muzdalifah, baginda solat Maghrib dan Isya’ secara Qasar dan Jama‘. Pada 10hb, Nabi menunaikan Solat Zohor Qasar di Mekkah setelah selesai Tawaf Ifadah (riwayat lain di Mina) dan begitu juga ‘Asar secara Qasar tanpa Jama‘. Begitulah juga selama 3 hari berada di Mina (11, 12 dan 13hb DzulHijjah). Justeru itu, dalil dan hujjah Imam Ibnul Qayyim masih ada sudut kekuatannya yang tersendiri kerana ia adalah amalan terakhir yang Nabi contohkan hampir dengan saat kewafatan baginda serta perjalanan tersebut mempunyai berbagai keadaan yang  berbeza-beza sama ada genting atau mudah, tetap di satu tempat atau bergerak dan juga penuh dengan kegiatan atau tidak sibuk. Wallahu a‘lam.

Comments

Popular Posts

Panduan Perlaksanaan Umrah (tahap demi tahap - step-by-step)

Umrah Berulangkali ketika di Mekkah - Penjelasannya

08. Tatacara Ziarah Kubur Nabi & kedua Sahabat; Abu Bakar & Umar

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Persiapan sebelum Niat dan Ihram

03. Doa Safar - Doa ketika berangkat bermusafir

15. (iii) Niat bagi Wanita yang kedatangan uzur (Haid)nya atau khuatir akan uzur.