Umrah Ketika Wabak (Covid19)_persoalan Ihram
بسم الله و الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله
Banyak yang ditanyakan berkenaan perlaksanaan Umrah ketika masih adanya penularan Wabak Covid19, jika Kerajaan Arab Saudi telah mula mengizinkan dan menerima kedatangan para jemaah dari luar negara dengan pihak Saudi mengenakan berbagai-bagai syarat dan peraturan serta langkah pencegahan penularan dan jangkitan penyakit Covid ke atas para jemaah. Antaranya, had umur tertentu, mesti menjalani ujian kesihatan dan ujian saringan bebas Covid, perjalanan manasik dari awal permohonan Visa Umrah sebelum berangkat hingga kembali semula ke tanah air dengan setiap langkah diatur menurut ketetapan App yang disediakan pihak Saudi dan sebagainya. Segalanya itu ditetapkan demi menjamin kemaslahatan yang pelbagai, antaranya ibadah Umrah masih dapat terus dihidupkan sebagai Syiar Islam dan dilaksanakan, memelihara nyawa dan kesihatan kaum muslimin khususnya para jemaah Umrah, memberi peluang meski terbatas, kepada kaum muslimin dari negara-negara yang berbeza untuk melakukan ibadah agung ini dan lain-lain lagi.
Antara peraturan yang ditetapkan ialah para jemaah mendatangi negara Saudi tanpa berihram untuk menetap di hotel untuk menjalani kuarantin selama beberapa hari demi memastikan mereka sihat dan bebas daripada penyakit Covid. Hotel tempat Kuarantin ini pula umumnya berada dalam Zon Miqat. Maksudnya, jemaah telah pun memasuki Zon Miqat ketika mendarat di Jeddah, namun mereka tidak berihram dan jemaah kaum lelaki tidak mengenakan pakaian ihram. Dengan tanpa Ihram, walaupun telah melintasi Zon Miqat, mereka menginap di hotel kuarantin untuk beberapa hari sehingga mendapat izin dan kelulusan untuk menunaikan Umrah. Apabila telah diluluskan, barulah mereka mula berihram dan memulakan talbiah dan amalan manasik.
Bagaimanakah hukumnya dan apakah ada denda tertentu seperti kaffaarah atau dam?
Asal hukum, seseorang yang berniat melaksanakan Haji atau Umrah ketika ia mendatangi Ka'bah, ia mesti dan wajib berihram ketika melintasi perbatasan atau masuk sempadan Zon Miqat, sebagaimana yang dijelaskan: Bila penumpang pesawat mulai ihram.
Begitu juga, hukum yang tetap menurut penetapan asalnya, orang yang tidak berniat atau belum ada niat melaksanakan Haji atau Umrah, ketika ia melintasi sempadan Zon Miqat, ia tidak diwajibkan berihram dan tiada kena mengenanya perjalanannya memasuki Zon Miqat dan melintasinya dengan apa-apa hukum Manasik. Sila baca: datang ke jeddah tanpa niat umrah kemudian timbul niat umrah
Maka dalam hal ini, jemaah yang menuju ke Mekkah untuk Umrah ataupun Haji, akan tetapi, disebabkan peraturan semasa wabak seperti keadaan adanya wabak Covid19 sekarang ini, tidak berihram dan tidak dikenakan apa-apa denda ketika tiba di Jeddah dan langsung dibawa ke tempat/pusat kuarantin, memandangkan bahawa ia belum pasti dapat menunaikan Manasik dan niatnya dikira belum mantap disebabkan kemungkinan terhalang jika, laa qaddaralLaahu, tidak diluluskan dan disuruh pulang ke negaranya. Ia hanya memulakan Ihram dari tempat/pusat kuarantin tersebut, bilamana dimaklumkan telah diluluskan untuk melaksanakan Umrah atau Hajinya. Ini bersesuaian dengan fatwa berikut:
Di antara fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah adalah;
"Jeddah bukan merupakan miqat bagi orang yang hendak menunaikan haji dan umrah (sebab ia dalam zon miqat), kecuali mereka yang telah menjadi penduduk Mekah atau mukim di sana (Jeddah). Begitu pula bagi mereka yang telah tiba di sana untuk sebuah keperluan tanpa niat yang mantap untuk haji atau umrah. Kemudian di sana baru muncul niat haji atau umrah...."
(Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah, 11/130)
WalLaahu a'lam.
Pemandangan yang memilukan - Ka'bah & Mataf yang kosong ketika Musim Wabak
Comments
Post a Comment