M. Batalkah Wudhu' apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita?
بسم الله ، الحمد لله رب العالمين و به نستعين على أمور الدنيا و الدين
،و الصلاة و السلام على النبي الأمين المبعوث رحمة للعالمين
أما بعد
Perkara ini seringkali menjadi perkara yang dirunsingkan oleh sebahagian jemaah Haji dan Umrah ketika jemaah berhasrat melakukan Tawaf dengan kepelbagaian jenis Tawaf, sama ada Tawaf Qudum, atau Tawaf 'Umrah, Tawaf Haji (Ifaadhah), Tawaf Wada' malah Tawaf Sunat sekalipun.
Sebenarnya, perkara ini hanya dirunsingkan oleh segolongan umat Islam yang dengan dakwaan dan pegangan mereka, bermazhab Syafi'ie (dan jika masih ada, pengikut Mazhab az-Zohiriyyah kerana di sisi Imam Ibn Hazm rahimahullah, sentuhan kulit dengan kulit tanpa lapik membatalkan tanpa mengambil kira sama ada disertai syahwat atau tidak - sila rujuk al-Muhallaa Bab Pembatal Wudhu').
Adapun umumnya 'ulama dan pengikut 3 Mazhab yang lain, Hanafi (al-Hanafiyyah), Maliki (al-Maalikiyyah), Hambali (al-Hanaabilah) dan lainnya (antaranya ahli-ahli Hadis) dengan kata lain, di sisi kebanyakan umat Islam, majoritinya, ia bukan perkara yang perlu dirunsingkan atau dijadikan perhatian pun, sebab di sisi mereka bersentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wudhu'.
Justeru, selayaknya kita tidak merosakkan persaudaraan kita sesama Islam pada perkara perselisihan seperti ini dan tidak pula berasa bangga diri seolah-olah kita dan pegangan serta amalan kita yang terbaik sambil merendahkan saudara seagama kita apatah lagi 'ulamanya, biar apa pun yang kita pilih menjadi pegangan kita dalam perkara ini.
Dinukilkan berikut ini kajian ilmiyah yang membantu kita memahami masalah ini dan perselisihan pendapat 'ulama mengenainya.
عَنْ عَائِشة رضي الله عنها قَالَتْ : " إِنْ كَانَ رَ سُولُ اللهِr لَيُصَلِّي وَ إِنِّي لَمُعْتَرِضَة بَيْنَ يَدَيْهِ إِعْتِرَاضَ الْجَنَازَةِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَسْجُدَ غَمَزَنِيْ فَقَبَضْتُ رِجْلَيّ."
Daripada ‘Aa-isyah رضي الله عنها : “Sungguh, adakalanya Rasulullahr sholat (tahajjud) sedang aku berbaring melintang di hadapannya sepertimana melintangnya sesusuk jenazah, maka apabila baginda hendak sujud, baginda mencuit dan menggoyangkan (menggugah)ku maka aku pun menarik kedua kaki ku”
[Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhaariy (no: 513) dan Imam Muslim رحمهما الله].
Hadis ini, amat jelas membuktikan perbuatan Rasulullah menyentuh 'Aa-isyah ketika solat bahawa seorang lelaki yang menyentuh wanita tanpa syahwat, tidak membatalkan wudhu. Demikian pula, seorang wanita yang menyentuh seorang lelaki tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu sebagaimana yang jelas di dalam hadis berikut :
عَنْ عائشَةَ رضي الله عنها قالَتْ : " فَقِدْتُ النَّبي r ذَاتَ لَيْلَةٍ فَجَعَلْتُ أَطْلُبُهُ بِيَدَيَّ فَوَقَعَتْ يَدَيَّ عَلَى قَدَمَيْهِ وَ هُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَ هُوَ سَاجِد ."
Daripada ‘Aa-isyah رضي الله عنها
: “Pada suatu malam, aku telah kehilangan Nabir
(dari tempat pembaringan), maka aku pun mencari baginda (meraba-raba sekitaran
ku) dengan kedua tangan ku. Lalu kedua tangan ku mendapatkan kedua kaki baginda
yang sedang tegak sewaktu baginda bersujud.”
[Diriwayatkan oleh Imam-imam Muslim (3/203) dan an-Nasaa-i (1/101) رحمهما الله].
Kedua-dua hadis ini, memberi penjelasan kepada kita bahawa asalnya, hukum menyentuh antara seorang lelaki dan wanita, tidak membatalkan wudhu.
Menurut penulis “at-Ta’liiqaat as-Salafiah” yang menerangkan maksud hadis-hadis dalam Sunan an-Nasaa-i (1/23) sewaktu menerangkan maksud kata-kata ‘Aa-isyah “غمزني” :
“Maksudnya
menyentuhku dengan kakinya (sepertimana yang terdapat dalam riwayat an-Nasaa-i) sedia dimaklumi bahawa sentuhan itu adalah tanpa syahwat. Maka
pengarang kitab ini bermaksud untuk berhujjah bahawa sentuhan tanpa syahwat
tidak membatalkan wudhu. Adapun jika beserta syahwat maka asal hukum berpandukan dalilnya
juga tidak membatalkan, sebab asal segala hukum adalah ‘tiada hukum’
sehinggalah ada dalil, baru ada hukum. Maka pihak yang mengatakan wudhu batal,
perlu mendatangkan dalil sebagai bukti (bahawa bersentuhan antara lelaki dan wanita membatalkan wudhu).
Keterangan ini sudah memadai untuk kita menerima pendapat yang mengatakan tidak batal malah akan lebih jelas lagi dengan dalil-dalil yang membuktikan bahawa wudhu tidak batal iaitu ‘hadis qublah (ciuman)’ kerana ciuman biasanya adalah sentuhan yang bersyahwat...”
Kata pengarang kitab "al-’Aun”[1] ketika menerangkan maksud “ ...قَبَّلَهَا وَ لَمْ يَتَوَضَّأ” (menciumnya dan tidak berwudhu - yakni tidak memperbahurui wudhu) :
“Padanya (riwayat ini) dalil bukti bahawa menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu sebab mencium itu tergolong daripada perbuatan menyentuh dan Nabi tidak berwudhu (memperbahuruinya) kerananya (ciuman) dan pendapat ini adalah pendapat ‘Aliy dan Ibn ‘Abbaas (kalangan Sahabat), Imam-imam ‘Atho, Thowuus, Abu Haniifah dan Sufyaan Ats-Tsauriy. Hadis ini dho’if (lemah) tetapi ia dikuatkan dengan hadis-hadis yang banyak. Ia dihukumkan dho’if kerana ia ‘Mursal’,[2] namun Imam ad-Daaraquthniy telah meriwayatkannya secara bersambung terus (sampai jelas bahawa ia tulen sahih daripada Nabi). Justeru itu, ia adalah hadis yang sahih Insyaa Allah; sila rujuk Nashbur Raayah: 1/70.”
Kata Imam Ibn Qudaamah رحمه الله pula: “Sesungguhnya setakat sentuhan sahaja tidak membatalkan wudhu. Akan tetapi, ia boleh menjadi penyebab batal wudhu kerana ia (sentuhan) mungkin menjadi penyebab keluarnya air madzi ataupun air mani. Oleh kerana itu, keadaan yang mana sentuhan menjadi penyebab seseorang berhadats (keluar madzi atau mani) tadi, itulah keadaan sentuhan yang membatalkan wudhu yakni dengan syahwat...”[3]
Ulama' telah berselisih pendapat mengenai hukum "menyentuh di antara lelaki dan wanita" samada membatalkan wudhu atau tidak.
Segolongan berpendapat biar bagaimanapun keadaannya, beralas atau tidak, bersyahwat atau tidak, sengaja atau tidak, sentuhan tidak membatalkan wudhu. Yang demikian adalah yang masyhur diektahui sebagai pendapat Imam Abu Haniifah dan beberapa ulama lainnya berdasarkan ayat al-Quran :
{ أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسآءَ }
maksudnya : “...atau kamu menyentuh wanita..” [Surah an-Nisaa: 43 dan al-Maa-idah: 6]
yang mana, ayat ini menerangkan perkara-perkara yang
kerana melakukannya, seseorang perlu bersuci dengan mandi, tayammum atau wudhu.
Menurut sebahagian 'ulama yang berpegang dengan pendapat ini, ‘menyentuh’ di dalam ayat ini ialah bahasa kiasan yang bererti ‘berjimak/bersatu/bersetubuh’. Tafsiran ini amat masyhur dan sahih daripada penjelasan Ibn 'Abbaas (sahabat dan sepupu Nabir). Maka selama tidak berjimak, wudhu tidak batal dan jelasnya ia tidak batal dengan setakat sentuhan sahaja.
Sebahagian yang lain berpandukan kepada hadis-hadis tadi sebagai hujjah tambahan; Nabi r menyentuh ‘Aa-isyah, beliau menyentuh Nabi r dan Nabir mencium beliau, lalu solat tanpa memperbahurui wudhu.
Segolongan yang lain menghukumkan berdasarkan makna zahir ayat tadi bahawa sentuhan di antara lelaki dan wanita membatalkan wudhu. Maksudnya, asal sahaja telah bersentuhan, maka batal wudhu orang yang disentuh dan yang menyentuh, walaupun tersentuh (tanpa sengaja). Demikianlah yang sahih daripada penjelasan Ibn Mas'uud (Sahabat Nabi) dan yang masyhur di sisi Mazhab asy-Syaafi’ee. Cuma ada pendapat lainnya dalam mazhab tersebut yang menghukumkan hanya yang menyentuh sahaja batal wudhu, sedang yang disentuh tidak batal wudhunya. Ada pula yang membezakan antara isteri (atau suami) dengan mahram lainnya. Yang jelas, mereka berpandukan kepada ayat tadi dan tidak pula diketahui dalil-dalil hadis yang menjadi pegangan mereka dalam masalah ini.[4]
Satu pihak yang lain berpendapat bahawa sentuhan tidak membatalkan wudhu kecuali jika disertai syahwat. Ini merupakan pendapat guru Imam asy-Syafi’ee رحمه الله, yakni Imam Malik رحمه الله dan demikian pula Imam Ahmad رحمه الله, dalam salah satu riwayat yang masyhur daripada beliau serta ramai ulama lainnya. Pendapat ini ialah pendapat pertengahan yang mengamalkan maksud ayat dan kesemua hadis dalam masalah ini.
Tetapi malangnya, golongan yang mendakwa menyokong dan membela pendapat al-Imam asy-Syafi’ee رحمه الله, mengadakan berbagai tafsiran dan kemungkinan. Antaranya mungkin ‘Aa-isyah tidur memakai stokin atau Nabi r menyentuh beliau dengan beralas dan kalau tanpa alas pula, maka Nabi r seorang yang kuat menahan nafsu berbeza dengan orang lain dan banyak lagi tafsiran lainnya untuk menegak dan mempertahan bahawa ia (sentuhan antara lelaki dan wanita), membatalkan wudhu. Yang mana jika diteliti, antaranya adalah andaian berbagai kemungkinan yang agak keterlaluan, menyempitkan perkara yang asalnya luas dan mudah, tanpa menjejas pegangan agama sebagaimana difahami oleh para Imam kita.
Walaubagaimanapun, kita dapati sebaliknya yang ada pada sikap al-Imam asy-Syaafi’ee رحمه الله sendiri, yang telah mengatakan (mengenai hadis Nabi r mencium isteri baginda, ‘Aa-isyah رضي الله عنها dan tidak berwudhu lagi untuk solat):
”إِنْ ثَبَتَ حَدِيْثُ مَعْبَدٍ بِن نَبَاتَه فيِ الْقُبْلَةِ ،
لَمْ أَرَ فِيْهَا وَ لاَ فيِ اللَّمْسِ وُضُوءاً “
“Sekiranya hadis (riwayat) Ma’bad bin Nabaatah mengenai ciuman adalah hadis yang sabit (ketulenannya daripada Nabi r ), maka aku berpendapat tidak perlu berwudhu kerana ciuman dan tidak pula kerana sentuhan” [Bidaayatul Mujtahid: 1/38]
Maka demikianlah sikap para Imam kita. Biar apapun yang mereka putuskan menurut ilmu mereka yang hebat, mereka tidak bersikap keterlaluan, malah kembali kepada ajaran asal Nabi r. Oleh kerana hadis ini tidak jelas ketulenannya di sisi beliau, maka beliau tetap berpegang dengan apa yang beliau yakini berdasarkan ilmu beliau. Namun, beliau telah menetapkan agar murid beliau serta mereka yang ingin mengetahui pendapat beliau dan berpegang dengannya, mengikuti hadis tersebut seandainya ia shohih.
Ternyata hadis tersebut sebuah hadis yang sahih, maka wajiblah atas diri kita sebagai umat Muhammad r dan pengikut setia Imam asy-Syaafi’ee رحمه الله serta Imam Ahli Sunnah[5] lainnya رحمهم الله tanpa ta’ashub, berpegang dan mengamalkan hadis tersebut, iaitu berpegang kepada pendapat yang pertengahan; batal wudhu jika berlaku sentuhan dengan sengaja atau tidak, beralas atau tanpa alas, selagi ia disertai syahwat dan tidak batal selama tidak bersyahwat walaupun sampai berciuman sekalipun, wallahu a’lam.
Mengenai hadis yang disebutkan oleh Imam asy-Syaafi’ee رحمه الله tadi, maka hadis tersebut sahih dan ia telah diriwayatkan melalui beberapa jalan periwayatan. Ia telah diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Abu Daud dan an-Nasaa-i[6] رحمهم الله dengan sanad yang sahih.
Kata ‘Urwah: “Agaknya yang anda maksudkan
(sebahagian isterinya) ialah diri anda sendiri?”
Maka ‘Aa-isyah رضي الله عنها pun ketawa.
Hadis ini sahih menurut ramai ulama terutamanya
ulama Kufah dan juga Abu ‘Umar bin ‘Abdil Barr رحمه
الله
.
Justeru itu, apakah kita akan bermati-matian mempertahankan salah satu pendapat al-Imam asy-Syaafi’ee رحمه الله dan memperkecilkan Imam-imam lainnya, apatah lagi meninggalkan Sunnah Nabi r yang jelas setelah kita mengetahui perkara ini? Tambahan pula, masalah ini sering diperkatakan dalam kursus Haji dan Umrah, masalah batal Tawaf dengan batalnya wudhu kerana bersentuhan antara lelaki dan wanita dan ada berbagai pandangan yang diberikan. Namun, jika kita teliti apa yang telah dijelaskan, kita dapat mengamalkan yang sebaiknya berupa ajaran Nabi r dan para Imam, dalam kehidupan kita seharian.
Sesungguhnya, jika seseorang itu, samada lelaki atau wanita, merasa aman pada diri mereka, bahawa tiada sesuatu cecair (madzi atau mani) keluar dari diri mereka ketika bersentuhan, maka wudhu mereka tidak batal (sebagaimana yang telah beliau jelaskan terutamanya dari kata-kata Ibn Qudaamah رحمه الله). Namun demikian, adalah afdhal (lebih baik dan utama) kita mengambil sikap berhati-hati, sebab seseorang itu, biasanya tidak dapat memastikan keluarnya sesuatu dari dirinya ketika ia bersyahwat. Wallahu a’lam.[7]
Maka jemaah yang dapat menerima segala keterangan tadi dan meyakininya, mereka tidak perlu khuatir Tawaf mereka batal disebabkan wudhu' terbatal kerana bersentuhan atau tersentuh, selama mana tiada disertai syahwat.
Adapun jemaah yang tetap dengan pegangannya bahawa bersentuhan atau tersentuh sekalipun menjadi penyebab batalnya wudhu dan dengannya Tawaf jadi tidak sah sebagaimana di sisi Mazhab asy-Syaafi'ie, maka mereka perbaharuyi wudhu'.
Mereka yang perlu memperbaharui Wudhu boleh melakukannya di dalam Masjidil Haram kerana telah ada kemudahan untuk jemaah berwudhu iaitu di bawah tangga, di sekitar arah ke Pintu King (Raja) Fahd. [Apabila kita masuk Masjidil Haram, kita di Lantai 1 (1st Floor) dan kita akan turun tangga untuk ke Mataf - yakni lapangan Tawaf sekitar Ka'bah (Mataf atau Piazza) - maka tempat wudhu berada di bawah tangga-tangga tersebut di kawasan yang mana ditandakan "To King Fahd Gate" yang kita dapat lihat jelas ketika berada di kawasan Mataf. sila lihat gambar Tempat Wudhu dalam artikel dalam Blog ini, bertajuk "22. Solat 2 Rakaat Selepas Tawaf" .
Usah berTalfiq yakni bertempel bertukar Mazhab sementara sepertimana yang diajarkan sebahagian pihak dengan kononnya bertukar ke Mazhab Hanafi sementara melakukan Tawaf sahaja iaitu dengan berwudhu mengikut Mazhab Hanafi dengan mengusap lebih daripada separuh bahagian kepala. Secara peribadai saya pernah bertanya, "anda ikut Wudhu Mazhab Hanafi? Anda hadirkan Niat berwudhu, mengangkat hadas kecil atau tidak?" Jawabnya: "Mestilah ada Niat, kalau tidak Wudhu tak sah". Saya pun menjelaskan "Jika anda berNiat, anda tidak ikut Wudhu Mazhab Hanafi, sebab di sisi Mazhab Hanafi, Wudhu itu perbuatan Ma'quulatul Ma'na suatu pembersihan maka tidak ada Niat sama seperti jika ada kotoran. kita semestinya akan bersihkan beristinja dan itu tidak perlu niat. Bererti anda punya wudhu bukan wudhu Mazhab Hanafi dan batalnya pun bukan ikut Mazhab Hanafi". Sebenarnya Talfiq itu Terlarang terutama jika dengannya "mencari-cari keringanan dan mempermain hukum-hukum atau berhelah atau dengan anggapan Mazhab lain seperti bukan ajaran Islam"
Usah juga berTaqlid sebab ada sebahagian 'ulama mengharamkan Taqlid (mengikut membuta tuli tanpa dalil), neskipun ia diperselisihkan 'ulama kerana ada banyak dalil melarangnya antaranya Firman Allah: "Jangan kau mengikuti apa yang kau tidak punya pengetahuan mengenainya" (Surah al-Israa': 36),
Semoga bermanfaat dengan Izin dan Taufiq Allah.
Wallahu a'lam
[1] ‘Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud : 1/69
[2] Hadis
Mursal : hadits yang sanadnya terputus justeru tidak dapat dipastikan
ketulenannya dari Nabi.
[3] al-Mughni: 1/190
[4] al-Fiqh al-Islaami : 1/276-277, Fiqhus Sunnah : 1/51.
[5] Antaranya
ialah Imam Malik, Imam Ahmad dan beberapa ulama lainnya.
[6] Sahih al-Jaami’ ash-Saghiir : 2/892 hadis no : 4997 & 2/882 (4906)
[7] Sifat Wudhu' an-Nabiy karya asy-Syeikh ash-Shuwayb
Comments