O. Berihram di Miqat yang ditetapkan Nabi.
Bismillaah walhamdulillah was solaatu was salam 'alaa Rasuulillaah wa 'alaa ahlihi wa sohbihi wa man waalaah, wa ba'd
Soalan:
Bolehkah seseorang jemaah Umrah atau Haji yang menziarahi kota Madinah dahulu sebelum ke Mekkah, menuju ke Mekkah tanpa Ihram dan bermiqat kerana bermaksud memasuki kota Mekkah dan berehat di hotel 1 hari terlebih dahulu, kemudian apabila hendak tunaikan Umrahnya, ia pergi ke Ji'ranah atau Tan'eem untuk Berihram di salah satu miqat tersebut?
Jawapannya:
1. Setiap muslim yang melalui miqat, dan berniat menunaikan Umrah, wajib berihram. Berdosa jika tidak berihram dan dikenakan dam malah Umrah nya dikhuatiri tertolak tidak diterima Allah. Dalam contoh yang diberikan, seorang jemaah yang menuju ke Mekkah dari Madinah, dituntut dengan hukum.WAJIB memulakan Ihramnya di Miqat penduduk Madinah iaitu DzulHulaifah (Bir Ali/Abyar Ali) ataupun perbatasan Zonnya atau sejajar dengannya, jika tidak bersinggah atau melintasi Miqat DzulHulaifah secara zat, malah di daerah lain seperti keadaan penumpang pesawat dan Keretapi Laju.
Hukum ini berdasarkan ketetapan Nabi ﷺ yang disebutkan dalam hadis berikut:
"Miqat-miqat tersebut adalah untuk ahli-ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut) dan bagi setiap yang mendatanginya/melaluinya (miqat-miqat tersebut) daripada mereka yang bukan daripada ahlinya (para penduduk kota- kota tersebut), bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji”
[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]
2. Nabiﷺ tidak pernah buat Umrah ketika berada di Kota Mekkah dengan keluar dari Mekkah, semata-mata untuk niat Ihram di miqat sempadan Tanah Haram, seperti Tan'eem atau Ji'ranah, kemudian masuk semula ke Mekkah, untuk buat Umrah.
3. Allah Maha Mengetahui, kita tidak dapat mengelak atau cuba "berhelah" dengan "niat berehat dahulu di Mekkah". Jika disengajakan, ditakuti perbuatan ini dikira mempersenda hukum agama yang menyebabkan pelakunya jatuh kufur.
4. Kita ambil i'tibar. Nabi ﷺ dan para Sahabat berihram dari Dzulhulaifah menempuh 415km selama lebih kurang 10hari perjalanan untuk tunaikan Umrah. Tentunya Nabi Penyayang umat, tidak akan mahu menyusahkan umat baginda ﷺ dan tentunya telah ajarkan 10hari perjalanan tanpa Ihram, kemudian ihram di Sempadan Tanah Haram, seperti di Tan'eem atau Hudaibiyah, seandainya ia dibolehkan.
Wallaahua'lam
Comments
Post a Comment