Q. Meninggalkan Kota Madinah dengan Mengingati Hak-hak Rasulullah dan "oleh-oleh" sebenar
Sambungan daripada "P. Ketika Meninggalkan Kota Madinah..."
Maka yang lebih penting, ketika
meninggalkan Kota Madinah, setelah membaca Doa Safar untuk berangkat pulang, dengan
- Harapan
dan permohonan sungguh-sungguh agar Allah mengurniakan kita kesempatan
lagi berulang kali untuk dapat Menziarahi Masjid Nabawi dan beribadah di
dalamnya.
- Penuh
keinsafan yang kita telah dikurniakan peluang menziarahi Masjid Nabawi dan
Tanah Haram Madinah serta Kubur Nabi dan para Sahabat, Masjid Quba’,
Perkuburan Syuhada Uhud dan al-Baqee‘, sedangkan ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak dikurniakan dengan peluang yang sama.
- Beristighfaar – banyak memohon Ampunan Allah atas dosa-dosa kita selama berada di Tanah Haram Madinah khususnya jika ada tersilap melakukan bid‘ah dan menyakiti saudara Islam.
حدثنا قتيبة بن سعيد ، حدثنا جرير ، عن الأعمش ،
عن إبراهيم التيمي ، عن أبيه ، قال: قال علي رضي الله
عنه: ما عندنا كتاب نقرؤه إلا كتاب الله غير هذه الصحيفة، قال:
فأخرجها فإذا فيها أشياء من الجراحات وأسنان الإبل، قال: وفيها المدينة
حرم ما بين عير إلى ثور، فمن أحدث فيها حدثا أو آوى محدثا، فعليه لعنة
الله والملائكة والناس أجمعين، لا يقبل منه يوم القيامة صرف ولا عدل،
ومن والى قوما بغير إذن مواليه، فعليه لعنة الله، والملائكة،
والناس أجمعين، لا يقبل منه يوم القيامة صرف ولا عدل، وذمة
المسلمين واحدة، يسعى بها أدناهم، فمن أخفر مسلما، فعليه لعنة
الله، والملائكة، والناس أجمعين، لا يقبل منه يوم القيامة،
صرف ولا عدل.
Aliy (bin Abi
Tholib) radhiyallaahu ‘anhu telah berkata: “Tiada bagi kami satu kitab pun untuk
kami membacanya kecuali Kitab Allah (al-Quran) dan juga catatan lembaran ini.”
Maka beliau pun mengeluarkannya dan termaktub padanya beberapa perkara mengenai
(balasan dan pampasan) kecederaan dan usia-usia unta (yang diwajibkan zakat dan
sahnya diyah - pampasan) dan sambung beliau: “Padanya juga termaktub bahawa
Kota Madinah Tanah Haram antara ‘Eer hingga Tsawr, maka barangsiapa yang mengada-adakan
suatu yang baru dalam urusan agama (bid‘ah) atau jenayah atau memberi tempat
berteduh kepada si pembid‘ah atau penjenayah itu, maka ia dilaknat Allah, para
malaikat dan sekalian manusia, tidak diterima daripadanya pada Hari Kiamat, apa
jua amalan baiknya (yang wajib mahupun yang sunat) dan tidak pula apa jua gantian
(atau tebusan). Barangsiapa (dalam kalangan bekas hamba sahaya yang
dimerdekakan) mengambil seseorang sebagai walinya tanpa izin para walinya (yang
sebenar yang memerdekakannya), maka ia dilaknat Allah, para malaikat dan sekalian
manusia, tidak diterima daripadanya pada Hari Kiamat, apa jua amalan baiknya (yang
wajib mahupun yang sunat) dan tidak pula apa jua gantian. Hak seseorang muslim
itu satu derajat, dipenuhi haknya sekalipun orang yang paling rendah martabatnya
dalam kalangan mereka dan barangsiapa yang mengkhianati saudara Islamnya, maka ia
dilaknat Allah, para malaikat dan sekalian manusia, tidak diterima daripadanya pada
Hari Kiamat, apa jua amalan baiknya (yang wajib mahupun yang sunat) dan tidak
pula apa jua gantian.”
[Sahih
al-Bukhariy: 6870 – Kitab al-I‘tishom bi al-Kitaab wa as-Sunnah]
- Sambil kita mengingatkan diri kita sebagai umat Rasulullah sollalLaahu ‘alayhi wa sallam yang berikrar dengan ucapan 2 kalimah syahadahnya, bahagian hak Rasulullah sollalLaahu ‘alayhi wa sallam iaitu “dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad utusan Allah” yang mengandung maksud 7 hak Nabi yang wajib kita sempurnakan:
Pertama: Kita Beriman, Mempercayai dengan Keyakinan Penuh tiada syak atau keraguan bahawa Nabi Muhammad Utusan Allah dan segala yang baginda sampaikan adalah benar semata-mata, baik perkara yang zahir mahupun yang ghaib.
Kedua: Taat, Mematuhi Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam pada setiap perintah dan larangan baginda sollalLaahu ‘alayhi wa sallam.
Ketiga: Mengikuti Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebenar-benar ikutan pada Ajaran Nabi dan perkara Syari’at baik Aqidah, Ibadah, mahupun akhlak serta Mu’amalah, sikap terhadap sesama muslim dan selain muslim.
Keempat: Mencintai Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam melebihi cinta kita pada manusia dan makhluk lainnya termasuk ibu bapa kita, pasangan kita, anak-anak serta cucu-cucu kita, malah diri kita sendiri.
Kelima: Mencontohi dan Meneladani Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam pada peribadi Nabi, kesukaan Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam dan pada perkara yang menjadi kebiasaan Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam.
Keenam: Memuliakan dan Mengagungkan Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam pada batas yang direstui baginda sollalLaahu ‘alayhi wa sallam sebagaimana yang dicontohkan oleh para Sahabat dan dengannya membela diri peribadi baginda, ajaran baginda, Sunnah baginda, para isteri dan para Sahabat baginda, serta ahli keluarga baginda.
Ketujuh: Mencintai Ahli Keluarga dan para Sahabat baginda kerana Rasulullah sollalLaahu ‘alayhi wa sallam mencintai mereka.
Demikian itu tadi hak-hak Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam atas diri kita. Dalam pada kita meninggalkan Kota Suci Madinah, kota yang dicintai baginda dan tempat bersemadinya jasad mulia baginda, ukurlah diri kita, sejauh mana kita sentiasa berusaha menyempurnakan kewajipan kita memenuhi hak-hak Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam atas diri kita.
- Kita juga mengamati ayat-ayat berikut ini yang mana, Allah telah mengingatkan tuntutan sebahagian hak-hak baginda yang wajib kita penuhi.
Firman Allah (ertinya):
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah Al-‘Imraan: 3: 31]
Firman Allah (ertinya):
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah An-Nisaa’: 4: 59]
Firman Allah
(ertinya):
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. [Surah An-Nisaa’: 4: 65]
Firman Allah
(ertinya):
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). [Surah An-Nisaa’: 4: 80]
Firman Allah
(ertinya):
Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [Surah An-Nisaa’: 4: 115]
Firman Allah
(ertinya):
… Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [Surah an-Nuur: 24: 63]
Firman Allah
(ertinya):
...Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). [Surah al-Hasyr: 59: 7]
Semoga dengan
penjelasan ini, kita pulang setelah ‘Umrah dan Haji dalam keadaan telah
diampuni Allah dan kita membawa “oleh-oleh” Tekad dan Usaha menambah ilmu
sentiasa agar Akidah Kepercayaan Keimanan kita, sesuai Ajaran Rasulullah sollalLaahu ‘alayhi wa sallam, Ibadah kita; wudhu’ solat, zikir, doa, selawat, puasa, Umrah, Haji
dan lainnya, mengikuti Petunjuk Sunnah Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam dengan
sesempurnanya yang terdaya. Demikian juga akhlak, sifat dan sikap kit akita usahakan
yang terbaik agar mencontohi Nabi sollalLaahu ‘alayhi wa sallam.
Semoga kita dikurniakan Taufiq Allah ke arah itu sentiasa dan mendapat kejayaan dunia akhirat. Ameen.
Comments
Post a Comment