Umrah Sebelum Haji
MELAKSANAKAN UMRAH SEBELUM HAJI
[HR al-Bukháriy no: 1773 dan Muslim: 1349]
بسم الله و الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من تبع سنته
، أما بعد
Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah mengurniakan PetunjukNya kepada anda sekalian.
Seringkali dimusykilkan oleh sebahagian pihak, persoalan "Perlaksanaan Umrah Sebelum Menunaikan Haji", boleh kah hukumnya? Adakah menyalahi yang afdhal?
Pertama: 'Umrah yang dilaksanakan sebelum menunaikan Ibadah Fardhu Haji sah dan dibolehkan malah menepati ajaran perbuatan Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم sendiri. Nabi صلى الله عليه و سلم telah melakukan 4 kali Umrah dalam Islam seumur hidup baginda.
- Tahun 6 Hijrah: Umrah Hudaibiyah (DzulQaedah) dan Umrah ini tidak dapat disempurnakan, Rasulullah dan para Sahabat berIhram di Dzulhulaifah (miqat penduduk Madinah). Ketika sampai di Hudaibiyah Kuffar Quraisy tidak izinkan masuk. Kaum Muslimin pulang setelah bertahallul dengan menyembelih kambing dan unta (kongsi 7-10 orang) dan cukur rambut tanpa Tawaf dan Sa'ie.
- Tahun 7 Hijrah: Umrah Qadho' (DzulQaedah) yang mana Nabi serta para Sahabat dibenarkan berada di Mekkah selama 3 hari. Sebaik sempurnakan 'Umrah, 3 hari Kaum Muslimin pulang ke Madinah
- Tahun 8 Hijrah: 'Umrah dari Ji'ranah Fathu Makkah (Ramadhan) selepas menakluki Mekkah dan membebaskannya daripada Syirik dan Kezaliman, Rasulullah صلى الله عليه و سلم berada di Mekkah selama 17 malam, hanya memperbanyakkan Tawaf namun tidak walau satu kali pun baginda keluar Tanah Haram Mekkah untuk masuk semula buat Umrah. Setelah 17 malam, baginda keluar ke Taif dan selepas Peperangan Hunain, baginda membahagikan harta rampasan perang di Ji'ranah, barulah baginda berihram, masuk Mekkah, buat 'Umrah kemudian pulang. Bermakna Nabi صلى الله عليه و سلم dari luar Mekkah bukan dari dalam Tanah Haram Mekkah.
- Tahun 10 Hijrah (Umrah serentak dengan Haji).
Kesimpulannya, Nabi صلى الله عليه و سلم sendiri mencontohkan melaksanakan 'Umrah, sebelum baginda menunaikan Haji pada Tahun 9 Hijriyah, pada akhir hayat baginda yang diberkahi. Sekali gus difahami tidak timbul persoalan "afdhal" atau lebih utama tunaikan Haji dulu sebelum Umrah, meski ada yang beralasan dengan menimbulkan soal kemampuan, dikhuatiri pergi Umrah mengeluarkan belanja yang menjejas kemampuan untuk tunaikan haji. Padahal, disebabkan quota atau visa, Haji terpaksa ditundakan dan lumrahnya keadaan kewangan mengizinkan untuk membiayai Umrah sebelum peluang melaksanakan Haji tiba. Lagipun Nabi صلى الله عليه و سلم telah menjamin pertambahan dan keberkahan harta yang dibelanjakan untuk perlaksanaan Umrah dan Haji.
Nabi صلى الله عليه و سلم bersabda:
" تابعوا بين الحج و العمرة ، فإنهما ينفيان الفقر و الذنوب كما تنفي الكير خبث الحديد و الذهب و الفضة و ليس للحج المبرور ثواب إلا الجنة"
Ertinya: "Ikutilah (yakni laksanakan silih berganti) antara Haji dan 'Umrah kerana kedua-duanya pembersih kemiskinan dan dosa-dosa, sebagaimana alat peniup pembersih besi, emas dan perak membersih kotoran besi, emas dan perak, manakala Haji yang Mabrur tiada ganjaran baginya selain Syurga "
[HR at-Tirmidzi, an-Nasā‐i dan Ibn Mājah serta Ahmad. Hadis Sahih - Sahih Sunan an-Nasā‐i: 2/558]
Kedua: Nabi صلى الله عليه و سلم menggalakkan Umrah secara mutlaq, bila-bila sahaja seseorang mampu nenunaikannya dan tidak pernah mensyaratkan menunaikan Haji terlebih dahulu.
Rasūlullāh صلى الله عليه و سلم bersabda:
"العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما و الحج المرور ليس له جزاء إلا الجنة"
Ertinya: "(Perlaksanaan) satu ‘Umrah ke satu 'Umrah yang lain menjadi penebusan (dosa-dosa) di antara
keduanya dan Haji yang mabrur (yang keseluruhannya dipenuhi kebajikan) tiada balasan lain baginya selain Syurga.’
[HR al-Bukháriy no: 1773 dan Muslim: 1349]
Comments
Post a Comment